Tebing sungai di Chetok runtuh: Kerja menimbus sebulan

KERJA-kerja menimbus tebing tepi Sungai Kelantan di Chetok, Pasir Mas akan disiapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan bermula semalam.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrustruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad, berkata usaha berkenaan perlu diteruskan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

Katanya, kerja menimbus tebing yang bermula semalam dilaksanakan Kada dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) sendiri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini hari ini bagi mengulas kejadian tanah runtuh di tebing sungai itu semalam.

“Semalam saya telah meninjau kawasan berkenaan.

“Kita nasihatkan masyarakat sekitar kawasan itu supaya berhati-hati.

Lebih 30 keluarga yang tinggal di sepanjang tebing sungai Kelantan di Chetok berada dalam keadaan bimbang apabila kediaman mereka diancam hakisan.

Hakisan yang bermula sejak Jumaat lalu menyebabkan jarak rumah mereka dengan sungai menjadi semakin hampir terutama di kawasan Kampung Pasir Parit.

Lebih memburukkan keadaan ialah hakisan itu menyebabkan hampir 15 meter kawasan tebing yang sebelum ini kukuh telah lenyap ditelan arus deras air sungai.

Sehubungan itu beliau menasihatkan mereka yang terlibat supaya bersabar.

“Insya-Allah kita berusaha mengambil langkah segera agar hakisan tidak berterusan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2017