Rumah besar tiang sebatang, dalam kubur terbaring seorang (9)

RUMAH kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang, semasa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang. Pada usia senja sekarang ini teringat saya akan pantun atau ungkapan orang bijaksana ini.

Advertisement

Perkataan ‘bijaksana’ itu pun membayangkan betapa ke depannya orang Melayu yang bahasanya sekarang ini diperkotak-katikkan sesetengah pihak kononnya bahasa Melayu tidak layak menjadi bahasa pengantar di sekolah lantas mereka mahu mengembalikan penggunaan bahasa Inggeris.

Perhatikanlah bahawa orang Melayu tidak hanya bercakap mengenai ‘bijaksini’ tetapi ‘bijaksana’ bagi membayangkan betapa prihatinnya mereka terhadap nasib mereka di akhirat nanti. Ini juga bermakna bahasa Melayu amat berkait rapat dengan Islam; hakikatnya Islamlah yang telah mengukuhkan bahasa Melayu sehingga menjadi lingua franca alam di sebelah sini atau di nusantara ini.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Mengenai ungkapan ‘rumah kecil tiang seribu itu, seorang penulis membuat tafsiran begini: “Sehebat manapun kita, kita tetap tidak dapat menandingi kehebatan seorang ibu yang telah melahir dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, tanpa terma dan syarat dan tanpa sesal dan ralat”. Juga sepandai manapun kita mencipta resepi, kita tetap tidak dapat menandingi keenakan ‘air tangan’ ibu yang dimasak dengan penuh kasih sayang yang luhur.

“Dan setinggi manapun darjat kita, kita tetap tidak dapat menandingi ketinggian darjat seorang ibu, sehingga doanya tiada hijab di sisi Yang Maha Berkuasa. Oleh itu dalam sibuknya kita mengurus dunia dan mengejar cita-cita, panjatkanlah doa buat ibu yang semakin dimamah usia. Barangkali raut wajahnya tidak lagi segar seperti dulu namun kasihnya tetap mekar dan subur, takkan layu ditelan waktu…”

Katanya lagi, hanya setelah bergelar ibu, barulah seseorang anak mengerti mengapa kemuliaan seorang ibu tiga kali mengatasi kemuliaan seorang ayah.

Ketika menggamit nostalgia pantun,’Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang…’ baru-baru ini, saya terperasan rupa-rupanya ada versi lain yang lebih mendekati orang Melayu daripada segi amalan agama Islamnya.

Pantun itu berbunyi: “Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang, hidup di dunia bantu membantu, dalam kubur terbaring seorang.”

Kemudian ada pula lanjutan pantun yang berbunyi: “Anak ayam turun sembilan, mati satu tinggallah lapan, amal ibadat pengganti badan, kita kan tinggal di balik papan.”

Mengenai pertautan rapat bahasa Melayu dan Islam ini, teringat penulis akan perbincangan dengan seorang sarjana bahasa tidak lama dulu.

Beliau yang bergelar ‘Dr’, mengajar di sebuah universiti tempatan. Apa yang menarik yang dicelotehkan pensyarah ini adalah mengenai ketinggian martabat serta kedudukan bahasa Melayu. Satu perkara yang tidak dapat dipisahkan berhubung perkembangan dan kemajuan bahasa ini adalah Islam.

Katanya, Islamlah yang memartabatkan bahasa Melayu sekali gus bangsa Melayu. Sebarang langkah untuk ‘memperkecil-kecilkan’ atau ‘menyahkan’ bahasa ini bermakna orang Melayu dikhuatiri tidak akan maju tamadunnya. Tanpa bahasanya yang maju, tidak mungkin orang Melayu yang hampir semuanya beragama Islam akan maju hatta longgar juga dalam pegangan Islam mereka.

Sejak Islam datang dan diterima di alam Melayu dengan pengislaman raja-raja Pasai, Perlak, Aceh, Mataram (Jawa), Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu, Petani, Brunei dan banyak wilayah lain, bahasa Melayu yang mengadaptasi tulisan Arab (Jawi) mengalami perkembangan teramat pesat sehinggakan bangsa ini maju daripada segi budaya, kesusasteraan, pemerintahan dan teknologinya.

Islam telah mengangkat bahasa dan bangsa Melayu – bangsa dan kerajaan di rantau ini diiktiraf seantero dunia termasuk pemerintah China, India dan paling penting empayar Islam yang menguasai dunia ketika itu, iaitu Uthmaniyah yang berpangkalan di Turki.

Bahasa Melayu dengan huruf jawi amat berkait rapat dengan Islam termasuk amalan beragama. Di ruangan kecil ini memadailah diberi contoh mudah. Istiqamah satu sifat penting dalam melakukan peribadatan dalam Islam. “Daripada Aisyah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda, bermaksud: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam bahasa Melayu ada ‘bunga bahasa’ seperti peribahasa yang bermaksud seakan-akan selari dengan maksud hadis tersebut seperti ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’ dan ‘sehari selembar benang lama-lama jadi sehelai kain’.

Kata sarjana itu, ini menunjukkan pengaruh Islam amat hebat dalam bahasa Melayu dan perkara ini disedari penjajah yang sedaya upaya ‘memisahkan Islam daripada bahasa Melayu’. Maka dibuang dan dihapuskan huruf Arab (jawi) dan digantikan dengan huruf rumi. Mutakhir ini ada pemimpin berpendapat bahawa bahasa Melayu tidak berupaya membicarakan ilmu teknologi seperti Sains dan Matematik. Lantas mereka ‘memandulkan’ bahasa Melayu dengan ‘tidak membenarkan bahasa ini membicarakan Sains dan Matematik di sekolah dan universiti’ sebaliknya bahasa Inggeris diagung-agungkan.

Hakikatnya, kata sarjana itu bahasa Melayu adalah hebat dalam memperkatakan teknologi. Jika tidak masakan bangsa Melayu pada suatu ketika dulu terkenal sebagai pelayar hebat dan penjelajah lautan dunia. Rumusannya istiqamahlah dalam memperkasa bahasa Melayu walaupun secara berdikit-dikit. Namun jika cuba ‘dimandulkan’ bahasa Melayu maka dikhuatiri bangsa Melayu juga akan memasuki zaman gelapnya.

Ya, penjajah sudah berjaya ‘menanggalkan’ sebahagian Islam daripada bahasa Melayu. Namun wahai pejuang bangsa dan bahasa, istiqamahlah dan terus berjuang untuk memperkasa bahasa Melayu yang amat bertaut rapat dengan Islam. Jika dipisahkan elemen Islam daripada bahasa Melayu, bukan saja bahasa ini akan mati tetapi juga bangsa ini! Buktinya Tanah Melayu sudah tiada. Mungkinkah bangsa dan bahasanya akan menyusul? Nauzubillah.{/mprestriction}