Penyatuan hanya dengan Islam

BERHADAPAN dengan cabaran semasa terhadap umat Islam khasnya dan negara amnya (merangkumi masalah dalaman mahupun ancaman luar) memerlukan penyatuan jitu umat Islam tanpa lengah.

Advertisement

nasrudin22. Aqal yang sihat pasti berjaya mengesan bahawa antara punca lemahnya ummat ini ialah kerana perpecahan dan pertelingkahan di kalangan mereka.

Firman Allah swt:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Dan taatilah Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bertelingkah; kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar. (Surah Al Anfaal: 46)

3. Sementara musuh Islam pula tanpa mengira dari blok mana datangnya mereka, sangat mengharapkan umat Islam berpecah. Justeru atas perpecahan itulah mereka mampu membina kekuatan, menang dan menguasai umat Islam.

4. Menggunakan strategi pecah dan perintah, musuh Islam mencetuskan pelbagai propaganda dan provokasi termasuk fitnah dan tohmahan terhadap perjuangan Islam. Kehendak mereka hanya satu iaitu umat Islam mesti berpecah dan lemah.

5. PAS sebagai sebuah gerakan Islam pula berperanan sebagai duta penyelamat dan kasih sayang, selayaknya bertindak untuk menyatukan ummat ini. Mereka tidak boleh dibiarkan berpecah atas apa alasan sekalipun termasuklah perbedaan latar fahaman politik, mazhab dan manhaj pemikiran.

6. Semestinya seruan penyatuan ini berpaksi kepada Islam. Justeru hanya Islam atau “Tali Allah” sahaja yang berupaya menambat dan mengikat hati-hati umat Islam supaya bersatu teguh dan utuh. Bukan wang ringgit, derajat dan pangkat, tetapi Islam.

Firman Allah swt:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu saling bermusuhan, lalu Allah menyatukan hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara, dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu mendapat petunjukNya. (Surah Aali Imran: 103)

7. Sebagaimana musuh boleh bersatu meskipun mereka berbeza parti politik dan aliran pemikiran demi “menyerang” Islam dan ummatnya. Maka umat Islam mesti bertolak ansur dan korbankan kepentingan diri serta puak dengan kembali kepada paksi Islam yang benar.

8. Mereka pastinya cuak lihat umat Islam bersatu. Mereka gelisah lihat umat Islam kembali berpaut erat pada Tali Allah. Mereka kepanasan lihat umat Islam mengurus perbedaan fahaman politik dan aliran pemikiran secara matang dan sejahtera.

9. Lantaran apa yang mereka mahu ialah umat Islam saling bercakaran, bergaduh tanpa sudah dan benci membenci antara satu sama lain. Perkara kecil diperbesarkan, yang mudah dipayahkan. Mereka gunakan pelbagai medium termasuk media dan cybertrooper milik mereka untuk mengadu domba.

10. Aslim Taslam! “Terimalah Islam Nescaya Kamu Selamat” inilah intipati seruan perjuangan Rasulullah SAW. Pelajari dan Hayati Islam serta jalani kehidupan ini berdasarkan syariat dan sunnah Rasulullah SAW. Tinggalkan amalan jahiliyah dan elakkan daripada terjebak dalam kancah dosa dan noda. Nescaya kita semua selamat di dunia dan akhirat.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 Rabiul Awwal 1439 / 3 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 3/12/2017