Alumni PASTI Hafaz al-Quran pada usia 12 tahun

SEMAIAN mata tunas semasa mendapat pendidikan awal kanak-kanak di PASTI tidak menunggu masa lama untuk memetik buah hasilnya. Buktinya, Muhammad Muizzuddin Mat Zakia telah layak  bergelar ‘Al-Hafiz’ walaupun dalam usia masih kanak-kanak.
 
Salmah Hassan, 37, memberitahu anaknya mula menunjukkan minat terhadap al-Quran semasa mula belajar di PASTI lagi.
 
“Terima kasih kepada guru PASTI Pra Tahfiz Ar-Rahman, Kampung Baru Kertih yang menyuntik minat si anak ini terhadap al-Quran, balik sekolah  belek al-Quran. Rajin dan penuh minat. Bakat dan kebolehan beliau banyak dicungkil oleh guru-guru PASTI,” katanya diikuti manik-manik jernih air mata kegembiraan ketika penulis berkunjung ke kediaman keluarga itu di Taman Selasih, Kampung Baru, Kertih, di sini.
 
Muhammad Muizzuddin anak sulong dari lima beradik, bakal genap 12 tahun pada 24 Januari tahun hadapan berkata, hasil ketekunan membaca dan cuba mengingati kembali setiap bacaan ternyata membuahkan hasil.
 
“Izin Allah, bantuan guru dan sokongan ibu bapa memudahkan saya untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam masa dua tahun sahaja.
 
“Berjaya khatam pada 8 Rabiulawal 1439 bersamaan 27 November lalu, sangat bermakna kerana berjaya menamatkan hafazan di dalam bulan sambutan kelahiran Baginda Rasulullah SAW yang penuh keberkatan ini,” ujurnya merendah diri.
 
Muhammad Muizzuddin adalah pelajar ke lapan yang dinobatkan sebagai al-hafiz sepanjang tahun 2017 ini oleh Tahfiz Ribat Raudah Assyafie Kijal, juga di sini, tempat beliau belajar.
 
Beliau juga antara pelajar termuda anak Terengganu yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran semasa ini.
 
Menurut bapanya pula, Mat Zakia Mat Zin, 40, kebolehan anaknya ini diwarisi dari sebelah datuk, Mat Zin Mat Rani atau lebih dikenali sebagai ‘Bilal Junoh’ yang kini masih bertugas di Masjid Merbau Patah Kuala Terengganu.
 
“Mungkin mewarisi kealiman datuknya. Apapun semuanya rezeki dari Allah, dan saya sangat bersyukur. Melihat minat dan kebolehan Muhammad Muizzuddin, pilihan saya dahulu ternyata tepat apabila memilih Tahfiz Ribat Raudah Assyafie sebagai tempat belajar anak.
 
“Guru di pusat tahfiz berkenaan terutamanya Syeikh Hejab dari negara Yaman banyak membantu,” ujur beliau ringkas.
 
Muhammad Muizzuddin yang mengemari aktiviti berqasidah (syair Arab yang dilagukan) berharap dapat berpeluang ke institusi qiraat terkenal dunia di Syoubra, Mesir atau ke Yaman bagi mengikuti pengajian fekah Islam apabila meningkat remaja nanti.
 
“Kualiti seorang hafiz al-Quran bukan terletak kepada gelarannya tetapi kepada berapa banyak ayat yang benar-benar dihayati, kekal di dada dan seterusnya lancar dibaca,” katanya begitu matang mengakhiri perbualan. – HARAKAHDAILY 3/12/2017
Advertisement