Kewafatan Rasulullah dan kesinambungan perjuangan Islam

SUDAH menjadi lumrah kebanyakan umat Islam, setiap kali tibanya bulan Rabiulawwal maka mereka menyambut Maulidurrasul dengan pelbagai cara dan kaedah. Apa yang terbaik ialah menghayati dan memperingati perjuangan Nabi SAW untuk dijadikan panduan dalam kehidupan ini.

Advertisement

Hari dan tarikh kelahiran Nabi SAW menjadi khilaf di kalangan ahli sejarah Islam dalam menentukannya dan pandangan yang kuat ianya berlaku antara 8 dan 12 Rabiulawwal tahun Gajah. Adapun tarikh dan hari yang tidak menjadi khilaf di kalangan ahli sejarah Islam ialah kewafatan Nabi SAW yang jatuh pada hari Isnin tanggal 12 Rabiulawwal tahun ke-11 hijrah.

Jika sekiranya tanggal kelahiran Nabi SAW adalah penting dan selalu dikaitkan dengan penyebaran ajaran Islam yang dibawa oleh baginda yang telah berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam, maka kewafatan Nabi SAW juga adalah satu peristiwa penting yang perlu diingati oleh umat Islam.

Setelah wafatnya Nabi SAW di rumah Aisyah RA, beritanya tersebar ke seluruh Madinah. Ia umpama halilintar yang mengejutkan para sahabat sehingga menjadikan mereka tidak dapat untuk mengawal perasaan kerana kesedihan yang teramat sangat. Ada antara mereka yang terduduk dan ramai yang terdiam tidak dapat mengeluarkan kata-kata kerana terlalu sedih dan dukacita.

Saidina Umar Al-Khattab RA keluar ke lorong-lorong Madinah sambil menghunuskan pedangnya menafikan khabar berita ini dan mengancam untuk menetak pedangnya ke atas sesiapa yang menyebarkan berita ini kerana khuatir ianya adalah cakap-cakap golongan munafiqin. Akan tetapi hatinya masih gundah, hanya seorang sahaja yang boleh menenangkan hatinya, tidak lain dan bukan ialah Saidina Abu Bakar RA, sahabat setia Nabi SAW.

Melihat keadaan yang terkucar kacir ini, Saidina Abu Bakar RA memberikan ucapannya yang masyhur: “Wahai manusia! Ketahuilah sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Hidup tidak mati”. Lalu beliau membacakan ayat dari firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan bukanlah Muhammad itu melainkan seorang Rasul yang telah didahului sebelumnya rasul-rasul. Maka apakah jika sekiranya dia mati atau terbunuh di medan perang nescaya kamu memalingkan tumit-tumit kamu (dari ajaran Islam). Sesiapa yang memalingkan kedua tumitnya (dari ajaran Islam) maka dia tidak memberikan apa-apa mudarat terhadap Allah dan pasti Allah akan memberikan ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur”. (Al-Imraan)

Tersentak Saidina Umar RA dan para sahabat RA yang mendengar ayat ini, seolah-olah baru pertama kali mereka mendengarnya sedangkan ianya sudah lama diturunkan oleh Allah, iaitu sejurus berlakunya peperangan Uhud mengingatkan umat Islam agar tidak berganjak dari perjuangan Islam.

Begitulah faqihnya Saidina Abu Bakar RA dalam memahami nas syarak dan menterjemahkannya ke alam realiti. Beliau telah menunjukkan satu sikap yang ditulis dengan tinta emas; bahawa perjuangan Islam ini tidak terhenti dengan kewafatan Nabi SAW, bahkan ianya mesti diteruskan walaupun baginda SAW sudah tidak berada di sisinya dan para sahabat yang lain. Justeru para sahabat bersepakat melantik beliau sebagai Khalifah menggantikan Nabi SAW untuk mengurus pemerintahan Islam dan memimpin ummah bagi meneruskan perjuangan baginda SAW. Pemerintahannya hanya dua tahun tiga bulan, akan tetapi ia memberikan kesan yang sangat besar kepada sejarah Islam yang diingati sehingga ke hari ini. Langkahnya yang telah berjaya menstabilkan pemerintahan Islam daripada golongan murtad yang mengikut nabi-nabi palsu dan mereka yang khianat ke atas pemerintahan Islam menjadi pemangkin kepada pemerintahan Saidina Umar SA selepas itu untuk melakukan banyak perubahan-perubahan dalam sistem pemerintahan Islam, dalam masa yang sama meluaskan pemerintahan Islam dengan mengalahkan Rom dan Parsi.

Begitulah seterusnya, amanat yang telah disampaikan oleh Saidina Abu Bakar RA diingati oleh umat Islam zaman berzaman sehinggalah kita berada di zaman kegelapan umat Islam pada hari ini. Sudah 1428 tahun Rasulullah SAW meninggalkan kita, di tengah waqi’ umat Islam yang berkecamuk. Nyawa mereka tidak ada nilai di mata manusia lain; ratusan ribu yang dibunuh di Afghanistan, Iraq, Bosnia, Arakan dan lain-lain lagi. Nyawa mereka juga dipertaruhkan demi untuk mencapai cita-cita musuh-musuh mereka sendiri sebagaimana di Syria, Iraq dan Yaman. Hak-hak mereka dinafikan seperti di Palestin dan Kashmir. Syariah Islam direndah-rendahkan sehingga terpaksa mengemis dengan penganutnya sendiri untuk dilaksanakan. Ajarannya ditakut-takutkan dengan dilabel pelbagai label-label yang jelek. Umat Islam yang memperjuang dan mempertahankan hak mereka dilabel sebagai pengganas sedangkan perampas hak mereka digelar sebagai pendamai.

Di tengah kabus yang meliputi umat ini, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan walaupun musuh-musuhnya melakukan pelbagai perancangan untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Mereka (musuh-musuh) Islam mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Sedangkan Allah memenuhi cahayanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir”. (Al-Saff) Ianya terbukti apabila cahaya Islam menembusi tembok-tembok pemikiran di Barat dan Timur sehingga Islam menjadi agama yang paling cepat tersebar. Malang yang menimpa umat ini pasti akan ada cahaya kemenangan di hadapannya; umpama ucapan seorang penyair Arab: “Jika rakyat mahu kepada kehidupan maka ketentuan terpaksa mengikutnya. Malam yang gelap akan tiba penghujungnya dengan terbitnya fajar. Tangan-tangan yang digari akan berkecai juga garinya bila tiba masanya”.

Walaupun 1428 Rasulullah SAW telah wafat akan tetapi perjuangannya akan diteruskan oleh umatnya yang dipilih oleh Allah yang akan ada di sepanjang zaman sehinggalah pada masa yang ditentu dan ditetapkan oleh Allah SWT. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis yang bermaksud: “Akan tetap ada di kalangan umatku satu kumpulan yang menegakkan kebenaran, musuh-musuh mereka tidak boleh menghina mereka sehinggalah datangnya urusan Allah SWT (Qiamat).” (Hadis Sahih).

Mudah-mudahan Allah menggolongkan kita berada dalam kumpulan yang dipelihara oleh Allah ini.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
15 Rabiulawwal 1439 / 4 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 4/12/2017