Ahli PAS perlu tumpu empat perkara

“SAYA nak ulang balik, walaupun saya rasa dah ramai orang yang tahu bahawa PAS Terengganu akan bertanding di semua lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi Dun di negeri Terengganu,” ujar Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang.

Advertisement

Beliau menyatakan perkara itu dalam program Lawatan Kerja Pesuruhjaya ke Dun Bukit Payong malam tadi di Dewan Madrasah Darul Iman, Bukit Payong, Marang.

Laungan takbir bergema sejurus beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 300 ahli PAS di Dun Bukit Payong yang hadir bagi mendengar amanat dan berdailog dengan beliau.

Sambil memuji kehadiran ahli PAS dari Bukit Payong, beliau memberitahu, inilah kehadiran yang teramai yang beliau lihat setelah membuat lawatan ke 28 buah Dun, di samping kehadiran lelaki adalah lebih ramai berbanding wanita.

Paling menggembirakan beliau ialah persiapan bilik-bilik gerakan di Dun Bukit Payong juga dianggap antara yang terbaik di kalangan Dun-Dun yang menang.

Turut hadir ialah Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah, wakil Jabatan Pilihan raya Negeri Terengganu (JPNT), Ustaz Sood Said dan Ketua Jabatan Pilihan raya Dun (JPRD), Haris Malek.

Ustaz Husain juga mengimbau kembali senario yang berlaku di negeri itu sekitar tahun 1969 di mana PAS Terengganu ketika itu kalah disebabkan Besut gagal menyumbang kerusi yang sepatutnya PAS menang.

Kedudukan ketika itu menjadi 11 kerusi PAS dan 13 Perikatan, hampir sama senario dengan sekarang, di mana pembangkang kalah dua kerusi dan ianya juga kerana tiada sebarang kerusi dari Besut dan Setiu.

Oleh itu, beliau berharap agar PAS tidak menerima kekalahan yang serupa bagi kali ketiga pada PRU1 nanti dan berusaha untuk Besut menyumbang kerusi kepada PAS Terengganu di samping mengekalkan kerusi yang ada.

Bekas Speaker Dun Terengganu itu juga mengingatkan ahli-ahli agar menumpukan empat perkara yang disarankan di dalam al-Quran bagi melaksanakan tugas di samping memperolehi kebaikan daripada Allah.

“Mesti bersabar dalam menempuh segala ujian, menasihati antara satu sama lain, ribath, iaitu menjaga kubu sendiri dengan bersungguh-sungguh dan yang terakhir mesti berusaha menjadi orang yang bertaqwa,” ujarnya.

Menyentuh tentang kritikan-kritikan bahawa beliau dilihat agak tua berbanding Pesuruhjaya PAS yang lain, Ustaz Husain menerangkan ianya adalah kerana arahan pimpinan dan tanggungjawab terhadap jemaah dan agama.

“Jika sekiranya PAS ini NGO, sudah lama saya bersara dari memegang jawatan-jawatan ini. Tetapi oleh kerana arahan pimpinan dan PAS ini adalah parti yang membawa agenda Islam, maka saya tetap memikul tanggungjawab ini.

“Hati saya ini masih muda sama seperti Pemuda dan Ameerah untuk mencapai kemenangan,” kata beliau sambil disambut gelak ketawa para hadirin. – HARAKAHDAILY 13/12/2017

payong2