Terima Islam seadanya bukan dalam keadaan terdesak

WALAUPUN terdapat ungkapan Melayu yang sangat masyhur ‘Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain’ mungkin ada kebenarannya, kerana jika terdapat sejuta manusia di muka bumi ini, maka sudah tentu keinginan atau kecenderungan mereka juga berbagai-bagai, ia tidak sama antara satu sama lain, dari sudut pemakanan sahaja ia kelihatan berbeza, ada yang suka pedas, ada yang suka manis, tidak kurang juga yang suka masam-masam manis.

Advertisement

Begitulah adat resam hidup di dunia ini, yang bernama atau berjenama Islam pun terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, keturunan, budaya yang berbeza, ada Cina, Melayu, Arab, India, Kadazan dan lain-lain, ini menunjukkan betapa hebat Allah SWT dalam mencipta segenap rumpun bangsa dan bahasa yang berlainan yang boleh hidup bawah satu negara.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Namun apa yang ingin difokuskan di sini, bukanlah persoalan pemakanan yang menjadi subjek perbincangan, tetapi apa yang penting terdapat dalam kalangan umat Islam terbahagi kepada kategori yang boleh dibezakan antara satu sama lain dari sudut kekuatan kefahaman terhadap ajaran agama, iltizam dengannya, jahil mengenainya dan lain-lain.

Penulis ingin berkongsi isu dengan sidang pembaca sekelian, betapa mutakhir ini umat Islam menjadi sasaran golongan yang amat benci kepada Islam, ia bukan sahaja datang dari kalangan non-muslim, akan tetapi yang lebih menjengkelkan apabila wujud dalam kalangan mereka yang asal beragama Islam ingin menjadi juara dengan memberi pandangan mengenai Islam yang cukup meleset dari kebenaran Islam sebenar, hingga ia memperlihatkan betapa individu-individu dalam kalangan kita terbahagi kepada beberapa jenis makhluk Islam yang berpotensi menjadi golongan tercicir atau tersungkur akibat kejahilan dan kedegilan mereka untuk tidak mempelajari Islam dengan sempurna.

Kategori orang Islam yang wujud dalam masyarakat

1-Orang Islam yang walaupun jarang ke masjid untuk bersolat jamaah, namun tetap rajin untuk berdemo atau menyatakan sikap tegas terhadap golongan yang anti Islam seperti Donald Trump yang mengusytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang baharu.

2-Orang Islam yang tidak peduli langsung terhadap agama apabila dicerca, dimaki hamun atau diberi gambaran salah oleh individu tertentu.

3-Orang Islam yang tidak peduli aurat ahli keluarganya sama ada isteri atau anak-anak perempuannya ketika melangkah keluar dari rumah tanpa sehelai kain yang menutup kepalanya.

4-Orang Islam yang berani menyanggah hukum, peraturan serta undang-undang Allah dengan menyatakan pandangannya yang jauh dari kebenaran agama.

5-Orang Islam yang tidak mengenali agamanya akibat tidak bersedia untuk mendalami ilmu-ilmu agama kerana alasan sibuk dengan tugasan harian.

6-Orang Islam yang tidak minat terhadap agamanya sendiri kerana tidak diasuh sejak kecil amalan-amalan keagamaan seperti menghormati orang yang lebih tua atau menyayangi golongan yang lebih muda.

7-Orang Islam yang menjadikan agamanya sebagai bahan sampingan, jika perlu kepadanya diambil jika rasa menyusahkan diri dipinggirkannya dari kehidupan.

8-Orang Islam yang malu untuk menyatakan Islam melalui perwatakan, pemikiran, pakaian, akhlak dan lain-lain lantaran terlalu kagum dengan kehidupan masyarakat barat kononnya membawa kemajuan.

9-Orang Islam yang suka mempersenda-sendakan agamanya, sama ada melalui tulisan, ungkapan, tindakan dan lain-lain, ia semakin menjadi-jadi dengan kelahiran golongan Islam Liberal, Pluralisme Islam dan bermacam-macam istilah baru yang bercambah kerana tiada penguatkuasaan oleh pihak berwajib.

10-Orang Islam yang hanya menerima Islam apabila terdesak seperti nikah kahwin, kenduri arwah, kematian, ketika sakit dan lain-lain, ia benar-benar berlaku dalam masyarakat umat Islam, di mana ada majlis perkahwinan, pertunangan, kematian, barulah mereka nampak ustaz, tok imam, bilal untuk menyempurnakan majlis mereka, lepas daripada itu kesemua mereka tidak dalam senarai untuk diundang.

11-Orang Islam yang beranggapan bahawa Islam seolah-olah milik tok-tok guru, imam, bilal, ustaz dan sebagainya hingga malu untuk menyatakan Islam seperti nak pakai kopiah, kononnya ia tidak sesuai kerana ia hanya dipakai oleh golongan-golongan agama semata-mata.

