PAS sedia bantu tangani gejala sosial

MELAKA: PAS membangkitkan kebimbangan mengenai ‘trend‘ gejala sosial yang semakin meningkat dan bersedia membantu kerajaan negeri untuk menanganinya.
 
Menurut Adun Bukit Baru, Dr Mohd Khalid Kassim bahawa pelbagai gejala sosial yang membabitkan orang Melayu dan ‘trend‘ yang semakin meningkat amat membimbangkan.
 
“Punca atau sebabnya ‘root cause‘ telah diketahui tetapi penyelesaiannya masih jauh malahan satistik bagi 2016 menampakkan peningkatan demi peningkatan dari masa ke semasa.
 
“Apa salahnya kerajaan menggunakan segala aset yang ada dan kewangan yang tersedia untuk menangani masalah sosial ini secara efektif dan istiqamah serta PAS sedia membantu demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
 
Beliau turut bimbang Melaka akan terus dicemari dengan masalah sosial yang tiada penghujungnya, diselubungi isu sosial yang memalukan dan mencacatkan kesejahteraan rakyat.
 
“PAS sebagai entiti politik, dakwah dan tarbiyah boleh berkerjasama dengan kerajaan negeri dalam hal keagamaan, muamalat dan sebagainya demi kesejahteraan rakyat bersama.
 
“Dengan penurunan signifikan gejala sosial ini suatu hari nanti barulah kita dapat menikmati suasana kesejahteraan hakiki tanpa setitik keraguan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2017
Advertisement