Vitamin B17 bukan ubat kanser

HEBOH dalam masyarakat bahawa biji aprikot yang mengandungi kaya dengan Vitamin B17 itu ubat kanser. Sehinggakan terdapat segelintir pesakit terpaksa bergolok bergadai untuk mendapatkan rawatan ‘pakar kanser’ yang mempromosikan produknya. Hairan sungguh dengan fenomena kepercayaan sebegini kerana masih berlaku di dalam masyarakat yang sudah ramai pakar yang sebenar merawat kanser di hospital sama ada swasta mahupun kerajaan.

Advertisement

drsuhazeli2Saya tertarik juga dengan satu paparan akhbar melaporkan seorang ibu tunggal yang mengalami kanser lidah memohon bantuan kewangan untuk menjalani rawatan kanser yang dialami beliau. Saya bersimpati dengan kesulitan, kesakitan yang ditanggung oleh beliau dan keluarga. Menurut laporan berkenaan beliau sudahpun mendapatkan perhatian rawatan kimoterapi di hospital kerajaan. Maklumat yang saya terima bahawa rawatan kimoterapi di semua premis kerajaan adalah percuma.

Menjadi kesangsian saya adalah, antara rawatan selain dari kimoterapi, doktor akan memberikan suntikan vitamin B17. Saya bertanyakan rakan-rakan pakar bahagian onkologi (rawatan kanser), bahawa mereka tidak pernah pun mengiktiraf penggunaan vitamin B17 sebagai salah satu rawatan utama ataupun alternatif. Jika benar rawatan suntikan vitamin B17 ini diberikan, saya memohon pihak yang berkenaan keluarkan kenyataan menyokong atau menafikan. Sesuatu rawatan yang tidak berkesan malah belum dibuktikan secara klinikal ini perlu diselidiki dahulu sebelum diberikan kepada pesakit. Impak besar kepada pesakit kerana ia melibatkan kewangan, tenaga dan masa.

Mungkin sebagai pengetahuan umum, vitamin B17 ini tidak memberikan sebarang kesan dari segi penyembuhan, pengecilan saiz kanser, penstabilan kanser dan simptom kanser serta peningkatan jangka hayat pesakit. Kajian ini telah dijalankan oleh Moertel CG dan rakan-rakan pada tahun 1982 lagi. Selain itu, mereka mendapati pesakit akan mengalami keracunan sianida yang menghampiri paras berbahaya sehingga boleh membawa maut.[1]

Kajian terbaharu dari Chen Y dan rakan-rakan pula menunjukkan keupayaan laetrile/amygdalin (Vitamin B17) untuk membunuh kanser hanyalah pada tahap kajian di makmal menggunakan haiwan.[2] Namun begitu, kajian lain pula tidak semuanya menunjukkan kesan positif ke atas sel kanser.[3,4,5] Sekali gus kajian-kajian ini menolak dakwaan bahawa vitamin B17 sebagai ubat kanser.

Segala dakwaan keberjayaan vitamin B17 yang hanya disebut melalui testimoni adalah semata-mata ingin mengabui pesakit yang terdesak untuk mendapatkan rawatan. Mereka mudah terpedaya.

Sekian pesanan dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli
12.12.2017
Bukit Besi

Pautan
[1] Moertel CG, Fleming TR, Rubin J, et al.: A clinical trial of amygdalin (Laetrile) in the treatment of human cancer. N Engl J Med 306 (4): 201-6, 1982
[2] Chen Y, Ma J, Wang F, et al.: Amygdalin induces apoptosis in human cervical cancer cell line HeLa cells. Immunopharmacol Immunotoxicol 35 (1): 43-51, 2013.
[3] Laster WR Jr, Schabel FM Jr: Experimental studies of the antitumor activity of amygdalin MF (NSC-15780) alone and in combination with beta-glucosidase (NSC-128056). Cancer Chemother Rep 59 (5): 951-65, 1975 Sep-Oct
[4] Wodinsky I, Swiniarski JK: Antitumor activity of amygdalin MF (NSC-15780) as a single agent and with beta-glucosidase (NSC-128056) on a spectrum of transplantable rodent tumors. Cancer Chemother Rep 59 (5): 939-50, 1975 Sep-Oct.
[5] Hill GJ 2nd, Shine TE, Hill HZ, et al.: Failure of amygdalin to arrest B16 melanoma and BW5147 AKR leukemia. Cancer Res 36 (6): 2102-7, 1976.