‘Selekoh tajam’ Hanipa Maidin dalam isu Ateisme

BERDASARKAN penelitian saya, sudah beberapa kali Pengerusi KANUN PAN yang juga Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, membuat ‘konar’ baring di dalam isu-isu politik negara.
 
‘Konar’ baring Hanipa Maidin yang paling saya ingati ialah tindakan beliau mengetuai, pada 15 April 2005, sekumpulan ahli Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor mengadakan demonstrasi aman di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, bagi menuntut supaya Perdana Menteri membatalkan pendaftaran Sisters In Islam dan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengharamkan Sisters In Islam, yang diikuti oleh tindakan beliau menyatakan, pada 4 November 2014, bahawa tindakan mengharamkan Sisters In Islam adalah “terlalu drastik”.
 
Di dalam isu ateisme pula, intipati utama tulisan Hanipa Maidin di dalam portal berita Malaysia Kini pada 26 November dan portal berita Free Malaysia Today pada 27 November adalah untuk semata-mata mempertahankan golongan ateis dengan menyatakan bahawa ateisme dilindungi oleh prinsip kebebasan beragama di dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Tulisan Hanipa Maidin ini, yang mungkin juga ada kaitannya dengan tulisan beliau pada 29 Julai lalu bahawa calon impian beliau bagi jawatan Perdana Menteri adalah Lim Kit Siang, adalah susulan kepada tindakan Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, mempertahankan golongan ateis ini.
 
Di dalam tulisan beliau itu, Hanipa Maidin menghujahkan betapa pandangan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa “ateisme bukan satu agama” adalah asing kepada idea perlindungan keperlembagaan dan adalah asing dengan konsep kebebasan beragama yang terkandung di dalam al-Qur’an, tetapi tidak memberikan apa-apa bukti bagi menyokong hujah beliau ini.
 
Kata Hanipa Maidin: “His view, with respect, is not only alien to the idea of constitutional protection but it also foreign to the very concept of freedom of religion enjoined by the Quranic injunction.”
 
Tiada sepatah pun disebut di dalam tulisan Hanipa Maidin ini kebimbangan, seperti yang dinyatakan oleh sahabat beliau, Dr Siti Mariah Mahmud, mengenai penyebaran ateisme terhadap penganut Islam selaras dengan kenyataan bahawa kebanyakan yang terlibat dengan ateisme ini adalah anak-anak muda Melayu. 
 
Langsung tidak disebut di dalam tulisan Hanipa Maidin ini mengenai Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan kerajaan mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
 
Ini kerana, selaras dengan tajuk yang diberikan terhadap tulisan Hanipa Maidin ini, iaitu “Deputy Minister, Please Respect My Religious Right” (“Timbalan Menteri, Sila Hormat Hak Beragama Saya”) dan “A Muslim’s Defence of Atheists” (“Pemertahanan Seorang Islam Terhadap Golongan Ateis”)”, adalah untuk semata-mata mempertahankan golongan ateis.
 
Alih-alih semalam, 30 November, Hanipa Maidin, sementara tetap gagal memberikan apa-apa bukti bagi menyokong tafsiran beliau bahawa ateisme adalah agama, menghujahkan pula bahawa hanya dengan mengiktiraf ateisme sebagai agama barulah penyebaran ateisme terhadap penganut Islam boleh dikawal atau disekat selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
 
Telah dihujahkan betapa penyebaran ateisme terhadap penganut Islam sebenarnya boleh dikawal atau disekat melalui Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan ini, walaupun ateisme tidak diiktiraf sebagai agama, kerana Perkara 11(4) ini sebenarnya membolehkan kerajaan mengawal atau menyekat pengembangan “apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam” di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
 
Malah, jika dilihat kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang ada di pelbagai negeri pun sudah ada peruntukan yang menyatakan kesalahan bukan hanya membabitkan usaha menarik penganut agama Islam kepada agama bukan Islam sahaja.
 
Memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam juga adalah satu kesalahan di bawah enakmen begini tanpa mengira ke mana mereka yang meninggalkan agama Islam ini pergi.
 
Pada hemat saya, konar baring terbaru Hanipa Maidin ini, walaupun mungkin dimaksudkan untuk memperbaiki imej beliau dan imej PAN yang tercalar di mata umat Islam, sebenarnya akan menjunamkan lagi imej beliau dan imej PAN.
 
Ini kerana, bila ateisme diiktiraf sebagai agama, maka sudah tentulah golongan ateis akan mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan ateisme tanpa sebarang gangguan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.
 
Lebih parah lagi, bila diiktiraf sebagai agama, maka sudah tentulah golongan ateis akan mempunyai hak untuk “menguruskan hal ehwal agamanya sendiri; menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang” tanpa sebarang gangguan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan.
 
Soalnya sekarang ialah apakah Hanipa Maidin dan PAN benar-benar mahu melihat golongan ateis, yang selama ini bergerak secara senyap-senyap-senyap, bergerak secara terbuka melalui institusi-institusi sah bagi menjaga kepentingan ateisme pula?
 
Pening saya dengan Hanipa Maidin ini. – HARAKAHDAILY 1/12/2017
Advertisement