Mapim lancar intifadhah Asean untuk Baitul Maqdis

MAPIM mengumumkan pelancaran gerakan Intifadhah Asean untuk isu Baitul Maqdis yang kini diistihar sebagai ibu kota Israel oleh Presiden AS, Donald Trump.

Advertisement

Seruan pemimpin ulama sedunia, Dr Yusuf Qardhawi agar Intifadhah ketiga dilancarkan perlu disambut oleh seluruh umat Islam.

Mapim mengambil pendirian bahawa selain kenyataan mengutuk dan mengecam keputusan Trump, ia tidak harus terhenti hanya kepada reaksi spontan. Suatu kebangkitan menyeluruh dan berkesinambungan melalui intifadhah serantau yang menjadi rantai intifadhah di bumi Palestin perlu digerakkan.

Kini Intifadhah di medan Baitul Maqdis dan di tebing Gaza sudah mengorbankan nyawa rakyat Palestin dan mencederakan ribuan lagi. Sokongan solidariti bersama mereka yang sedang berdepan langsung dengan regim Israel perlu dinyatakan secara berterusan dan diterjemahkan diseluruh pelusuk dunia.

Kami mengambil inisiatif bahawa Intifadhah Asean ini akan menjadi pembinaan gelombang penentangan secara berterusan terhadap AS dan Israel berkaitan isu pembebasan Palestin di rantau ini.

Sebagai agenda mengerakkan Intifadhah Asean ini, MAPIM akan mengembleng seluruh masjid dirantau Asean untuk bergabung dalam Alliansi Masjid Mempertahankan al-Aqsa (AMSA) sebagai sebuah platform bagi membangkitkan perlawanan ke atas agenda Zionis Yahudi yang memperalatkan Amerika Syarikat.

Intifadhah Asean ini bertujuan bagi menghidupkan isu Baitul Maqdis dirantau ini disetiap peringkat: kerajaan, masyarakat sivil, ulama, cendikiawan, ahli politik, gerakan pelajar, golongan professional, pemimpin akar umbi dan komuniti perdagangan.

Mesej utama Intifadhah ialah pembebasan Baitul Maqdis dan Palestin serta mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Mapim yakin dengan intifadhah dari bawah yang disokong oleh pemerintah, isu Baitul Maqdis akan sentiasa segar dan aktif.

Antara manifestasi Intifadhah Asean yang Mapim akan terjemahkan ialah melancarkan Boikot ke atas Amerika Syarikat dan Israel serta menuntut agar segala pelaburan dipindahkeluar dari Amerika Syarikat.

Sementara itu semua ahli Parlimen Asean akan diminta bergabung dan menyatakan pendirian mereka terhadap isu Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa.

Mapim akan mengambil inisiatif untuk menghubungi seluruh Ahli Parlimen Asean supaya mengadakan persidangan khas untuk isu yang berkenaan dan merumus serta melulus usul khas mengenai isu Jeruselem untuk diketengahkan kepada komuniti antarabangsa.

Intifadhah Asean juga akan mengembleng masyarakat untuk melancarkan pelbagai gerakan dan kempen anti kolonialisasi Amerika Syarikat dan pengYahudian Baitul Maqdis oleh Zionis melalui pelbagai saluran seperti media sosial dan media  perdana, untuk mendesak Trump membatalkan keputusannya. – HARAKAHDAILY 9/12/2017