Kuasa mutlak di tangan Putera Mahkota

DUA hari sebelum beliau ditahan pada awal November, Putera Al-Waleed bin Talal mengirim saya satu pesanan teks yang panjang yang mengecam saya berikutan satu artikel yang telah saya tulis bagi diterbitkan Washington Post dan Financial Times. Dalam tulisan tersebut, saya dengan beraninya telah mengkritik Putera Mahkota Mohammad bin Salman kerana membuat tangkapan!

Advertisement

Al-Waleed yang merupakan seorang pelabur jutawan dan juga pemilik hotel adalah anak saudara kepada Raja Arab Saudi dan beliau adalah bekas majikan saya semasa saya menjadi ketua di saluran berita televisyen Al-Arab News yang dibiayainya. Selepas membangunkan saluran tersebut selama tiga tahun, kami membuat pelancaran di Manama Bahrain, pada Februari 2015. Tetapi kami hanya sempat ke udara selama 11 jam sebelum kerajaan Bahrain mengambil keputusan untuk menghentikan operasi kami. Mengapa? Mungkin kerana kami memberikan waktu siaran yang hampir sama kepada para aktivis dan ahli politik pembangkang Shiah berbanding pihak kerajaan yang dikuasai pihak Sunni.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Saya jarang-jarang mendapat berita daripada Al-Waleed 12 bulan sebelum penangkapannya, tetapi itu tidaklah mengejutkan saya. Saya telah disenarai hitamkan daripada menulis kolum saya di suratkhabar harian Arab Saudi Al-Watan. Selepas itu saya turut disenarai hitamkan daripada menulis di suratkhabar Al-Hayat yang boleh didapati di seluruh dunia Arab. Suratkhabar tersebut turut berada di bawah pemilikan Arab Saudi. Saya juga diberitahu supaya tidak menggunakan Twitter selepas saya berkali-kali mengkritik keputusan kerajaan untuk berbaik-baik dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Saya kerap ditanya:”Siapa yang mengeluarkan arahan tersebut?”. Jawapannya adalah pegawai-pegawai kerajaan dan sekutu-sekutu mereka. Dan amarannya adalah jelas. Terutama bagi kami yang pernah melanggarnya sebelum ini: Anda sepatutnya berhenti daripada membuat bising dan mendiamkan diri atau anda perlu mengambil risiko tentang tindakan yang akan diambil. Tindakan pertama adalah anda tidak akan dibenarkan untuk bergerak. Selepas itu anda akan dikurung di rumah. Dan kemudiannya mungkin anda akan dipenjarakan.

Selama berdekad-dekad setelah berkali-kali merentasi garisan tersebut saya kini belajar daripada pengalaman bahawa tiada jarak yang meluas di antara pendirian rasmi kerajaan dan apa yang boleh dikatakan oleh kita sebagai rakyat biasa. Di masa lalu ruang yang ada adalah lebih besar – ia bukanlah ruang yang sebebas-bebasnya tetapi rakyat biasa tidak perlu untuk menurut semua pendirian kerajaan secara totok dan secara membabi buta.

Saya diberikan amaran

Kini pihak kerajaan tidak mempunyai sebarang tolak ansur terhadap sebarang bentuk kritikan sama ada dalam bentuk satira politik seperti yang diamalkan oleh ahli perniagaan Jamil Farsi yang kini telah dipenjarakan ataupun gesaan-gesaan untuk demokrasi dan tolak ansur yang lebih lagi seperti apa yang disuarakan tokoh agama terkenal Salman Al-Ouda yang telah ditahan pada bulan September. Semenjak Mohammad bin Salman yang lebih dikenali sebagai MbS menjadi Putera Mahkota, tindakan susulan kini berlaku secara pantas dan secara tiba-tiba. Jadi apabila saya diberikan amaran maka saya cepat-cepat berundur. Saya menjadi bisu tetapi tidak pekak dan semenjak itu saya menjadi semakin risau.

Tindakan Al-Waleed untuk menjauhi diri daripada saya tidak membuatkan saya kecil hati. Pesanan yang dihantarnya kira-kira 48 jam sebelum ditahan juga amat menyokong MbS. Al-Waleed menggalakkan saya untuk menyokong projek putera mahkota tersebut: “Negara Saudi ke-empat sedang dibina di bawah pimpinan abang saya, Putera Mohammad bin Salman dan negara kita memerlukan minda yang cerdas seperti kamu. Kamu mesti kembali dan berkongsinya dengan kami.”

