Ibrah Al-Kahfi: Turutilah Nabi jika mahu selamat

AYAT terakhir surah al-Kahfi, Allah telah memperingatkan kita betapa perlunya kita balik kepada ajaran Nabi. Padanya amanat yang menyelamatkan kita di zaman serba fitnah.

Advertisement

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya aku adalah manusia seperti kalian yang diwahyukan kepadaku ajaran. Bahawa tuhan kalian adalah tuhan yang satu. Maka barangsiapa yang ingin bertemu tuhannya, lakukanlah amal yang soleh. Dan jangan sama sekali berlaku syirik terhadap tuhannya dengan sesuatu pun.” (Al-Kahfi 110)

Nabi Membawa Wahyu

Generasi terdahulu amat teringin menyambut Nabi Akhir Zaman. Ahli Kitab bercerita berkenaan topik tersebut selama ratusan tahun sehingga mereka sanggup meninggalkan tanah air masing-masing, berpindah ke Madinah untuk menyambut Nabi.

Malangnya setelah Nabi hadir ke Madinah dengan membawa bebanan ajaran Islam yang tidak secocok dengan nafsu mereka, Ahli Kitab enggan mengikuti ajaran Nabi. Rupa-rupanya selama ini mereka berdusta.

Nabi Dipuji Kerana Ketaatan.

Nabi telah berpesan:

لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ

“Janganlah kamu melampaui batas dalam memuji diriku seperti golongan Kristian melampaui batas memuji Isa Bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba maka katakanlah aku sebagai hamba Allah dan Rasulnya.” (Bukhari)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam kitabnya berjudul Haqiqah al-Tauhid, bahawasanya al-Quran memuji setinggi-tinggi pujian terhadap Nabi kerana pengabdiannya kepada Allah. Ia terakam di dalam surah al-Kahfi ayat 1, surah al-Isra’ ayat 1 dan surah al-Najm ayat 10.

Di dalam ayat-ayat tersebut, Nabi tidak dipuji kerana rupa paras batang tubuhnya. Sebaliknya baginda terpuji pada ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Allah.

Anas telah menceritakan beberapa orang telah berkata: “Wahai Rasulullah, wahai yang paling baik di antara kami dan putera yang paling baik di antara kami. Serta tuan kami dan putera dari tuan kami”. Lantas Nabi menegur:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، قُولُوا بِقَوْلِكُمْ وَلا يَسْتَهْوِكُمُ الشَّيْطَانُ ؛ أَنَا مُحَمَّدٌ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ مَا أَحَبُّ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِي اللَّهُ

“Wahai manusia, katalah dengan kata-kata (yang telah diajarkan kepadamu, iaitu wahai Rasulullah) dan jangan sampai syaitan menggoda kamu. Aku adalah Muhammad, hamba Allah dan RasulNya. Aku tidak berkenan kamu memujaku melebihi kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” (Ahmad)

Apabila Meninggalkan Ajaran Nabi.

Di ambang kiamat, umat berdepan dengan zaman kelam. Kelam dan serba keliru membezakan antara benar dan batil. Nabi telah mendedahkan faktor kekeliruan:

قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَديِي، تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ

“Kaum yang menyeru agar berpegang kepada selain dari panduanku. Kamu kenal sebahagian mereka, kamu mengingkari mereka.” (Ahmad)

Kekeliruan berpunca dari kealpaan umat Islam meninggalkan panduan Nabi, lantas menjadi buta. Bahkan hari ini kita dapati ramai yang sudah aqil baligh tetapi daya fikir dan menilainya seperti belum mumayyiz.

Istiqamah Bersama Nabi

Kita mestilah konsisten dengan ajaran Nabi. Bukan semata-mata pada pakaian sunnah dan keraian menyambut Nabi. Bahkan segala ajaran dan amanatnya mestilah diamalkan untuk menempuh zaman fitnah hari ini. Amatilah hadith-hadith fitnah akhir zaman. Nabi telah menjelaskan senario-senario zaman fitnah yang cukup bahaya, beserta panduan untuk kita menemui jalan selamat.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Klang