Banjir: Pusat sumbangan warga Lembah Klang dibuka

BERIKUTAN status banjir terutama di Kelantan yang semakin kritikal dengan mangsa sudah melebihi 11,000 orang, Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif awal dengan membuka Pusat Sumbangan Bantuan Banjir Pantai Timur di Darul Amal yang beralamat No. 21, Jalan Pria, Taman Maluri, 55100, Kuala Lumpur.

Advertisement

Menurut kenyataan Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Negeri Kelantan, situasi banjir akan bertambah buruk pada hari-hari seterusnya akibat dari hujan yang turun pada musim tengkujuh ini.

Pengarah Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Rone Faizal Isnin berkata, mengikut pengalaman dalam mengendalikan pusat sumbangan mangsa banjir, warga kota dan warga Lembah Klang merupakan warga yang sangat prihatin serta pemurah dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan.

“Pusat sumbangan ini diharap dapat memudahkan serta mendapat sambutan dari warga kota yang ingin menyalurkan sumbangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.

Tambahnya, Jabatan Amal WP memfokuskan kepada pengumpulan barang-barang makanan, keperluan bayi dan kanak-kanak, keperluan wanita, selimut dan toto semnetara buat masa ini pakaian terpakai tidak diperlukan.

Beliau berkata, para penyumbang juga boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan untuk kegunaan melaksana misi banjir ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Jabatan Amal Malaysia DPPWP, nombor akaun 14014010133695.

Para penyumbang boleh menghubungi nombor berikut untuk maklumat lanjut, Rone (017-2552775), Ghazaly (012-2569201) dan Izihan (016-3227781). – HARAKAHDAILY 30/11/2017

amal