Ingati Allah dalam semua keadaan, bukan setakat dalam solat!

FIRMAN Allah SWT mengenai anjuran berzikir kepada-Nya (mengingati-Nya) yang bermaksud : “Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah diwaktu berdiri, diwaktu duduk dan diwaktu berbaring.” (Surah An-Nisa ayat 103).

Advertisement

Tujuan solat difardukan oleh Allah SWT ialah untuk mengingat-Nya. Ayat tersebut mengingatkan agar ingatan kepada Allah SWT yang dibina melalui solat, dikehendaki berterusan dalam kehidupan sentiasa membataskan diri dengan hukum dan peraturan Allah SWT.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Kehidupan di luar solat lebih panjang masanya, sama ada sedang berdiri (bekerja), duduk dan baring semuanya terikat ingatannya kepada kepada Allah SWT. Berdasarkan ayat tersebut tiada sedetikpun bagi manusia, terlepas dari keterikatan dengan mengingati dan melaksanakan syariat Allah SWT.

Tiada istilah agama lain politik suatu urusan yang lain. Jika bersikap demikian bererti agama hanya dalam solat sahaja, selepas itu manusia bebas melakukan apa saja mengikut kehendak akal sendiri. Sedangkan hakikatnya fungsi ingatan (zikir) kepada Allah SWT, membawa ke wilayah kehidupan di luar solat yang luas dan panjang waktunya.

Kehidupan selepas solat lebih luas daerah dan amat berliku laluannya, setiap insan ada tahap kedudukan dan tanggunjawabnya masing masing. Pelbagai amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan, segalanya tidak terlepas dari garis lurus yang ditetapkan Allah SWT. Di  sinilah letak keperluan ingatan yang menyeluruh kepada peraturan-Nya.

Ibnu Abbas r. anhuma ketika mentafsiar ayat 103 Surah An-Nisa ini menyatakan bahawa setiap ketika siang atau malam, di darat mahupun di lautan, ketika berjalan (musafir) atau ketika bermastautin di kampung halaman, ketika senang mahupun ketika derita, ketika sakit dan ketika sihat segar, ketika duduk seorang diri atau bersama orang ramai mesti ingat kepada Allah SWT.

Pada era kini boleh disebut; masa di pejabat menjalankan tugas rasmi, waktu berniaga di pasar raya membeli belah. Di padang ketika bersukan dan riadah, atau di kantin sedang makan minum bersama rakan, ketika di dewan mendengar ceramah atau kuliah agama.

Ketika duduk di mana sekalipun apabila tidak lupa kepada Allah SWT bererti kehidupan harian di setiap detik berada di bawah hukum dan peraturan Allah SWT. Jika hukum-Nya dilanggar bererti ketika itu dia melupai Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan sebutlah (nama) Tuhanmu, dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raaf ayat 205).

Dalam ayat tersebut Tuhan menganjurkan supaya mengingati Allah SWT dengan merendah diri, jangan zikir dengan suara yang keras (lantang) kerana Allah SWT itu Maha mendengar. Suatu yang paling terlarang ialah jangan lalai, kerana apabila tidak ingat atau lalai kepada Allah SWT bererti dia terjebak dalam perangkap syaitan. Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.” (Surah An-Nisa ayat 142).

Ketika Allah menyebut perangai orang munafik itu sekadar sedikit, hanya sekali sekala menyebut nama Allah. Oleh itu jadikan ayat tersebut sebagai cermin diri, sama ada termasuk orang beriman atau golongan munafik. Kerana di permulaan ayat tersebut Allah SWT menyatakan di antara sifat orang munafik yang ketara ialah jika berdiri solat dalam keadaan malas, puncanya terlalu sedikit ingat kepada Allah SWT.  

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis Qudsi; firman Allah SWT: “Aku sentiasa bersama hamba-Ku selama mana mereka menyebut nama-Ku selagi bibirnya bergerak kerana menyebut nama-Ku”. Sama ada dengan bertasbih, beristighfar, bertahmid, tilawah Al-Quran atau apa saja. Selagi hamba-Nya dalam keadaan demikian akan terhindar dari segala perkara mudarat.

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. menyatakan: “Mana-mana orang yang ingin makan minum dengan bebas dalam syurga, maka dia kena ingat kepada Allah.” Justeru masa mewah bagi manusia yang sebenarnya ialah di dalam syurga, tidak dibatasi dengan rasa kenyang dan puas malah tidak terasa hendak buang air kecil atau besar.

Untuk mendapat anugerah tersebut hendaklah sentiasa ingat (zikir) kepada-Nya, kerana dengan ingat Allah SWT menyebabkan seseorang rasa gerun melakukan dosa maksiat, malah sentiasa dalam amal ketaatan. Seorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Dalam banyak amalan, manakah satu amal yang paling afdal?.

Untuk penanya itu Nabi s.a.w. menyatakan: “Bahawa kamu mati dalam keadaan lidah basah dengan menyebut nama Allah SWT.” Justeru itu ketika manusia masih sihat segar bugar sentiasa melatih diri melazimkan menyebut nama Allah SWT, supaya ketika sakit akan mudahlah lidah menyebut-Nya.

Kerana meskipun ketika ajal sudah menghampiri lantas seseorang membimbing (mentalqin) dengan kalimah tersebut, tetapi belum pasti dapat mengikutinya. Kerana ketika sihat pun tidak berbuat demikian, maka betapa pula ketika uzur sakit.

Meskipun telah terlalu letih dan uzur kerana berada di pinggir ajal, insya Allah SWT akan mendapat bimbingan-Nya untuk melafazkan kalimah toyyibah. Kerana waktu sihat mereka tidak lupa menggerakkan bibir untuk sentiasa zikir kepada Allah SWT.{/mprestriction}