Hadapi tekanan AS, Sudan minta perlindungan Rusia

HUBUNGAN Sudan yang telah lama terpinggir dengan Amerika Syarikat mengalami satu perubahan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, yang melaksanakan dan melanjutkan usaha perubahan hubungan kedua-dua negara yang bermula semasa pentadbiran Obama.

Advertisement

Di bawah Trump, beberapa sekatan terhadap Sudan ditamatkan, membuka peluang perdagangan kedua-dua negara itu dan Sudan dengan banyak negara yang selama ini terhalang oleh sekatan-sekatan.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Jumaat 6 Oktober lalu, Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump mengumumkan secara rasmi menamatkan beberapa sekatan yang dikenakan ke atas Sudan, walaupun masih melabel Sudan sebagai negara penaja keganasan.

Tetapi ini semua tidak berlaku dengan mudah, dan menuntut harga yang tinggi untuk dibayar oleh Sudan, negara yang semakin tertekan akibat masalah ekonomi dan juga politik akibat pelbagai perkembangan serantau dan global, daripada krisis dalaman hingga melibatkan tekanan terhadap Presiden Omar Hassan Ahmad al-Bashir yang didakwa melakukan jenayah perang.

Sejak tercetus kebangkitan rakyat di dunia Arab, geopolitik serantau telah terkesan akibat perubahan-perubahan dan percaturan kuasa yang berlaku. Kuasa-kuasa yang bersaing melihat dengan bimbang perubahan yang mungkin berlaku, mengambil kira perubahan terhadap kepentingan masing-masing.

Sepanjang tempoh bermula Disember 2010 itu, kuasa serantau Arab Saudi bertindak balas dengan berusaha menyekat atau memperlahankan gelombang perubahan yang boleh menggugat kepentingannya, dari Syam hingga ke utara Afrika ke Teluk Parsi.

Kuasa-kuasa serantau seperti Arab Saudi dan Qatar cuba mempengaruhi perubahan hasil kebangkitan agar memihak kepada kepentingan geopolitik masing-masing.

Antaranya, Qatar mengalihkan Hamas dari naungan Iran ke naungannya, manakala Arab Saudi berusaha membantu rejim-rejim sekutu dipertahankan, atau agar pemerintah baharu hasil perubahan tidak bertentangan dengan kepentingannya.

Pusat-pusat kuasa serantau, termasuk Turki, Iran, Qatar dan lain-lain menyedari potensi geopolitik ini dan masing-masing berusaha memelihara kepentingan masing-masing.

Dalam gerakan dilaksanakan Riyadh itu, Sudan ialah antara negara yang terkesan kuat, hingga mendorong tindakan-tindakan drastik untuk menyelamatkan diri dan keluar dari peminiggiran, melibatkan pemulihan hubungan dengan beberapa negara, menjarakkan diri daripada Iran dan menyertai kem Arab Saudi.

Dalam tempoh itu, Khartoum menunjukkan perubahan besar dalam orientasi dasar luarnya, dengan menyertai pelaksanaan dasar luar Saudi, dan pada masa sama turut membincangkan normalisasi hubungan dengan Israel.

Selepas satu tempoh, Khartoum dan Washington akhirnya pada tahun ini membincangkan dengan serius pemulihan kedua-dua negara, yang telah disaksikan melalui beberapa tindakan AS sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, dapat dilihat sikap AS terhadap Sudan sebenarnya tidak banyak berubah, dan perubahan termasuk penamatan sekatan-sekatan lain masih bergantung kepada tindakan Sudan selepas tindakan-tindakan pemulihan ini.

Menurut Jabatan Negara AS, Khartoum telah menunjukkan kesediaan untuk memulihkan keadaan dalam negara dan membantu dalam kestabilan serantau, dan perubahan lebih positif bakal menyusul apabila sikap yang dikehendaki ditunjukkan, yang pastinya menurut kepentingan AS dan sekutu serantau.

Sudan yang berada di kedudukan geografi strategik berjiran dengan Mesir dan di Laut Merah menjadi satu pemain yang penting dalam sebarang perkembangan serantau Asia Barat, Afrika Utara dan Tanduk Afrika.

Sudan pernah memainkan peranan penting sebagai sekutu Mesir dan sekutu Iran yang berperanan dalam perang di Palestin.

Akibatnya, Sudan terus terdedah kepada percaturan dan pergolakan serantau, menyebabkan ia sentiasa berada dalam posisi yang sukar.

Terbaharu, Sudan menunjukkan satu perubahan dengan mengambil langkah menangani hubungan dengan AS ini, apabila presiden Sudan dalam satu kenyataan mendakwa AS mempunyai rancangan untuk membahagikan wilayah negara itu kepada lima negara kecil, yang bakal menghuru-harakan wilayah dekat kawasan Tanduk Afrika dan bersebelahan Laut Merah itu. (Kawasan Tanduk Afrika, di hujung timur benua Afrika, meliputi empat negara; Somalia yang dalam wilayahnya termasuk negara tidak diiktiraf Somaliland, Djibouti, Eritrea, dan Ethiopia, dan turut dimasukkan Kenya, Uganda, Sudan Selatan dan Sudan, meliputi kawasan Tanduk Afrika Raya).

Dalam satu pertemuan Presiden Bashir dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, Bashir dilaporkan meminta bantuan Rusia untuk menghadapi perancangan AS ini, menunjukkan usaha mengimbangi hubungan sukar dengan AS.

Dilaporkan pembinaan pangkalan tentera laut Rusia di Laut Merah turut menjadi salah satu isu yang bakal diterokai, sesuatu yang akan menambahkan aset strategik Rusia di kawasan perairan penting.

Sudan setakat ini telah mencapai persetujuan kerjasama membangunkan kemampuan pertahanannya dengan Rusia, dan berhasrat mendapatkan jet pejuang terkini Su-30 dan Su-35, dan juga peluru berpandu S-300.

Pada masa sama, Putin mengatakan tahun 2017 ini, Sudan dijangka mengimport 1 tan bijirin dari Rusia, satu jumlah rekod dalam hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Sudan kini menjadi pengeluar terbesar gandum dunia, ekoran peningkatan pengeluaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pada masa sama masalah dihadapi negara pengeluar utama yang lain seperti AS dan Australia.

Tindakan mengimbangi hubungan dengan AS dan Rusia ini menunjukkan cabaran besar yang terpaksa dihadapi Sudan pada masa ini, dalam usaha keluar dari peminggiran dan meningkatkan kedudukannya setelah melalui tempoh yang amat sukar.

Tekanan dihadapi dari Riyadh dan Washington dijangka akan terus kuat, memandangkan agenda yang ingin dicapai kedua-dua kuasa bersekutu itu, dan langkah-langkah pemulihan yang telah sedia dilaksanakan oleh Khartoum.

Hubungan dan kerjasama dengan Rusia akan membantu Sudan dalam hal ini, tetapi akan menuntut usaha dan tenaga yang lebih dari Sudan untuk megimbangi kedua-dua kuasa besar itu.

Kapsyen: Presiden Omar al-Bashir dengan Presiden Vladimir Putin dalam pertemuan di Sochi, bandar dekat Laut Hitam, Rusia baru-baru ini, menandakan satu kerjasama baharu antara kedua-dua negara.{/mprestriction}