Pau Kasiah Mori terkenal di Sepang

KASIAH Mori bukan suatu nama asing bagi penduduk kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat, Sepang, Selangor. Ini kerana beliau menjalankan perniagaan kuih tradisional Melayu jenis sejuk beku bertempat di rumahnya. Kesempatan untuk berkunjung ke rumah beliau telah membuka pintu peluang untuk menemubualnya khusus untuk tatapan para pembaca Harakah.

Advertisement

Sifat ramah Kasiah; ibu kepada 5 orang anak ini tidak sedikit pun menimbulkan rasa kekok meskipun pertama kali bertemu. Malahan selepas salam disambut, beliau mula bercerita serba sedikit tentang latar belakang diri serta perniagaannya.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

“Saya memulakan perusahaan kuih tradisional secara kecil-kecilan ini sejak 6 tahun yang lalu. Namun begitu saya terpaksa menghentikannya buat sementara waktu semasa suami sedang sakit dahulu. Tujuan asalnya adalah untuk menampung belanja persekolahan anak-anak saya pada waktu itu,” ujar beliau sambil menunjukkan variasi kuih-muih yang dijualnya.

Donat, kasturi, cucur badak, pau, pulut panggang, keria, vadai dijual kepada pelanggan dengan harga sebungkus RM3.50 dan RM10 untuk 3 bungkus.

Penulis turut meluangkan masa di ruangan di mana beliau melakukan kerja-kerja peringkat awal dalam menghasilkan kuih-muih tersebut.

Kasiah 2Beliau menjelaskan bahawa kebiasaannya kerja-kerja memasak hanya akan dijalankan bermula pukul 6 petang dan ke atas. Meskipun bahan-bahan asasnya akan dimasak dalam kuantiti yang banyak, inti makanan sejuk beku haruslah setengah masak sahaja jelasnya.

“Keadaan ini berbeza untuk pau yang mana harus betul-betul masak sebelum dimasukkan dalam plastik. Jikalau pembeli hendak makan, cuma perlu panaskannya semula untuk tempoh dua minit. Tidak perlu masukkan ke dalam ketuhar lagi sebab ianya sudah dimasak sepenuhnya.

Terpulang pada citarasa anda jika hendak kukus semula, kaedah goreng tenggelam pun boleh untuk menikmati pau ala-ala burger Malaysia,” terang beliau dengan panjang lebar.

Perniagaan dari rumah yang terhenti seketika dahulu telah dimulakan semula apabila Kasiah kebosanan selepas arwah suaminya meninggal dunia. Dijalankan secara kecil-kecilan, sedikit demi sedikit kuih tradisional buatannya mulai mendapat permintaan daripada orang ramai.

Walaupun begitu jikalau permintaan terlalu tinggi dalam satu-satu masa saya terpaksa menolak tempahan, jelasnya lagi.

“Atas sebab itulah saya membuatnya untuk simpanan sebagai makanan sejuk beku; langkah ini lebih mudah jika para pembeli datang- mereka boleh pilih sendiri dari peti sejuk beku ini. Setakat ini untuk tempahan yang terlalu banyak, saya memang tidak berani buat. Bukan apa saya risau akan kemampuan diri sendiri dalam melakukannya,” ulasnya.

Mengakui tidak memasarkan produk buatannya ke mana-mana kedai, pasar raya dan sebagainya beliau tetap bersyukur rezekinya masih ada. Ini kerana realitinya ia tetap mendapat tempat di hati pembeli khususnya mereka yang bergelar anak jati kampung.

Kasiah 3Para penduduk kampung tempatan terutama yang bekerja di luar akan membeli dalam kuantiti yang banyak untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing seperti Pahang, Johor dan lain-lain tempat lagi.

Menghasilkan kuih setiap hari, Kasiah memberitahu bahawa pendapatannya boleh mencecah dalam lingkungan RM1,500 hingga RM2,000 dalam masa sebulan.

Alhamdulillah setiap hari ada saja pembeli meskipun saya tidak ada menyediakan sebarang perkhidmatan penghantaran. Rezeki saya juga bergantung kepada keadaan dan kemampuan diri untuk membuat kuih setiap hari, katanya.

Apabila diajukan persoalan, beliau tidak menafikan bahawa dirinya juga mempunyai impian dan cita-cita dalam mengembangkan perniagaan.

“Dalam masa yang sama saya hendak wariskannya kepada anak bongsu. Tunggu dia balik balik kampung dululah,” ujarnya sambil tersenyum menyimpan seribu makna.{/mprestriction}