Laksanakan pakaian patuh syariah kepada syarikat penerbangan negara

CADANGAN supaya kerajaan memperkenal peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat penerbangan Malaysia merupakan pandangan yang praktikal dan amat wajar dilaksanakan di negara ini. Cadangan ini perlu disokong terutama oleh umat Islam di negara dan selaras dengan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Advertisement

Tidak ada pihak yang perlu membantah pandangan baik seperti ini. PAS juga telah lama menyuarakan gesaan pakaian patuh syariah terhadap semua pekerja terutama kepada pramugari beragama Islam. Malah, ada kalangan mereka yang mengeluh kerana ‘terpaksa’ berpakaian uniform sedia ada yang tidak menutup aurat, sedangkan mereka mahu patuh kepada syariah.

Cadangan pemakaian patuh syariah tidak mengarah kepada sikap ekstremisme atau keterlaluan, sebaliknya lebih menjurus kepada amalan kesopanan dan kepatuhan kepada agama. Bahkan, tidak ada pihak yang rugi dengan etika pemakaian, kerana kualiti perkhidmatan disandarkan kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Justeru usah ditakutkan jika pelanggan lari, kerana etika berpakaian tidak menjadi sebab pelanggan menjauhkan diri.

Ada pihak yang mencadangkan agar cadangan pemakaian patuh syariah dibuat melalui syarikat baharu yang terikat dengan pengawasan kualiti menurut syariah. Menurut Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), gesaan seperti itu tidak wajar dan menyalahi amalan memberikan kebebasan kepada kakitangan. Mereka menganggap tindakan itu mengganggu polisi syarikat yang sedia ada.

Bagi saya, gesaan itu tidak melanggar operasi syarikat, dan tidak pula melanggar hak kebebasan kepada kakitangan. Etika pakaian patuh syariah hanya terpakai kepada pramugari beragama Islam dan pakaian menutup aurat adalah ketetapan Allah, bukan oleh manusia. Ia sebagai suatu hukum yang wajb dipatuhi oleh manusia yang beragama Islam. Selain itu, perlu difahami bahawa pakaian patuh syariah menjadikan wanita Islam lebih manis, sopan, ayu dan terjaga maruah mereka. Wanita bukan barang dagangan yang boleh dijual beli sesuka hati. Harga diri wanita Muslim begitu tinggi. Dengan menutup aurat, tidak ada pihak yang boleh mengambil kesempatan melihat tubuh mereka, apatah lagi menyentuh diri mereka.

Jika gesaan itu digunapakai kepada syarikat baharu, bagaimana dengan syarikat yang sedia ada? Bagaimana konsep sebuah negara Islam dapat dihayati jika peraturan ini hanya terpakai kepada syarikat baharu manakala syarikat lama mempunyai kebebasan kepada kakitangannya? Apakah pelaksanaan Islam itu hanya terpakai pada satu sudut atau kepada syarikat tertentu dan bukan bersifat menyeluruh. Seolah-olah pelaksanaan hukum syariat itu boleh berpilih-pilih, mana-mana kakitangan yang mahu menutup aurat boleh bekerja di syarikat baharu, dan kakitangan yang hendakkan kebebasan tanpa menutup aurat, boleh bekerja di syarikat lama.

Gesaan pakaian patuh syariah adalah sebagai suatu didikan khususnya kepada umat Islam agar mematuhi perintah Allah SWT dalam segenap perkara. Sudah sampai masanya umat Islam taat dan mematuhi apa juga perintah dan larangan Allah SWT supaya rezeki dari kerjaya itu dapat dinikmati dengan keberkatan dan keredhaan dari Allah SWT.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
13 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 13/12/2017