12-Orang Islam yang tidak ada perasaan sensitiviti terhadap agama apabila ia dihina atau dimahkamahkan seperti tidak mahu turut serta dalam menyatakan sikap terhadap kebiadapan musuh-musuh Islam yang dengan sengaja menghina Rasulullah, isteri baginda, ahli keluarganya dan lain-lain.

13-Orang Islam yang tidak menepati janji hingga dikenali dalam masyarakat dengan istilah janji Melayu, sebenarnya budaya memungkiri janji ini bukanlah budaya yang baik, kerana ia adalah antara sifat nifaq (munafiq) yang semestinya disisihkan dalam kehidupan.

14-Orang Islam yang hanya berbangga dengan perkara-perkara luaran seperti menganjurkan musabaqah al-Quran, membina banyak surau dan masjid, ini berlaku dalam negara sendiri, sedangkan yang sepatutnya sebagai umat Islam kita perlu berbangga dengan banyak pengisian ilmu di masjid-masjid atau surau-surau, sama ada ceramah, kuliah, forum agama yang boleh membina jati diri orang-orang Islam sebagai golongan muslim terbaik terhadapo agama.

15-Orang Islam yang banyak menghabiskan masa bukan untuk tujuan kebaikan agama dengan lepak di warung-warung, kedai-kedai kopi bersembang pada perkara yang mungkin terdapat sesuatu yang tidak elok pada pandangan agama, justeru kurangkan bercakap jika tidak perlu, kerana baginda ada menegaskan bahawa orang yang banyak bercakap banyak pula kesalahan yang dibuat.

16-Orang Islam yang seolah-olah tidak ada hubungan dengan Allah SWT dengan tidak banyak berzikir, bermunajat, solat fardu dibuat kalau ada waktu, kalau tidak solat tak perlu, kurang nak membaca al-Quran apatah lagi berdiskusi mengenai isi-isi kandunganya.

17-Orang Islam yang tidak bersangka baik terhadap Islam dengan perasaan tidak baik khususnya apabila ada cadangan nak melaksanakan undang-undang Islam, prejudis terhadapnya dengan pelbagai gambaran yang sempit.

18-Orang Islam yang tidak mahu duduk dalam majlis-majlis ilmu sekali gus tidak akan memahaminya dengan baik, malah dikatakan bahawa orang Islam yang beramal tanpa ilmu pengetahuan agama yang mantap, segala amalan yang dilakukannya rosak dan terbatal.

19-Orang Islam yang memandang kecil akan dosa-dosa besar seperti penglibatan mereka dalam jenayah pembunuhan, ragut hingga membawa kepada kematian, merogol, sumbang mahram dan lain-lain, mereka yang melakukannya tersenyum di mahkamah seolah-olah ia bukan satu jenayah.

20-Orang Islam yang tidak mengetahui secara mendalam konsep kehidupan Jahiliyyah, apabila ini berlaku, mereka akan ditimpa bahaya dan kemudaratan dalam kehidupan seperti yang pernah dinyatakan oleh Saidina Omar Bin al-Khattab. .

21-Orang Islam yang melakukan apa yang tidak disuruh oleh Islam dan meninggalkan apa yang diperintahkannya, ini banyak berlaku pada hari, meninggalkan solat sudah menjadi fenomena biasa dan penglibatan dalam kegiatan judi juga dianggap kecil.

22-Orang Islam yang menjadikan TV sebagai al-Quran dan surat khabar sebagai galang ganti kepada hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w., hingga ada kesanggupan memiliki TV yang bersaiz besar, tetapi nak beli naskhah al-Quran atau kitab-kitab hadis Nabi sangat berkira justeru ia tidak ada dalam koleksi orang-orang Islam hari ini.

23-Orang Islam yang tidak yakin kepada undang-undang Syariat Islam dengan mencemuh cadangan untuk melaksanakan hukum Hudud, Qisas dan sebagainya dengan mempersenda jika mahu makan sup tangan, boleh pergi ke Kelantan dan sebagainya.

24-Orang Islam yang tidak memperuntukkan masa untuk Allah khususnya dalam perkara ibadat, ini jelas berlaku apabila duduk dalam majlis ilmu baru setengah jam, sudah rasa gelisah, tetapi kalau menonton Akademi Fantasia hingga tahun/musim ketujuh tidak jadi masalah.

25-Orang Islam yang suka mengejar populariti dengan menyertai pertandingan hiburan keterlaluan dan sebagainya.

Saudara-saudariku seagama, marilah kita berusaha untuk menjadi duta Islam dengan memperkenalkan produk-produknya melalui tindakan serta amalan kita seperti berakhlak mulia, sopan santun, menghormati yang lebih tua terutama kedua ibu bapa, menghormati hak jiran tidak berbohong walaupun terhadap diri sendiri, tidak menganiayai orang lain, tidak memberi atau menerima rasuah, tidak terlibat dengan dosa-dosa besar seperti gemar menabur fitnah, menyokong kezaliman dan keganasan yang sedikitpun tidak membantu perkembangan Islam. {/mprestriction}