Program De’ Beauty PAS Putatan dekati golongan wanita

DEWAN Muslimat PAS Kawasan Putatan dengan kerjasama Ameerah Putatan telah menganjurkan Program De’ Beauty pada 25 November 2017 lalu . Bertemakan “Cergas, Cerdas, Anggun Bergaya”, program ilmiah santai ini berlangsung di Hotel Tabung Haji (TH), Sembulan dengan jumlah kehadiran seramai 60 orang.

Advertisement

Bermula seawal jam 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta, pengisian yang disediakan sepanjang program iaitu forum kesihatan dan kecantikan wanita, sesi soal jawab, gerai produk dan pembentangan serta demo kecantikan turut mengujakan para peserta yang hadir.

Debeuti 2Rata-rata peserta yang ditemui menyuarakan rasa gembira kerana dapat hadir. Mereka menyatakan bahawa ia adalah satu program yang baik dan seharusnya dipanjangkan tempohnya, supaya sesi perkongsian lebih panjang.

Program De’ Beauty yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan, Puan Nur Badriah ini tamat pada jam 1.00 petang. Ia dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam menyediakan platform untuk mengumpulkan golongan wanita sekitar Parlimen Putatan, di samping menyediakan ruang bagi para peniagawati mempromosikan produk masing-masing, seterusnya memberi kesedaran kepada para wanita akan kepentingan menjaga penampilan dan kesihatan diri. – HARAKAHDAILY 30/11/2017