Perlekeh jentera yang angkat kamu suatu ketika dulu

SEORANG kawan dari parti orang kecewa kata kepada ambe, kesian PAS masuk pilihan raya kerana nak redha Allah walaupun kalah. Orang lain masuk pilihan raya nak menang.

Advertisement

Saya tanya balik dia, apa yang awak dah buat untuk nak menang? Cuba cerita hal gerak kerja daftar pemilih yang kamu dan parti kamu dah buat? Terkulat-kulat dan terkebil-kebil dia. Rupa-rupanya gerak kerja daftar pemilih tak ada dalam kepala dia sama sekali.

Kami petugas PAS yang tak nak menang pilihan raya telah turun ke bawah tak pernah berhenti bergerak dari rumah ke rumah, tangga ke tangga dan pintu ke pintu untuk buat gerak kerja daftar pemilih sehabis daya bagi mempastikan semua yang layak mengundi mendaftar. Ini kerja orang nak redha Allah tapi tak nak menang! Nak cerita lebih-lebih lagi pun tak guna.

Paling maksimum saya perhatikan parti yang berdegar-degar kata nak menang pilihan raya buat ialah kempen daftar pemilih melalui media sosial. Kira bersungguh benar dah tu!

Saudara, nak menang tak perlu bagitahu orang berdegar-degar bahawa kita nak menang dan perlekeh orang lain kononnya tak nak menang. Terjemahkan hasrat dan kesungguhan nak menang dalam bentuk gerak kerja.

Beberapa orang pemimpin kamu sekarang ada dalam DUN dan Parlimen kerana gerak kerja dari jentera parti yang tak nak menang! Akhirnya kamu dapat masuk dewan dan menerima elaun belasan ribu dan puluhan ribu sebulan.

Sekarang kamu hina dan perlekeh jentera yang pernah mengangkat kamu suatu ketika dulu dengan pelbagai gelaran. Parti lebai, parti suci, parti nak redha Allah, parti masuk pilihan raya nak kalah dan macam-macam lagi. Ingat saudara, hukum alam masih tak berubah. Selepas hari Rabu akan tiba hari Khamis. Masanya akan tiba…

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/12/2017