Doa untuk selamat dan keselamatan milik mutlak Allah

doa

KITA sering dengar dan biasa dijemput untuk hadir dalam satu majlis ‘Doa Selamat’, secara peribadi, penulis pernah menjawat sebagai pengerusi surau di tempat kediaman sendiri, suatu tempat yang memang ‘fresh’ dengan penduduk pada akhir 2000, iaitu tempat baharu yang belum ramai penghuni, namun dari masa ke semasa bertambah penghuni yang berpindah dari tempat lama yang disewa atau rumah yang lebih selesa dan lapang.

Advertisement

Biasalah ramai yang baharu pindah, masing-masing mencari kesempatan untuk menjemput ahli jamaah surau untuk datang ke rumah membacakan ‘Doa Selamat’, namun penulis mengambil kesempatan untuk memberi tazkirah ringkas berhubung dengan faktor selamat dan keselamatan, penulis mengingatkan para jamaah dan tuan rumah bahawa jika benar-benar mahu selamat maka rajin-rajinlah datang ke surau untuk bersolat jamaah dan menghadiri sesi kuliah agama percuma.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Selanjutnya penulis menjelaskan kepada semua bahawa keselamatan itu hanyalah milik Allah secara mutlak, ini jelas dalam doa yang sering kit abaca seusai solat berjamaah dengan mengungkapkan ‘Allahumma Antas Salam hingga ke akhirnya, yang boleh diterjemahkan di sini bahawa Allah adalah Pemberi Keselamatan, dari-Nya sahaja keselamatan itu, Dia boleh tarik balik untuk tidak beri keselamatan kepada yang ingkar.

Apa yang menduka-citakan kita semua, apabila selesai majlis doa selamat di rumah individu yang berhajat, maka dia mula liat untuk ke surau kerana yang penting baginya rumah yang dibelinya telah dibacakan ayat-ayat al-Quran dalam majlis tahlil dan dibacakan doa selamat, maka tidak perlu lagi dia untuk mendatangi suaru atau masjid, inilah fenomena yang sedang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia ini.

Sesungguhnya Islam yang merupakan agama terakhir yang dibawa oleh Nabi terakhir, Muhammad s.a.w. menjanjikan keselamatan secara mutlak kerana ia adalah agama yang diperakui oleh Allah SWT Yang Maha Sempurna dalam segenap tindak-tandukNya yang tidak dikongsi sama oleh makhluk-makhluk yang ada di muka bumi ini.

Agama Islam yang menjanjikan keselamatan mesti dicari oleh golongan muslim dengan menidakkan konsep kebangsaan yang lebih menjurus kepada kepentingan bangsa, terutama menjelangnya pilihan raya umum ke 14 ini walaupun agama dianak-tirikan, kerana yang membabitkan bangsa adalah satu konsep yang sama sekali tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam yang murni ini dan tidak dijamin keselamatan oleh Allah SWT.

 Justeru, konsep ‘selamat’ yang ada dalam Islam seperti yang dijanjikan oleh Nabi SAW bukan satu perkara retorik, malah ia dilakukan oleh baginda sendiri setelah berada di kota Madinah dengan mengutus para utusan-nya dengan membawa surat khas baginda menyatakan kepada para pembesar negara ketika itu dengan kata-kata ‘Kamu masuk Islam, pasti akan selamat’.

Keselamatan yang dijanjikan oleh baginda Nabi dengan Islam kepada mereka adalah satu kebenaran sesuai dengan maksud perkataan ‘Islam’ itu sendiri yang membawa erti selamat, iaitu selamat di dunia dan akhirat, dalam menjalani tribulasi kehidupan yang penuh dengan pelbagai bentuk ujian daripada Allah SWT.

Tidak ada seorang manusiapun yang waras fikirannya yang tidak mahu selamat, kita boleh bayangkan apabila sekumpulan manusia menaiki kapal laut untuk menuju ke suatu destinasi, tiba-tiba dalam perjalanan di tengah lautan bergelora berlaku ombak besar yang menenggelamkan kapal tersebut, maka pada waktu itu para penumpang menumpukan perhatian untuk menyelamatkan diri masing-masing lebih daripada diri orang lain, apatah lagi mereka yang tidak mahir berenang.

Dan begitulah juga dengan kehidupan ramai manusia di dunia ini yang masing-masing hanya memikirkan agar diri mereka selamat dari pelbagai bentuk mara bahaya yang mungkin akan menimpa mereka seperti ribut taufan, angin kencang, puting beliung, gempa bumi dan lain-lain di mana manusia terdedah dengan pelbagai hukuman tersebut.

Sesungguhnya keselamatan yang dijanjikan oleh Allah SWT apabila manusia mengikut segenap peraturan syariat-Nya, melaksanakan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar, menyampaikan kebenaran dalam konteks bernegara, apabila mereka melakukan sebaliknya, maka Allah SWT menghukum mereka dengan tidak memberi keselamatan kepada mereka.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT  menerusi ayat 96-99 surah al-‘Araf maksudnya : “Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96) Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman (selamat) daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman (selamat) daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman (selamat) akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99).”

