Di tengah kekalutan tuduhan pengganas dan pembela ASWJ

“Al-Qardhawi dicop sebagai ‘pengganas’, Arab Saudi dinobat sebagai ‘pembela’ Ahlus Sunnah dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di tengah-tengah kekalutan itu.”
 
APABILA Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bercakap mengenai Iran dan Syiah, ramai sahabat saya yang terkilan. Ramai yang minta Tuan Guru menarik balik sokongannya kepada Iran dan Syiah dalam pergolakan geo-politik di Asia Barat. 
 
“Ikutlah pandangan Dr Yusuf al-Qardhawi yang menyatakan sokongannya kepada ulama Saudi dalam bab Iran dan Syiah,” begitulah kata mereka.
 
Bila Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi hafizohulLaah dan Persatuan Ulamak Islam Se-Dunia yang diketuai oleh beliau dituduh pengganas oleh Arab Saudi dan 3 negara sekutu utamanya… 
 
…tidak terdengar pula kawan-kawan lantang bangkit membela Syeikh al-Qardhawi sebagaimana yang dibuat oleh Tuan Guru Abdul Hadi.
 
Adakah Ahlus Sunnah Wal Jamaah pimpinan Arab Saudi berdalilkan al-Quran dan as-Sunnah ketika memberikan ketaatan kepada Trump dan Amerika? Memusnahkan hubungan persaudaraan dengan negara-negara jirannya yang Muslim, dan mengukuhkan hubungannya dengan saudara Nasrani dan Yahudi?
 
Adakah benar Arab Saudi yang mewakili Ahlus Sunnah Wal Jamaah di dalam pergolakan di Asia Barat? Atau ia hanyalah boneka Kuasa Besar Dunia?
 
Adakah ulama-ulama di Arab Saudi juga turut bertaqiyyah seperti yang sering mereka tudingkan kepada Iran dan Syiah?
 
Bila Putera Muhammad bin Salman ke Israel membuat lawatan rahsia ke sana sebagaimana didedahkan oleh media Israel, tiada terdengar kawan-kawan yang menyokong kepimpinan Ahlus Sunnah Wal Jamaah di bawah Arab Saudi, secara lantang menyatakan kebimbangan. Yang ada hanya kesenyapan yang luar biasa.
 
Langkah seterusnya, pada hari ini, Trump mengisytiharkan sokongan Israel mengambil Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya ke Baitul Maqdis dalam 3 hingga 4 tahun akan datang. 
 
Di manakah kekuatan negara Ahlus Sunnah dan kepimpinan Arab Saudi dalam menghalang kehendak Amerika dan Israel itu?
 
Adakah kawan-kawan juga merasakan kredibiliti Syeikh Dr Yusof al-Qardhawi sebagai ulama telah pun hilang, kerana beliau dituduh pengganas oleh Trump dan Saudi, dituduh khawarij oleh Mesir dan sebahagian masyayikh al-Azhar yang menyokong as-Sisi? 
 
As-Sisi yang telah menyimbah darah di medan Raba’ah.
 
Siapakah lagi yang ada masa untuk serius dalam memikirkan nasib ummat Islam melebihi perkiraan peribadi dalam membandingkan gaji, elaun, kenaikan pangkat dan rancangan persaraan yang mewah-mewah sesama rakan-rakan sejawat?
 
Begitulah lumrah dunia, ulama yang hidup matinya untuk Islam dan membela ummat Islam dikecam dan cuba dijatuhkan kredibiliti mereka. Nanti yang tinggal kepada kita, ‘ulama-ulama’ selebriti yang akan selalu menceriakan kita dengan cerita yang kita ‘suka’ dengar sahaja. Jika tidak, tentulah kita tak akan jemput mereka lagi.
 
Tidak ramai ulama yang sanggup memimpin, sanggup berterus terang walaupun kurang disenangi, bersabar menghadapi celaan orang yang mencela, tabah dalam mendidik pemimpin generasi dakwah yang baru, menghadapi pelbagai rintangan dan halangan daripada pelbagai pihak yang tidak mahu melihat Islam menjadi tinggi.
 
Seribu persoalan muncul bertalu-talu dibenak ini mengenai rangka pemikiran kaum Muslimin akhir-akhir ini.
 
Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada dua orang Syeikh dalam memimpin ummat Islam menghadapi pelbagai ujian dan kekalutan akhir-akhir ini.
 
ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Kawasan Marang
6 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 6/12/2017
Advertisement