PRU14: Muslimat Jerai lancar Skuad Motornita

JERAI: Skuad Motornita untuk membantu melicinkan gerak kerja pilihan raya telah dilancarkan sempena Ijtimak Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerai di Dewan Tuan Guru Othman al-Yunusi, di sini kelmarin.
 
Penyertaan melibatkan 30 anggota Muslimat pelbagai lapisan umur, memberi infak kepada kawasan berkenaan untuk memudahkan pergerakan ke kampung-kampung bagi menyampaikan maklumat dan gerak kerja lainnya.
 
Selain itu, skuad tersebut juga ditubuhkan untuk membantu membawa para pengundi ke tempat mengundi pada hari pembuangan undi nanti.
 
Menurut Setiusaha Muslimat PAS Jerai, Zulinda Khamis, penubuhan Skuad Motornita itu mengambil idea dari program Fastaqim 2.0 di Tok Jembal, Terengganu awal September lalu.
 
Katanya, khidmat kumpulan bermotor Ameerah memboncengkan penumpang ke lokasi program membuatkan beliau terpanggil untuk membentuk 
kumpulan yang sama di kawasannya.
 
Walau bagaimanapun jelas beliau, ahli-ahli Skuad Motornita ini tidak tertakluk kepada golongan muda sahaja, tetapi turut dianggotai oleh Muslimat berusia dengan syarat mempunyai lesen dan cekap menunggang motosikal.
 
Pelancaran Skuad Motornita itu telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali dan merupakan kumpulan pertama yang dilancarkan di peringkat dewan-dewan di Kedah. – HARAKAHDAILY 30/11/2017
Advertisement