Atheism bertentangan Perlembagaan, langgar Rukun Negara

Kepada Peguam PAN Sekarang

Advertisement

1. SAYA tertarik untuk memberi komen terhadap kenyataan Peguam PAN Sekarang berhubung isu Atheis. Entah kenapa, rasa terpanggil untuk menjawab kenyataan beliau. Mungkin kerana beliau tidak habis-habis mewiridkan tentang PAS walaupun sudah berada di luar parti. Terima kasih atas ingatan yang tidak pernah lekang terhadap PAS!

2. Atheism merupakan fahaman atau doktrin yang tidak mempercayai kewujudan tuhan. Ia bukan satu agama sepertimana yang difahami oleh Peguam PAN Sekarang. Boleh rujuk Oxford Dictionaries berkenaan istilah Atheism. Secara lebih spesifik, boleh buka The Oxford Handbook of Atheism. Mereka tidak menerangkan Atheism sebagai satu agama. Apakah ada rujukan akademik tertentu yang menyatakan Atheism sebagai agama? Saya tidak tahu bentuk rujukan bagaimanakah yang digunapakai oleh beliau sehingga membelakangkan rujukan akademik seperti di atas.

3. Sebagaimana yang disebutkan, Atheism adalah kepercayaan yang menolak kewujudan tuhan. Secara etimologinya, perkataan “atheism” berasal daripada perkataan Greek atheos; “a” bermaksud tanpa dan “theos” bermaksud tuhan-tuhan. Lawan bagi ateisme adalah teisme iaitu fahaman yang mempercayai dan mengimani akan wujudnya tuhan. Sama ada Atheisme atau Theisme, kedua-duanya adalah doktrin atau fahaman, bukan agama. Mungkin Peguam PAN Sekarang terkeliru dari sudut ini.

4. Mempercayai ketidakwujudan tuhan adalah bercanggah dengan rukun negara. Rukun negara pertama adalah Kepercayaan Kepada Tuhan. Kedudukan rukun negara adalah sangat tinggi. Banyak negara dunia hari ini yang menjunjung demokrasi telah meletakkan ikrar rakyat sebagai mukaddimah (preamble) kepada perlembagaan mereka. Malah, ia dianggap rujukan bagi perlembagaan. Sebagai seorang peguam, beliau perlu peka dalam perkara ini.

5. Rukun Negara diperkenalkan pada tahun 1970, selepas tragedi hitam 13 Mei 1969 yang menyaksikan perpaduan rakyat Malaysia teruji dengan begitu hebat. Justeru Rukun Negara adalah bagi mengembalikan perpaduan antara rakyat berbilang agama dan kaum. Sebarang tindakan yang menyalahi Rukun Negara boleh diibaratkan sebagai mencabar perpaduan negara yang telah menjadi ikrar seluruh rakyat negara berdaulat ini.

6. Peguam PAN Sekarang berhujah dengan Artikel 11 Perlembagaan yang menyatakan tentang kebebasan beragama. Beliau menyamakan Atheism sebagai agama. Dan beliau juga memutarbelit, kononnya jika Atheism bukan agama, maka tidak ada hak untuk menghalang Atheism disebarkan kepada orang Islam kerana undang-undang hanya melarang agama sahaja disebarkan kepada orang Islam.

Bagaimana beliau membaca perlembagaan saya pun tidak faham. Macam Bani Israel juga baca kitab separuh dan tinggal separuh. Di dalam fasal 4 artikel yang sama, dinyatakan bahawa “undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa DOKTRIN atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Nyata Atheism adalah satu doktrin, dan perlembagaan membenarkan sebarang doktrin dihalang daripada disebarkan kepada penganut agama Islam.

Atheism bukan sahaja mencabar kedudukan Islam, malah akan turut mencabar kepercayaan Budhha, Hindu, Kristian dan berbagai anutan agama bertuhan yang ada di Malaysia. Ia boleh membawa kepada krisis agama yang tidak baik untuk negara. Justeru amat wajar untuk fahaman ini dibendung.

7. Bertepatan dengan syariat Islam, juga selari dengan Rukun Negara pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, juga mengambil semangat perlembagaan negara dan juga kontrak sosial, kehidupan beragama dijadikan salah satu prinsip dalam pelan pentadbiran negara jangka panjang yang dikenali sebagai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051). Ianya sebagai asas kepada kestabilan dan keharmonian antara kaum dan negara. Tanpa menafikan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang dinyatakan di dalam perlembagaan, agama lain juga perlu diraikan sebagaimana kontrak sosial yang dipersetujui semasa era pembentukan negara dahulu.

