Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh: PAN cuba jadi juara

ISU peniaga enggan berpindah ke lokasi baru bukan perkara baru di Kelantan. Pengalaman serupa pernah berlaku di Pasar Borong Wakaf Jalan Hamzah.

Advertisement

Lokasi itu biar pun tidak selesa, malah berselut pada musim hujan, namun ada peniaga berdegil enggan berpindah ke pasar baharu di Wakaf Che Yeh.

Begitu juga peniaga di pasar sementara berhampiran Stesen Kereta Api di Pasir Mas juga enggan berpindah ke pasar baharu di Bandar Baru Tasik Raja.

Keadaan serupa juga berlaku terhadap peniaga di Pasar Lama MPKB Kota Bharu apabila merugut untuk dipindah ke Bazar Tok Guru.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Hari ini selepas rezeki mereka semakin melimpah, tiada lagi isu dibangkitkan.
Begitu juga kisah yang berlaku di Pasir Puteh apabila segelintir peniaga enggan berpindah ke pasar baharu yang jauh lebih selesa.

Sekumpulan peniaga berani bertembung dengan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) kerana ada parti politik yang menjadi dalang.

Parti Amanah Negara (PAN) muncul untuk menjadi juara semua isu di Kelantan. Kedatangan pemimpin utama PAN ditayang di media sosial seolah-olah mereka tampil membela rakyat.
Kehadiran parti politik seperti itu menyebabkan ada peniaga ‘naik angin’.

Pada 24 Oktober lalu, kira-kira 50 peniaga di Pasar Lama Pasir Puteh mengadakan protes secara aman membantah arahan perpindahan itu ke Pasar Siti Hajar.

Seramai 253 peniaga juga dinamakan menfail saman pada 27 September lepas bagi menuntut ganti rugi selepas MDPP mengeluarkan arahan berpindah.

Namun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut bahkan membenarkan permohonan MDPP untuk membatalkan tuntutan peniaga berkenaan.

Tiada bukti konkrit seperti dikemukakan peniaga terlibat, ujar mahkamah.

Jelas ada dalang politik yang mahu menangguk di air keruh. Di Pasar Lama Pasir Puteh terdapat seramai 516 peniaga.

Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral terletak kira-kira satu kilometer dari pasar lama.

Peniaga sepatutnya berpindah mulai 15 Oktober lalu. Mereka diberi tempoh selama seminggu untuk mengosongkan pasar lama.

Ada juga pihak menabur janji kononnya mahu membina pasar baru yang lebih baik. Mereka juga menjanjikan perkhidmatan guaman bagi membawa kes peniaga ke mahkamah.

Menurut penduduk tempatan seramai 40 peratus peniaga pasar lama merupakan penyokong Umno. Mereka juga difahamkan bergabung dengan PAN untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan negeri.

Ada juga dalam kalangan mereka mencurigai pembinaan pasar baharu yang melibatkan kos hampir RM7 juta. Mereka cuba mengheret isu itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh membuat laporan kepada SPRM pada 24 Oktober lalu, bagi menyiasat dakwaan berlaku salah guna kuasa dan kronisme pembahagian lot kedai Pasar Siti Hajar.

Pengerusinya, Kamarzaman Che Ngah dilapor mendakwa pemilikan setiap lot itu agak meragukan serta menimbulkan isu.

Peniaga juga berkeras walaupun MDPP mengeluarkan notis memotong bekalan elektrik dan air pada 20 Oktober lepas dan mengunci pasar lama lima hari kemudian.

Mengulas itu tersebut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri sedia disiasat SPRM dakwaan wujud penyelewengan Pasar Siti Hajar.

Sedangkan katanya, setiap ruangan niaga diberikan kepada semua peniaga daripada Pasar Besar Pasir Puteh berpindah ke Pasar Siti Hajar.

“Pembinaan Pasar Siti Hajar yang siap Mei 2015 lewat beroperasi kerana mendapat tentangan segelintir peniaga,” katanya.

Ramai sudah pindah

Sekarang seramai 305 peniaga sudah memulakan perniagaan di Pasar Siti Hajar, manakala 135 lagi belum berpindah walau pun telah menjelaskan bayaran.

Berikutan itu MDPP pada 29 November lalu mengeluarkan notis mengarahkan sekali lagi peniaga berpindah. Sekiranya gagal, MDPP menganggap mereka tidak lagi berminat dan permohonan baru akan dibuka.

Yang Dipertua MDPP, Mohd Anis Hussein juga mahu orang ramai tidak terpengaruh tohmahan pihak tertentu.

Pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada MDPP antaranya dakwaan mengatakan wujud agensi kerajaan negeri membeli tapak pasar lama. “Sedangkan tapak itu diserahkan kepada HLK Venture untuk dimajukan,” katanya pada sidang media di sini.

Berdasar perjanjian pemaju perlu menyerah pemilikan di Bandar Baru Pasir Puteh yang berupa satu unit pasar berkeluasan 3,941 meter persegi termasuk terminal bas dan teksi, surau serta galeri kepada MDPP.

Perjanjian itu menetapkan kawasan parkir awam dan pembesaran jalan bandar lama ke Bandar Baru Pasir Puteh Sentral yang bernilai RM10 juta turut menjadi hak milik MDPP.

Berdasarkan penilaian dilakukan Nasir Sabaruddin & Associate nilai keseluruhan aset MDPP di bandar baharu lebih RM14 juta.

Ia merangkumi Pasar Siti Hajar RM4.5 juta sebagai nilai tanah dan RM4.8 juta kos bangunan di Pasir Puteh Sentral.

Terminal Bas dan Teksi pula sebanyak RM2.8 juta, manakala Surau Tok Guru RM238,000.

Pasir Puteh Sentral juga kini semakin menjadi tumpuan ramai dengan pembukaan Pasar Besar Econsave Pasir Puteh pada 15 November lepas.

Perasmian disempurnakan Mohd Anis yang juga Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh.

Malah pada Ramadan lepas Pasir Puteh Sentral menjadi tumpuan orang ramai memandangkan di situ diadakan bazar Ramadan.

Pada bulan lepas Dewan Usahawan Kelantan di bawah Ustaz Mohd Zaki Zakaria juga menganjurkan jualan murah ikan sehingga mendapat sambutan luar jangka.

Dakwah Halaqat Pasir Puteh juga menganjurkan solat hajat di pasar baru setiap Jumaat bagi memohon kepada Allah Taala merungkai isu terbabit.

Sementara itu seorang penduduk tempatan, Ramli Mohd Hussin, 55 berkata, tiada sebab segelintir pihak mahu bertahan di pasar lama yang kini tidak lagi menjadi tumpuan masyarakat.

“Marilah berniaga di pasar baharu yang disediakan kerajaan negeri.

“Tidak ada kesudahan untuk bertahan di tempat lama. Buatlah keputusan yang bijak berpindah ke tempat yang jauh lebih selesa,” katanya.{/mprestriction}