Amal Selangor baiki atap rumah warga emas

JABATAN Amal Malaysia Negeri Selangor meneruskan khidmat bakti sukarelawan melalui program bulanan “A Day For Charity” (AD4C) mereka dan bulan ini mereka memilih untuk bersama PAS Cawangan Serendah dan PAS Kawasan Hulu Selangor bergotong royong membantu membersihkan kawasan rumah penduduk kampung dan mengadakan ziarah medik dan kebajikan di Serendah pagi tadi.

Advertisement

Seramai 42 kekuatan anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor kali ini hadir menyumbang tenaga membersihkan 3 buah rumah milik seorang bangsa Cina, India dan Melayu.

Komandan Amal Hulu Selangor, Azlan Awal menyampaikan perasaan berbesar hati beliau kerana diberi peluang sebagai tuan rumah yang mana fokus utama mereka kali adalah aktiviti bergotong royong membersihkan rumah mengecat dan menggantikan atap rumah yang uzur seorang warga emas atau dikenali orang kampung dengan panggilan nenek Embam.

Menurut Ketua Cawangan PAS Serendah, Abdul Jamil Othman rumah nenek Embam atau nama beliau Embam Abu dipilih kali ini kerana faktor warga emas yang kini berusia 76 tahun dan duduk bersendirian di rumah tersebut ditambah dengan keadaan kesihatan beliau yang uzur di samping masalah kurang pendengaran.

Tambah beliau, nenek Embam ada mendapat bantuan zakat sebulan sekali namun ia sekadar mampu menyara kehidupan hariannya.

Program berlangsung serentak dengan aktiviti ziarah kebajikan dan medik oleh Sektor Kebajikan dan Unit Medik Amal Selangor yang mensasarkan 10 rumah sekitar kampung tersebut.

Turut sama dalam program tersebut YDP PAS Kawasan Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun dan Prof Dr Wan Mat Sulaiman, AJK PAS kawasan serta Ketua Pemuda PAS Hulu Selangor yang turut sama ringan tulang membantu mengecat dan membersihkan rumah nenek Embam.

Program berakhir dengan majlis bacaan doa selamat dan tahlil serta kenduri rakyat yang ditaja dan disempurnakan penuh oleh Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor bersama penduduk yang turut hadir membantu sekitar jam 3 petang tadi.

Pihak tuan rumah merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua terlibat terutama khidmat Unit Kejuruteraan Amal negeri dan kawasan Hulu Selangor yang telah berganding bahu melaksanakan tugasan memasang atap baru rumah Nenek Embam.

Semoga usaha murni yang dibuat oleh anggota Jabatan Amal ini mampu mendorong lebih ramai anak muda menyumbang tenaga dalam misi-misi sukarelawan kebajikan seperti ini. – HARAKAHDAILY 17/12/2017

amal3

amal2