Tudung: Tahniah PBT Taiping, JTK Johor

TAKIRI2

LANGKAH pro-aktif Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dalam mempertahankan hak bertudung wanita Islam di negara ini adalah tindakan terpuji yang sewajarnya dicontohi oleh semua pihak berkuasa.

Advertisement

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan mengenakan syarat tambahan kepada pengusaha hotel untuk tidak melarang pekerja wanitanya bertudung di tempat kerja, dalam proses meluluskan permit mereka.

JTK Johor pula telah melakukan pemeriksaan dan memberi nasihat peringatan kepada 4 hotel yang telah mengenakan larangan pemakaian tudung di bahagian perkhidmatan pelanggan kerana ia bercanggah dengan Kod Perilaku Keharmonian Perindustrian yang merupakan perjanjian bersama antara Kementerian Sumber Manusia dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang telah menyatakan bahawa menjadi kewajipan majikan untuk tidak mendiskriminasikan pekerja dan mewujudkan keharmonian di tempat pekerjaan.

Tindakan pro-aktif ini selari dengan peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada. Perkara 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas menyatakan berkenaan larangan diskriminasi dan hak kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama.

Malah sangat tidak wajar wanita muslim dalam sebuah negara bermajoriti muslim yang perlembagaannya pula meletakkan Islam Agama Persekutuan, tiba-tiba dihalang bertudung dengan alasan remehnya kononnya ia adalah kod berpakaian yang ditetapkan oleh majikan. Ia merupakan satu cabaran dan penghinaan terhadap kedaulatan Islam.

Saya juga menggesa agar pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara juga menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan oleh undang-undang – seperti kuasa mengeluarkan lesen – bagi memastikan kedudukan Islam dan hak umat Islam terus terpelihara. Tidak sewajarnya pihak yang tidak menghormati perlembagaan itu dibiarkan untuk terus beroperasi.

Malah semua kerajaan negeri sepatutnya mencontohi langkah Kerajaan Kelantan sejak 1992 yang mengenakan syarat berpakaian menutup aurat bagi muslim dan muslimah di setiap premis perniagaan di Kelantan sebagai  peraturan kelulusan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).

Saya juga menyeru kepada para peguam Muslim agar ke hadapan dan komited memberikan pembelaan kepada pekerja-pekerja beragama Islam yang dinafikan hak mereka untuk mengamalkan ajaran Islam.

Kerajaan Persekutuan terutamanya menerusi Kementerian Pelancongan pula mestilah bersikap tegas terhadap pengusaha-pengusaha hotel termasuk membatalkan lesen mereka sekiranya didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
01 Disember 2017 | 12 Rabiul Awal 1439 H. – HARAKAHDAILY 1/12/2017