Kem Remaja Rabbani mantapkan potensi diri

PANDAN: Pertubuhan Sahabat Didik Islam Selangor (PENSEL) dengan kerjasama Surau Mutmainnah dan Surau Mustaqim telah menganjurkan Kem Remaja Rabbani 2017 (KRR17) di Kem Impian Country Resort, Hulu Langat pada 1 hingga 3 Disember lalu.
 
Seramai 40 remaja berumur 10 hingga 16 tahun menyertai kem yang bertujuan membentuk remaja berwawasan mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat menerusi kaedah motivasi dan modul berupa teknik kecemerlangan diri dan sahsiah.
 
Kem tersebut dilaksanakan menjurus ke arah pembinaan akhlak unggul dan semangat jati diri yang mantap setiap peserta melibatkan mental, emosi, fizikal dan spiritual (MEFS) melalui aktiviti dalaman dan luaran.
 
Selain bermatlamat membina keyakinan dan memantapkan potensi diri, serta menyuburkan semangat kasih sayang sesama rakan sebaya, ibu bapa, guru serta seluruh masyarakat.
 
Paling utama, para peserta dididik untuk patuh dengan arahan dan disiplin dalam mencapai kecemerlangan pelajaran serta menanamkan rasa cinta pada Allah dan Rasul.
 
Ibu bapa turut dilibatkan pada majlis penutup kem menerusi slot Seminar Keluarga Mawaddah di mana ceramah disampaikan oleh Ustaz Mohamed Sabir Jamaludin yang menjadi sinergi penting mewujudkan kesedaran di pihak ibu bapa dan peserta. – HARAKAHDAILY 5/12/2017
Advertisement