Perutusan Maulidur Rasul Muslimat PAS Selangor

TANGGAL 12 Rabiul Awal telah melakarkan sejarah agung dunia dengan kelahiran baginda Rasulullah SAW, membawa rahmat ke seluruh alam ini. Allah SWT telah mengutuskan seorang Rasul  untuk  menyampaikan risalahnya dengan berpandukan Al-Quran dan sunnah baginda. Allah SWT menjadikan baginda sebagai qudwah kepada semua ummat manusia. Setinggi-tinggi kesyukuran perlu dipanjatkan kerana Allah SWT menjadikan kita dalam golongan ummat baginda Rasulullah SAW. 
 
Kesempurnaan Allah SWT ada pada diri Rasulullah SAW, umat Islam dituntut untuk mencintai  Rasulullah SAW lebih daripada diri sendiri. 
 
“Barang siapa memilikinya, ia dapat merasakan manisnya iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada selain keduanya, cinta kepada seseorang kerana Allah dan membenci kekafiran sebagaimana ia tidak mahu dicampakkan ke dalam api neraka.” 
(H.R Bukhari-Muslim)
 
Justeru, tuntutan mencintai Rasulullah SAW membawa kepada cinta Allah SWT. Tarbiyah baginda kepada ummat manusia begitu besar iaitu membawa manusia keluar daripada kegelapan kekafiran dan kembali kepada Allah SWT. Rasulullah SAW dan para Sahabat menggembleng tenaga, jiwa dan harta untuk menyebarkan Islam ke pelusuk dunia. Sewajarnya ummat manusia di zaman ini menghargai kehadiran cahaya Islam dalam diri mereka dan bumi Malaysia ini. 
 
Ulama telah menyenaraikan beberapa tugas besar baginda Rasulullah SAW antaranya tabligh alahkam (menyampaikan hukum-hukum Allah), tanfizul alhukmi (melaksanakan hukum Allah) dan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa). Ketiga tugas ini perlu diwarisi oleh khalifah Allah sehingga hari kiamat dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berusaha untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab ini seiring dengan waqi’ di Malaysia.
 
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menyeru kepada semua masyarakat agar sentiasa meningkatkan manifestasi cinta kepada baginda Rasulullah SAW, berusaha sehabisnya untuk mempertahankan ajaran Allah SWT, berazam untuk mengamalkan sunnahnya dan berakhlak dengan akhlaknya.
 
Salam Maulidur Rasul 1439H
 
USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.
 
12 Rabiul Awal 1439H | 1 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 1/12/2017
Advertisement