Umno kalah di Kelantan kerana parti itu sendiri

PAS berjaya mempertahankan kerusinya di Kelantan sehingga 27 tahun kerana resipi perjuangan parti itu berlandaskan Islam.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata kejatuhan Umno dan BN di Kelantan pada tahun 1990 bukan kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed semata-mata.

Tambah Amar, sebaliknya kerana parti itu sendiri yang semakin bermasaalah.

Beliau berkata  demikian kepada media selepas mesyuarat exco hari ini sebagai mengulas kenyataan Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Jazlan dua hari lalu mendedahkan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa punca kekalahan Umno dan BN sejak tahun 1990 hingga sekarang kerana Tun Dr Mahathir.

Menurut Jazlan lagi, pengakuan veteran Umno itu (Tengku Razaleigh) dibuat dalam mesyuarat Umno negeri.

Mesyuarat itu  turut dihadiri presiden mereka Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu.

Amar bagaimanapun berkata, kerana sikap Tun Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri ketika itu hanya sebagai resipi tambahan menyebabkan rakyat Kelantan menolak Umno dan BN.

“Bukan sebab Tun Mahathir semata-mata yang menyebabkan Umno kalah, tetapi perjuangan parti itu dan BN  sendiri yang tidak diterima rakyat Kelantan.

“Mahathir hanya menambahkan lagi ketidaksukaan orang kepada parti itu,”ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/12/2017