Sebelum saya sempat memberikan jawapan, baginda telah ditahan bersama sepuluh putera-putera lain dan berbelas-belas pegawai atas tuduhan rasuah, suapan wang dan pengubahan wang haram. Penahanan tersebut menguasai tajuk-tajuk akhbar tetapi sebenarnya tangkapan-tangkapan sedemikian telahpun bermula semenjak tiga bulan lepas. Lebih 70 para intelek, ahli perniagaan dan ulama-ulama telah dipenjarakan atas tuduhan-tuduhan yang direka secara jelas bagi memastikan tidak wujudnya kritikan. Kebanyakan mereka tidak dikenali di luar Arab Saudi, berbanding mereka yang “dipenjarakan” di Ritz-Carlton di Riyadh. Kebanyakan mereka yang ditahan bukanlah mereka yang bersikap radikal tetapi lebih merupakan para penyokong reformasi, termasuk mereka yang menyokong inisiatif memberi kebenaran kepada wanita untuk memandu.

Satu kempen maya yang dilancarkan oleh seorang pegawai kanan di Istana Raja bernama Saud Al-Qahtani mempunyai matlamat untuk menyenaraihitamkan individu-individu tersebut. Dia menyeru rakyat Saudi untuk mengecam sesama sendiri dan kempennya turut mempunyai tandapagar Twitter.Ia merupakan satu usaha yang jelik seperti kegiatan polis rahsia Stasi di Jerman Timur. Oleh itu kini anda hanya mendengar suara-suara yang menyokong MbS kerana tiada siapa yang berani untuk memberikan kritikan secara terbuka.

Kuasa mutlak

Apa yang berlaku di Riyadh pada hari ini adalah satu perubahan yang berpotensi untuk menghasilkan satu sistem pemerintahan yang adil. Tetapi itu bukanlah apa yang berlaku, ataupun masih belum berlaku. Sebaliknya kita mempunyai MbS yang merupakan pemimpin agung yang sebenarnya masih bukan lagi seorang ketua negara. Tetapi baginda telah mendapatkan kuasa mutlaknya melalui siri tangkapan-tangkapannya sama ada dengan cara menggunakan jentera awam kerajaan ataupun secara menggunakan jentera tentera.  

Seorang kawan menelefon saya beberapa minggu lepas dan bertanya mengapa saya sangat mengkritik MbS sedangkan baginda mempunyai wawasan dan negara juga telah lama memerlukan perubahan. Saya bertanya mengapa saya tidak boleh meluahkan apa yang saya rasai seperti sebelum ini. Saya juga diberitahu oleh seorang rakyat Saudi yang mendapat pendidikan di barat dan menjadi sebahagian daripada struktur kuasa MbS supaya bertolak ansur dengan penahanan-penahanan yang merupakan kesan sampingan yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu reformasi dan kemajuan.

Benarkah begitu? Adakah saya perlu memerhatikan bagaimana kawan-kawan saya dipenjarakan atas kesalahan-kesalahan yang tidak lebih daripada meluahkan buah fikiran mereka? Adakah saya perlu untuk menyatakan bahawa semua tindakan yang diambil pihak kerajaan adalah baik dan mulia?

Pada 2011, selepas seorang peniaga jalanan Tunisia Mohammed Bouazizi membakar dirinya, berjuta-juta rakyat Arab bangun bertindak. Ya mereka mahu mendapatkan kerja tetapi mereka juga mahu didengari dan tidak dibisukan. Peluang pekerjaan tanpa ruang untuk bersuara mungkin merupakan model Presiden Xin Jinping daripada China. Tetapi saya seperti kebanyakkan rakyat Arab memilih untuk mengikut model yang ditunjukkan Angela Merkel. Saya mendengar suara pemuda-pemuda yang berasa bimbang dengan cara MbS bertindak. Mereka mahu mendapatkan perubahan tetapi mereka juga mahu menjadi sebahagian daripada proses untuk melakukan perubahan. Mengambil inisiatif dan mempunyai suara adalah penting kepada mereka.

