Kelahiran Nabi Muhammad diiringi rahmat Allah SWT

SESUNGGUHNYA kehidupan masyarakat jahiliyyah di zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. berada dalam keadaan huru hara dan penuh dengan keserabutan, kerana masyarakat Makkah khususnya boleh disifatkan sebagai masyarakat yang tidak bertamadun kerana melakukan jenayah-jenayah yang dianggap kecil bagi mereka.

Advertisement

Jenayah seperti pembunuhan anak-anak perempuan dengan pelbagai alasan yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras, berjudi, berfoya-foya, berzina, meminum arak sudah menjadi budaya biasa bagi masyarakat jahiliyyah tersebut, dan mereka mempertahankan perbuatan jenayah itu dan menganggapnya sebagai perkara yang membawa kepada tamadun mereka.

Mana-mana pihak yang cuba menghalang apa yang telah menjadi darah daging mereka termasuk penyembahan berhala, pasti akan ditentang habis-habisan walau dengan apa cara sekalipun walaupun terpaksa menggadai nyawa semata-mata untuk berkorban kepada Tuhan-tuhan mereka.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Inilah gambaran buruk mengenai jahiliyyah yang diketahui umum dahulu dan sekarang, sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam, namun ia perlu diselamatkan dengan satu tamadun, peraturan hidup, undang-undang yang lebih baik daripada apa yang ada di kalangan masyarakat jahiliyyah, iaitulah Islam yang datang membawa rahmat melalui Nabi pilihan Allah SWT bagi menyelamatkan keadaan huru hara dan tidak berperaturan itu dengan kelahiran Muhammad s.a.w.

Walaupun acara sambutan Maulidir Rasul telah berlalu beberapa hari lalu, namun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang diiringi rahmat daripada Allah SWT amat diperlukan oleh segenap makhluk yang ada di muka bumi ini, sama ada makhluk bernama manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain, ia bertepatan sekali dengan firman Allah SWT dalam ayat 107 surah al-Anbiya’ yang bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Mengapa alam ini perlu kepada rahmat Allah SWT?

Ini kerana rahmat itu seperti dalam Tafsir Imam Al-Baidhawi menyebutkan bahawa secara bahasa rahmat berarti : kelembutan hati dan perasaan melindungi yang mendorong untuk memberi dan berbuat baik. Dari sini diambil kata rahim wanita kerana dia melindungi apa yang ada di dalamnya.

Dengan pengertian kata rahmat seperti ini, maka tujuan Rasulullah s.a.w. diutus beserta seluruh isi serta cara penyampaian risalahnya adalah untuk memberikan kelembutan dan perlindungan kepada seluruh semesta alam. Misi baginda bukanlah untuk membawa bencana dan keresahan di muka bumi.

Dari sini terlihat bahawa misi Nabi Muhammad s.a.w. adalah menjaga dan mengembangkan sifat rahmat yang telah dipersiapkan dalam jiwa kita sejak kita masih dalam kandungan. Dan sampai saat kita meninggalpun kita mengharap untuk masuk dalam lingkaran rahmat itu dengan ungkapan “almarhum” (yang memperoleh rahmat, kelembutan dan perlindungan).

Rahmat kepada manusia

Manusia-manusia di zaman jahiliyyah memang tidak bertamadun, justeru untuk menjadikan mereka supaya lebih bertamadun, Allah SWT mengutus kepada mereka seorang nabi dan rasul di kalangan mereka sendiri yang membawa rahmat, petunjuk dan agama yang benar, walaupun perkara itu tidak disukai oleh golongan yang melakukan syirik kepada Allah SWT yang hidup dalam penuh huru hara, gundah, bimbang yang mampu dihilangkan dengan kelahiran Muhammad yang membawa rahmat kepada mereka.

Apabila mereka memperolehi rahmat dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., maka kehidupan mereka sebenarnya lebih terjamin dengan keselamatan yang dijanjikan Allah SWT seperti yang termaktub menerusi ayat 96 – 99 surah al-‘Araf yang bermaksud : “Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96) Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.” (99)

Sehubungan itu Abul-Laits berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menerangkan kepada kaum mukmin rahmat Allah SWT supaya mereka bersyukur kepada yang telah memuliakan mereka dengan rahmat-Nya dan rahmat amal soleh, sebab siapa yang mengharapkan rahmat Allah SWT harus beramal mengikut petunjuk-Nya untuk mencapai rahmat-Nya.  Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat pada orang-orang yang berbuat baik.”

“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:” Tujuh macam orang yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat pada saat tidak ada naungan kecuali naungan dan rahmat Allah SWT :

1.Imam (pemimpin yang adil).

2.Pemuda yang tumbuh dalam ibadat kepada Allah s.w.t.

3.Seorang yang hatinya tergantung pada masjid, jika keluar sehingga kembali (yakni rajin menjaga sembahyang berjama’ah).

4.Dua orang saling menyintai (Kasih sayang) kerana Allah SWT baik ketika berkumpul atau berpisah.

5.Seorang yang ingat kepada Allah SWT ketika bersendirian lalu mencucurkan airmata kerana takut kepada Allah SWT.

6.Seorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga yang dikirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh kanannya.

7.Seorang lelaki yang dipanggil oleh wanita yang cantik untuk berzina, lalu ia berkata: “Saya takut kepada Allah azza wajalla.”

Rahmat kepada haiwan

Kedatangan Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. bukan sekadar diiringi rahmat kepada manusia sejagat, malah ia turut membawa ramat kepada makhluk bernama haiwan, sehingga ajaran baginda meliputi makhluk berkenaan, di mana orang Islam apabila melakukan penyembelihan terhadap haiwan-haiwan ternakan, mereka diarahkan dengan mengguna bahan yang cukup tajam seperti pisau dan apa sahaja yang munasabah, ia bertujuan untuk merahmati haiwan yang disembelih supaya ia tidak merasa sengsara ketika disembelih.

Rahmat kepada tumbuh-tumbuhan

Begitu juga makhluk bernama tumbuh-tumbuhan, di mana Islam melarang umatnya daripada merosakkan tanaman atau pokok dengan menebang-mya tanpa sebarang tujuan syar’ie yang dibenarkan, atau mencabut helaian daun tanpa alasan yang dibenarkan, ini semua menggambarkan bahawa ajaran Islam mengutamakan rahmat kepada tumbuh-tumbuhan serta alam sekitar, kerana kerosakannya akan membawa padah kepada makhluk bernama manusia seluruhnya, jika itu yang berlaku maka matlamat keselamatan, keamanan dan keharmonian tidak tercapai dengan baik.

Semoga dengan memahami maksud dan konsep rahmat itu, kita akan sama-sama lebih meyakini bahawa kelairan baginda Rasulullah s.a.w. bukan sekadar membawa rahmat buat sekelian alam ini, akan tetapi yang lebih penting ialah membawa petunjuk sebenar dan agama yang benar daripada allah Yang Maha Benar.{/mprestriction}