8. Secara falsafahnya, seseorang yang percaya kepada agama, mereka akan percaya wujudnya tuhan dan kuasa ghaib yang tinggi. Wujudnya balasan baik dan buruk dan wujudnya pemantau yang akan memerhatikan tindak tanduk mereka di atas dunia. Justeru kepercayaan beragama akan dapat menjaga tingkah laku individu di mana jua mereka berada kerana mereka tahu mereka diawasi oleh kuasa tertentu yang berkuasa melakukan apa sahaja kepada mereka. Kesimpulannya, beragama akan lebih melahirkan masyarakat yang tinggi moraliti berbanding mereka yang tidak.

9. Kita dapat melihat kejayaan Malaysia membanteras gejala tidak bermoral seperti pesta arak kerana rakyat masih kuat berpegang kepada agama. Tidak ada mana-mana individu yang memiliki akal yang waras boleh menerima bahawa meminum minuman keras adalah tindakan yang bermoral. Bahkan tidak ada mana-mana agama yang mengajak kepada meminum minuman keras. Malah terdapat agama lain selain Islam yang turut menegah perbuatan meminum minuman keras.

10. Malangnya Atheism tidak pernah menyentuh perkara berkaitan ini. Bagi mereka, individu bebas melakukan apa sahaja asalkan tidak mengganggu manusia lain. Barah Atheism bakal menghapuskan bukan sahaja agama, malah juga budaya dan adat ketimuran.

Uniknya Malaysia, walaupun memiliki berbagai kaum dan agama, tetapi masih mampu menjaga keharmonian dan kestabilan. Rahsianya adalah undang-undang yang adil, meletakkan Islam sebagai agama rasmi sesuai dengan majoriti rakyat, dalam masa yang sama meraikan kepercayaan agama lain untuk bebas diamalkan.

Alhamdulillah. Sejak merdeka, belum pernah timbul isu penindasan etnik di mana-mana tempat. Walaupun beberapa kali percubaan untik mencetuskan ketegangan dilakukan, tetapi rakyat tidak mudah melatah dan bertoleransi demi menjaga keutuhan perpaduan. Justeru Atheism perlu ditolak sebelum merebak dengan lebih dahsyat.

11. Kita amat bimbang golongan Atheism telah menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kuda tunggangan untuk menyebar luaskan fahaman mereka di Malaysia. Sebelum ini, pemimpin PH antara yang lantang membantah tindakan pihak berkuasa membatalkan pesta arak di ibu kota. Mereka juga banyak bercakap mengenai kebebasan individu termasuk kebebasan beragama. Kini sampai ke tahap kebebasan untuk tidak beragama pula.

PH kini didominasi oleh DAP. DAP pula didominasi oleh pemimpin kristian evangelis. Mengikut kepercayaan evangelisme, mereka bercita-cita untuk menubuhkan entiti politik (baca:negara) yang beragamakan kristian. Perkara ini sudah tentu akan menggugat kestabilan kerana bukan sahaja majoriti rakyat beragama Islam, malah kristian di Malaysia tidak sampai 10%, itupun bukan semuanya evangelis!

Mungkin evangelis antarabangsa juga menunggangi PH bagi mencapai matlamatnya.

12. Saya berharap Peguam PAN Sekarang dapat berfikir dahulu sejenak sebelum terus mempertahankan pandangannya. Fikir juga tentang akidah beliau sebagai seorang Islam. Fahami akan batas-batas iman dan kufur sebelum berkata-kata. Dan ingatlah hidup ini hanya sementara dan teramat singkat. Hitunglah sebaiknya agar tidak rugi di akhirat kelak.

13. Juga teguran buat Dr Mariah Mahmud yang pada awalnya menyuarakan kebimbangan mengenai Atheism di Parlimen, ditujukan kepada pihak kerajaan. Tetapi apabila rakan seperti mereka membela pula Atheism, beliau diam seribu bahasa. Sikap ini menunjukkan asobiyah yang dilarang dalam Islam. Anda tidak berjuang membela kebenaran, tetapi anda berjuang membela puak sehingga tidak sanggup menegur sebagaimana anda tegur kerajaan sebelumnya. Hamiyyah Jahiliyyah bukan cerminan manusia yang bertamadun.

Alang Ibn Shukrimun
14 Rabiul Awwal 1439 / 3 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 3/12/2017