Perlu ada ‘kehendak politik’ kurangkan kos sara hidup

nasrudin3

PENINGKATAN kos sara hidup antara isu besar yang sering meniti di bibir rakyat pada hari ini. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tetapi dalam masa yang sama tidak bersepadan dengan gaji semasa membawa kepada suatu tekanan dan bebanan kepada rakyat dalam mendepani kehidupan seharian.

Advertisement

Darsawarsa ini, kerajaan bukan sahaja bergelut mengurangkan kategori miskin di luar bandar, malah turut melibatkan kemiskinan bandar yang semakin tinggi dan perkembangan ini pula dilihat semakin membimbangkan.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memperkenalkan Program Pembasmi Kemiskinan Bandar bertujuan mengurangkan bebanan golongan miskin bandar. Pendekatan tersebut disusuli penyusunan kelompok miskin tegar, miskin dan mudah miskin.

Jika mereka yang bergaji RM3,860 sebulan dan ke bawah termasuk dalam kategori miskin bandar, apatah lagi mereka yang memperoleh gaji yang lebih rendah.

Meskipun kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup pada 2014, pula melihat kepada isu peningkatan kos sara hidup terutama golongan miskin bandar, maka pendekatan kerjasama dengan Jawatankuasa Fiskal merupakan langkah yang tepat kerana polisi-polisi fiskal negara banyak memainkan peranan dalam menangani isu tersebut.

Namun, kewujudan jawatankuasa khas tersebut masih kurang memberikan apa-apa impak positif kepada rakyat. Pelaksanaan GST, subsidi harga minyak runcit dan sebagainya adalah antara teras yang menyumbang kepada perkembangan ini tetapi sering kali terlepas pandang oleh pihak kerajaan.

Justeru, kerajaan sewajarnya melakukan pendekatan yang lebih berobjektif dalam mengatasi isu ini. Pelaksanaan ‘Outcome Based Budgetting System’ sepatutnya dijadikan suatu pendekatan yang lebih strategik mengkaji keberkesanan sesuatu program dan peruntukan yang dibelanjakan.

Bukan lagi peruntukan yang besar tetapi tiada kawalan terhadap keberkesanannya  Ini juga perlu diteliti sebaiknya.

Selain soal polisi atau program, ketepatan mengeluarkan data yang lebih realisitik juga penting untuk diperhatikan. Persoalan yang perlu kepada pemerhatian bersama ialah, adakah data inflasi yag digunapakai hari ini mencerminkan inflasi sebenar yang dirasai rakyat? Hubungan “cause and effect” ini turut memainkan peranan yang penting supaya polisi atau program dapat digerakkan secara tuntas.

Maka, menangani isu kos sara hidup yang tinggi perlu digembleng sedalamnya oleh pihak kerajaan. Saya berpendirian, jika faktor-faktor teras yang menyumbang kepada kenaikan harga barang tidak ditangani, maka hasilnya sudah pasti tidak akan memuaskan dan tentu sahaja membebankan rakyat terbanyak.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat.
23 Rabiul Awwal 1439 / 13 Disember 2017– HARAKAHDAILY 13/12/2017