Al Quds: Tiga Kunci Kemenangan

KITA sedang menyaksikan pergerakan perancangan Zionis Yahudi dan negara Amerika ke atas Masjid al Aqsa yang menjadi medan rebutan sengit di antara umat Islam dan bangsa Yahudi. Bumi Palestin kini dan selamanya adalah paksi kepada keamanan atau kegawatan kepada politik dunia.

Advertisement

Dengan perisytiharan oleh Donald Trump yang menjadikan Baitul Maqdis  ibu negara Israel, Zionis Yahudi yang mengemudi negara Israel menganggapnya sebagai satu langkah penting ke arah kejayaan yang diimpikan oleh mereka iaitu berkuasa penuh ke atas Masjid al Aqsa bahkan bumi Palestin. Negara Israel Raya adalah impian tertinggi sebuah bangsa yang memiliki akidah teguh bahawa mereka adalah anak-anak Allah yang diistimewakan oleh-Nya untuk menguasai manusia dan dunia sepenuhnya.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Perisytiharan itu sebagaimana dijangka telah mencetuskan reaksi panas daripada seluruh dunia terutama daripada negara-negara umat Islam. Penganalisis politik antarabangsa mula membina andaian serius bahawa langkah Donald Trump itu mungkin akan mengheret kepada kancah peperangan terbesar yang bakal tercetus selepas Perang Dunia Kedua dahulu.

Aksi dan reaksi yang terjadi di Baitul Maqdis adalah cerita agama. Keyakinan kepada pentingnya al Quds kepada bangsa Yahudi, Kristian dan umat Islam adalah berdasarkan kepada kepercayaan dalam ugama masing-masing. Ia jauh mengatasi kepentingannya berdasarkan perkiraan politik dan ekonomi. Dengan erti, jika ianya tidak melibatkan kepercayaan ugama, maka bumi Palestin tidaklah sama sekali akan menjadi rebutan sengit antara umat manusia sejak dulu sehingga kini.

Keobsesan untuk menguasainya walaupun dilihat sebagai pertarungan di antara tiga ugama samawi yang besar iaitu Islam, Kristian dan Yahudi, tetapi ianya telah mengheret dunia seluruhnya di atas kepentingan tersendiri. Maka tidak hairan jika negara-negara Korea Utara, China, Rusia dan Amerika Latin turut mengambil bahagian di dalam isu perebutan bumi Palestin.

Perang di Palestin adalah pasti. Ia telah berlaku beberapa kali di dalam sejarah pembinaan tamadun manusia. Ia sedang berlaku hari ini dan akan terus berlaku dan pastinya ia akan lebih besar dan melibatkan banyak pihak. Pergolakan di Palestin akan menggolakkan seluruh dunia, manakala keamanannya akan melebarkan keamanan di banyak penjuru dunia.

Ya, Palestin boleh aman dan sejahtera. Tetapi keamanan itu, sebagaimana dirakam oleh sejarah, hanya berlaku apabila Islam menguasai dan memerintah negara itu. Keamanan bererti kehidupan berjalan di situ dengan sejahtera dan hubungan di antara umat tiga ugama itu terjalin erat tanpa kezaliman. Masing-masing hidup dengan agama masing-masing dengan penuh kebebasan.

Adapun apabila Yahudi atau Kristian menguasainya, mereka akan gagal menjaga keamanannya akibat permusuhan dan keinginan untuk menghapuskan lawan masing-masing. Dua ugama yang tidak menguasai akan disisihkan dan diperlakukan dengan seburuknya oleh yang menguasai. Dalam keadaan ini, Islam dan umatnya adalah mangsa tetap. Ketika Kristian menguasai, umat Islam menjadi mangsa. Begitulah saat Yahudi menguasai, Islam jugalah yang menjadi mangsa. Yahudi adalah paling buruk kejahatan dan makar mereka ke atas umat Islam dan Kristian.

Apa yang kita lihat hari ini adalah sebahagian makar dan tipudaya bangsa Yahudi Zionis yang ganas itu. Ia adalah sebahagian daripada peta sejarah dan perjalanan akan datang umat Islam yang telah pun disebutkan secara umum oleh al Quran dan didetailkan secara lebih jelas oleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam di dalam hadis-hadis fitnah akhir zaman. Dengan erti di dalam Islam, perihal Palestin adalah perihal aqidah dan sebuah jihad yang mesti diimani dan dihidupkan.

Bangsa Yahudi sendiri yang begitu obses untuk menguasai Palestin, di dalam menyusun perancangan dan tipu daya mereka telah turut mengkaji al Quran dan hadis nabi agar mereka dapat mencerap, menyerap dan seterusnya mengalahkan segala perancangan umat Islam yang semestinya berpandukan dua sumber besar itu di dalam membina kekuatan dan kemenangan mereka di Palestin.

Tetapi Yahudi memperolehi laba besar apabila umat Islam sendiri menolak al Quran dan sunnah nabi-Nya. Dalam kealpaan itu, Yahudi akhirnya menguasai bumi Palestin satu persatu. Makar mereka tidak tertanggung oleh umat Islam yang lemah akibat kealpaan sendiri. Ia adalah hukuman Allah yang menjadi peringatan penting agar umat Islam kembali bangkit dengan kekuatan Islam yang benar dan pasti.

