Suka tak suka Cina akan jadi PM

SAMA ada Lim Kit Siang berpura-pura tidak mahu jadi Perdana Menteri bukanlah suatu yang perlu didebat.
      
Isunya bukan Kit Siang tetapi kemungkinan Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti orang Cina.
      
Sekalipun pemimpin senior DAP itu tidak jadi Perdana Menteri, apakah orang UMNO reda seorang Cina yang lain jadi Perdana Menteri?
      
Suka atau tidak suka tiada cara ia dapat dibantah. Mungkin orang UMNO dapat menghalangnya. Sekali atau 10 kali. Tetapi ia tidak mungkin terhalang akhirnya. Kalau tidak dalam masa 50 tahun ini, dalam masa 100 tahun lagi atau 200 tahun lagi.
     
Siapa yang tidak terliur untuk jadi Perdana Menteri. Orang yang jadi sultan pun jika boleh teringin juga kerana banyak yang sultan tidak boleh buat tapi Perdana Menteri boleh buat.
     
Bukan satu dosa besar atau dosa kecil jika Kit Siang teringin jadi Perdana Menteri. Ia tidak dilarang oleh perlembagaan. Perlembagaan yang disediakan oleh UMNO 70 tahun dulu membenarkan siapa saja warganegara boleh jadi Perdana Menteri. Yang tidak boleh untuk jadi sultan saja.
     
Kit Siang dengan usianya, pertengahan 70-an sekarang masanya tidak sempat. Menangis air mata darah pun dia tidak jadi Perdana Menteri. Bukan dihalang perlembagaan, politik masa ini tidak memberi laluan kepada selain Melayu jadi Perdana Menteri. Bukan semua Melayu boleh jadi Perdana Menteri. Setakat ini Melayu UMNO saja.
     
Melayu Sarawak sekalipun kerabat Barisan Nasional, tiada peluang. Kena jadi UMNO dulu. Lainlah setelah tiada lagi UMNO.
      
Masa 10 tahun ini tidak selesa bagi Kit Siang unuk jawatan itu. Selepas 10 tahun usianya lewat 80-an. Bukan usia yang logik lagi. Yang 90-an boleh jadi PM, Mahathir saja.
      
Kalaupun Kit Sing terliur, dia tahu masa tidak memihak kepadanya. Maka tidak berbangkit baginya jadi PM.
    
Jika dengan kemahiran politiknya, dia dapat gunakan Dr. Mahathir atau Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, itu adalah kelebihannya. Bodohlah dia jika tidak menggunakan siapa saja – Melayu, Mahathir atau Anwar – untuk bekerja demi kepentingan kumpulan yang diwakilinya.
     
Jangan sangka Mahathir dan Anwar saja jika jadi PM diperalatkan oleh Kit Siang atau mana-mana Cina jua. Jangan kata Tunku dan Tun Razak bebas langsung daripada diperalat Cina dan India.
     
Selain Tunku dan Tun Razak memperalat Cina dan India untuk jadi PM, mereka juga bagi persepsi setengah orang, diperalat saudagar Cina. Banyak yang kata mereka pernah jadi alat MCA.
     
Bahasa politik terbuka Melayu dan Cina, UMNO dan MCA bekerjasama bagi mencapai kemenangan demi kekuasaan. Bahasa tidak diplomasinya iaitu Melayu diperalat Cina dan UMNO diperalat MCA dan sebaliknya.
     
Tunku pernah kata pada MCA, jangan tuntut banyak sangat. Setakat yang diberi itu orang sudah kata dia jual negeri pada Cina. Dari mula MCA tidak boleh menang di kawasan pengundi Cina. MCA menang sampai sekarang di kawasan Melayu. Ertinya UMNO jual kawasannya pada MCA.
     
PM itu baik dari DAP atau MCA sama saja iaitu Cina. Bukan PM dari DAP saja UMNO  tidak suka. Mana-mana Cina saja UMNO tidak senang. Jika Anuar Tan, Cina PAS Kelantan jadi PM, UMNO tidak suka juga.
     
Tiada jaminan Cina tak boleh jadi PM. Itulah sebab TG Nik Aziz pernah kata, Cina yang menguasai Islam lebih layak daripada Melayu yang jahil. – HARAKAHDAILY 21/12/2017

Advertisement