Faktor untuk selamat di dunia dan akhirat

Islam tidak membiarkan penganutnya terumbang-ambing menjalani kehidupan di dunia melainkan menyediakan bagi mereka garis panduan, tunjuk ajar menuju jalan sempurna dengan segala ajaran Islam yang telahpun tersurat di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. seperti banyak membaca, mengkaji, menyelidiki, mengamalkan isi-isi kandungan al-Quran, menghidupkan Sunnah-snnah baginda Rasulullah s.a.w., memahami Sirah Rasululluah, atau dengan kata lain mempelajari ilmu-ilmu fardu ‘ain dengan baik sebagai alat untuk memahami serta melaksanakan Islam atas perintah Allah SWT.

Beramal dengan Islam, sebenarnya akan menyelamatkan seseorang itu daripada terjerumus dalam kancah penentangan terhadap Allah, sebagai contoh, terdapat seorang sahabat yang bernama Uqal berkata bahawa dia telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak zuhud seseorang itu di dunia melainkan Allah menumbuhkan hikmah di dalam hatinya dan Allah petahkan (lancarkan) lidah dia untuk bertutur dan Allah memperlihatkan kepadanya keaiban dunia dan ubat untuk merawat dunia dan Allah akan membawa dia keluar dari dunia menuju Darus-Salam (syurga) dengan selamat”.

Perbezaan antara orang yang beriman dan tidak beriman dalam menanggapi dunia ini ialah; mereka yang beriman itu zuhud terhadap dunia, tidak mencintai kekayaan dan pangkat kemegahan. Mereka menggunakan harta sebagai wasilah untuk melaksanakan perintah Allah SWT kerana banyak daripada syariat Allah memerlukan sokongan harta kekayaan dan juga pangkat kedudukan bagi mentadbir dan mengislahkan dunia yang telah diamanahkan kepada hambaNya yang beriman. Harta dan pangkat adalah amanah Allah yang akan dipertanggung-jawabkan di akhirat kelak nanti.

Manakala orang yang tidak beriman memandang dunia ini sebagai matlamat dan tujuan yang terakhir dalam kehidupan. Mereka merebut kekayaan dunia dengan apa cara sekalipun. Mereka memburu pangkat dan kedudukan untuk memudahkan cita-cita mereka meraih dan menguasai pelbagai keistimewaan di dunia seperti kesenangan, kemewahan dan kemegahan.

Zuhud atau berpada-pada terhadap dunia itu bukan bererti melupakan tanggungjawab mencari harta kerana harta adalah ibarat najis binatang yang kadangkala diperlukan sebagai baja untuk menyuburkan pokok. Harta mesti dicari untuk menjadi alat bagi menyuburkan akhirat, tanpa harta mana mungkin manusia boleh mengurus negara, rumah tangga dengan baik.

Jika harta dihimpun untuk bersenang-senang di dunia, bererti mereka seumpama orang yang lupa menggunakan najis binatang untuk membajai pokok. Zuhud bukan bererti orang itu tidak memiliki harta bahkan ia merupakan orang yang banyak harta tetapi dia tidak merasakan harta itu miliknya seorang. Orang lain boleh menumpang sama atas hartanya, tidak bakhil untuk memberikan hartanya kepada sesiapa yang memerlukan walaupun secara percuma atau hutang.

Dengan hikmah yang dianugerahkan Allah kepada manusia yang zahid, akhirnya Allah akan menyelamatkannya daripada fitnah dunia untuk menuju ke Darus-Salam. Oleh kerana hatinya zuhud terhadap dunia, ia akan menemui akhir hayatnya dengan damai tanpa sebarang soal jawab akibat tiada dosa yang berkaitan dengan dunia.

Lantaran insan hebat ini telah berjaya menambat dunia di luar hatinya, maka dunia dan pangkat kedudukan menjadi seperti ombak besar yang mengganas di luar bahtera. Selama ia berjaya menjaga kekuatan dinding bahtera, pasti ia akan terselamat daripada bahaya ombak ganas itu. Sebaliknya ombak ganas tersebut akan menyerbu kedalam hati manusia yang tidak zuhud, maka bagaimanakah mereka akan terselamat daripada serangan ombak ganas yang akan menenggelamkan mereka.

Sesungguhnya Islam telah mengajar manusia kaedah membina tembok ketahanan diri daripada pengaruh dunia melalui sifat zuhud. Adalah nyata bahawa zuhud merupakan syarat penting bagi kesempurnaan iman. Tanpa zuhud sudah pasti manusia tidak akan menemui formula lain bagi menghindarkan diri dari pengaruh dunia kerana dunia sering menerbitkan warna-warna yang mempesonakan nafsu. Warna-warna itu telah banyak melalaikan manusia daripada melaksanakan tangungjawab mereka sebagai hamba Allah SWT yang sebenarnya di muka bumi ini. (Petikan Buku : Nota Kepada Diri hasil karya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat).{/mprestriction}