Perutusan Maulidur Rasul 1439 Menteri Besar Kelantan

maulid mb

ALLAH SWT berfirman:

Advertisement

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya serta bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Al-Hujurat:1]

Kelahiran Rasulullah SAW ke muka bumi adalah sebagai suatu rahmat kepada seluruh alam. Baginda telah mengorbankan segala jiwa dan raga demi ummah. Menjadi kewajipan seluruh umat Islam mematuhi segala seruan baginda tanpa mencurigainya walau sekelumit cuma.

Kecintaan terhadap baginda SAW hendaklah dipupuk daripada awal dan diterapkan sepanjang masa. Sesungguhnya ukuran keimanan umat Islam adalah bergantung sejauh mana mereka mengasihi dan berusaha melaksanakan sunnah baginda SAW dalam kehidupan. Kasih terhadap baginda hendaklah mengatasi kasih-sayang kita kepada manusia lain hatta diri sendiri. Hal ini ada dinyatakan dalam sebuah hadis, Sayyidina Abdullah bin Hisyam R.A berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ آخِدٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، َلأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلاَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَالَّذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ، حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ. فَقَالَ لَهُ عَمَرُ: فَإِنَّهُ اْلآنَ، وَاللهِ، َلأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اْلآنَ يَا عُمَرُ.

Maksudnya: “Kami bersama Nabi SAW lalu baginda memegang tangan Umar bin al-Khattab. Kemudian Umar berkata: Wahai Rasulullah, sungguh engkau sangat aku cintai melebihi segala sesuatu selain diriku. Maka Nabi SAW pun menjawab: Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, hingga aku sangat engkau cintai melebihi dirimu. Lalu Umar berkata: Sungguh, sekaranglah saatnya, demi Allah, engkau sangat aku cintai melebihi diriku. Maka Nabi SAW bersabda: Sekarang (engkau benar) wahai Umar.” [Riwayat Imam Bukhari]

Kerajaan Negeri Kelantan di bawah dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam, sentiasa berusaha melaksanakan tuntutan sunnah Nabi SAW dalam pentadbiran. Demikian itu, Kerajaan Negeri mengutamakan program-program keagamaan bagi menjana keutuhan aqidah dalam masyarakat.

Usaha ke arah penegakan syariat sentiasa dipertingkatkan. Umpamanya Belanjawan 2018 Kerajaan Negeri terus memperuntukkan RM1 juta bagi Prasarana Material Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah dan sebanyak RM1.25 juta untuk Jabatan Pendakwaan Syariah.

Usaha-usaha ini adalah sebagai suatu kesungguhan daripada pihak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan seruan Allah dan Rasul walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Melaksanakan tuntutan syariat sekalipun menerima kejian adalah lebih baik daripada menerima pujian tanpa ada pelaksanaan Islam.

Semoga sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini menambahkan lagi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan usaha pelaksanaan syariah didahulukan melebihi segala agenda yang lain. Tegakkan syariat Islam dalam diri kita semua, insya-Allah ianya dipermudahkan untuk tertegak diatas muka bumi ini.

“KELANTAN SEJAHTERA UNTUK ISLAM”

“KEBERKATAN – KEMAKMURAN – KEBAJIKAN”

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN
Menteri Besar Kelantan
12 Rabiul Awwal 1439 / 01 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 1/12/2017

maulid mb