Sistem pemerintahan Saudi

Negara saya tidak mengalami rasa kecurigaan yang sebegini semenjak 1979. MbS bukan sahaja berusaha untuk menggantikan bapanya tetapi baginda juga berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai setaraf dengan Raja Abdulaziz Al Saud yang merupakan raja pertama dan pengasas Arab Saudi. Penyokong-penyokongnya turut memanggil MbS sebagai “pengasas kedua” Arab Saudi. Apabila baginda tiba di satu-satu persidangan ataupun mesyuarat, baginda sentiasa berjalan bersendirian dengan pegawai-pegawai yang lain berjalan di belakangnya. Baginda hanya pernah dilihat dalam gambar-gambar dengan ayahnya sahaja yang berusia 81 tahun. Tanpa sokongan ayahnya MbS idak akan berjaya untuk meneruskan inisiatifnya yang dianggap sesetengah pihak sebagai berbahaya.

Walaupun MbS telah melanggar protokol diraja tetapi baginda masih menggunakan unsur-unsur asas dalam sistem pemerintahan negara itu. Apabila baginda dinamakan sebagai putera mahkota pada Jun dengan mengetepikan sepupunya Mohammed bin Nayef, maka baginda telah melantik lebih daripada 40 putera-putera yang lebih muda ke berbagai-bagai jawatan. Sebelum itu semasa baginda menjadi timbalan putera mahkota, baginda telahpun membuat lebih 30 lantikan. Dengan tindakannya itu, baginda memastikan kesemua cabang keluarga diraja tersebut diwakili dan putera-putera muda tersebut adalah orang bawahannya dan bukannya rakan sekutu. Putera-putera tersebut tentunya berasa gementar dan tidak mahu mendatangkan kemarahannya. Sekiranya mereka membuat tindakan yang betul maka mereka akan dilihat sebagai sekutu rapat dan mereka mungkin akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi. Putera-putera muda ini juga menjadi petanda tentang perubahan. Mereka kini berada di kedudukan dengan kuasa yang sebelum ini diberikan kepada ahli keluarga yang lebih tua.

Kuasa mutlak bagaimanapun adalah satu jalan yang salah tanpa mengira betapa pandai pun seseorang pemerintah tersebut atau betapa tulusnya pemerintah itu mahu melakukan reformasi ataupun betapa dahaganya sesebuah negara itu untuk mendapatkan perubahan. Sebagai orang Arab kita tentunya telah mempunyai pengalaman buruk tentang pemimpin patriotik yang kelihatannya ikhlas tetapi dengan mudah akan bertukar menjadi seseorang pemerintah kuku besi. Kebanyakkan penderitaan, kesusahan, kekalahan dan perang saudara yang kita alami adalah disebabkan oleh pemimpin-pemimpin yang sebegini.

Kempen untuk menghalang rasuah mungkin sedang dijalankan tetapi ia seperti mencantas ular yang mempunyai banyak kepala. Apabila satu dicantas maka yang lain akan tumbuh kembali. Saya mahukan peperangan menentang rasuah yang sebenarnya, bukan satu peperangan yang bersifat terpilih. Peperangan rasuah yang bersifat terpilih hanya akan berjaya untuk menghilangkan keyakinan pelabur dan merosakkan ekonomi. Saya mahu menghentikan sikap radikal. Tetapi saya tidak mahu menggantikan mereka yang fanatik dengan mereka yang bersifat fasis yang acap kali menyebut tentang kelebihan seorang “Pemimpin Agung” yang menindas suara-suara yang membangkang. Saya mahu negara saya berhadapan dan menghentikan proses pengluasan mazhab Iran di Syria, Yaman dan Lubnan. Tetapi tidaklah dengan cara mengambil risiko untuk berperang dan memusnahkan kedua-dua negara. Saya mahu Arab Saudi lebih bersifat memimpin dan berpengaruh di rantau Arab tetapi tidaklah dengan cara membuli negara-negara kecil.

Kita perlu untuk menerima semangat musim kebangkitan Arab berbanding bangun melawan menentang semangat tersebut.

*Jamal Kashoggi dilahirkan di Madinah pada 1958. Beliau terkenal sebagai seorang wartawan dan sebagai pengulas politik. Beliau kini telah meninggalkan Arab Saudi untuk hidup di Amerika Syarikat.{/mprestriction}