Hakikatnya, kemenagan Islam ke atas musuh yang kufur adalah berkait langsung dengan pertolongan Allah yang datang. Perancangan musuh adalah besar. Mereka menggunakan segala cara samada halal atau haram demi menghancurkan umat Islam. Kebencian melampau mereka terhadap Islam telah mematikan jiwa mereka untuk berlaku adil sesama manusia.

Adapun Islam, mereka terpaksa menolak cara yang salah dan haram. Mereka adalah umat yang berakhlak dan menjunjung tinggi hak dan nilai manusiawi. Islam memasuki peperangan untuk melebarkan keamanan di dunia, bukan sekadar untuk menguasai dan menindas yang lain.

Justeru pertolongan Allah adalah tuntutan pasti untuk mencapai kemenangan dan pembebasan bumi Palestin dan masjid al Aqsa daripada Zionis Yahudi. Ia adalah pertembungan di antara makar Yahudi yang rapuh berhadapan  dengan makar Allah yang kukuh.

Tetapi harus diingat bahawa tipudaya Allah (makruLlah) tidaklah hadir dengan sendiri. Ia bahkan hadir dicelah-celah makar dan perancangan umat Islam sendiri. Allah ingin melihat para hamba-Nya yang soleh dan berjuang bekerja keras untuk ugama-Nya. Di celah-celah perancangan manusia yang beriman dan penghujungnya itulah hadirnya keajaiban dan kekuatan makar Allah yang akan dilihat secara langsung oleh seluruh manusia samada yang beriman kepada-Nya atau yang kufur. Allah pasti menegakkan hujah-Nya ke atas manusia di muka bumi ini agar mereka beriman sebelum terlambat dijemput ajal.

Justeru ketika umat Islam hari ini bangkit menolak dan menentang segala perancangan jahat Yahudi untuk menjajah al Aqsa dan Baitul Maqdis, biarlah ianya adalah dalam perancangan. Ia mestilah bukan sekadar tindakan spontan bising-bisingan untuk menunjuk sayang dan benci semata-mata. Jikalah begitu, ia hanyalah cerita kosong daripada umat yang kosong dek meninggalkan ugama sendiri.

Oleh kerana peta menuju al Aqsa telah pun dilakar oleh al Quran secara umum dan diterangkan pula secara lebih jelas oleh sunnah al Rasul, seterusnya dirakamkan secara jelas oleh sejarah lebih seribu tahun jihad umat Islam membuka dan membebaskan al Aqsa daripada tangan musuh yang zalim, maka adalah nyata sekali perlunya umat Islam hari itu bergerak di atas lakaran peta itu. Ia sekali-kali adalah perancangan umat yang nantinya menjemput pertolongan Allah melalui makar-Nya yang terbaik dan melakar kemenangan abadi.

Secara ringkas, ada 3 kunci menuju pembebasan negara Palestin yang perlu digunakan oleh umat Islam.

Pertama, kesedaran umat Islam teramai bahawa mereka adalah sebahagian daripada tentera Islam menuju pembukaan kota Baitul Maqdis. Mereka adalah tentera Islam yang berjuang demi agama dan akidah mereka bahawa negara Palestin, kota Baitul Maqdis dan Masjid al Aqsa adalah amanah Allah ke atas umat Islam sebagaimana halnya kota Mekah dan kota Madinah. Ia adalah kembar tiga yang tidak boleh dipisahkan.

Wajib ke atas tentera Islam untuk hidup dalam ketaatan sepenuhnya kepada-Nya dengan menjauhi kemunafikan dan godaan hidup duniawi yang melalaikan.

Kedua, kesedaran yang tinggi, seterusnya tindakan yang benar oleh umat Islam ke arah kesatuan umat. Kesatuan adalah senjata dan kekuatan yang ampuh. Tanpanya kekalahan dan kehampaan menanti di hadapan.

Selain kewajiban para ulamak untuk berada di barisan hadapan menyeru kepada kesatuan umat, adalah nyata bahawa kewajiban sebenar adalah terletak ke atas para pemerintah di negara-negara umat Islam. Tanpa pemerintah Islam berperanan dengan baik dan penuh amanah, adalah sukar untuk kita menyaksikan kesatuan yang benar-benar menjadi satu kekuatan yang digeruni.

Hakikatnya, keberanian Donald Trump banyak dibantu oleh keyakinannya bahawa negara-negara Islam akan saling berkepentingan sendiri dan tidak akan bersatu. Kekuatan mujahidin al Qassam di serambi Baitul Maqdis walaupun menggerunkan masih lagi dilihat lemah oleh musuh Yahdi selama mana negara-negara umat Islam tidak menjadi tentera pembantu yang benar kepada mereka.

Ketiga, pembinaan perancangan dan strategi ampuh umat dengan mengambil kira akidah sebagai tunjang, pengetahuan yang mendalam terhadap isu Palestin selain pengajaran daripada sejarah perjuangan panjang umat di bumi Palestin yang bermula daripada malam al Isra’ wal Mikraj oleh baginda al Rasul, seterusnya pembukaan kota Baitul Maqdis oleh Saydina Omar al Khattab dan siri-siri perjuangan umat selepasnya.

Perancangan yang benar dan pelaksanaannya oleh seluruh umat Islam adalah antara syarat dan kunci ke arah kemenangan yang diperolehi melalui keyakinan jitu bahawa pertolongan dan makar Allah adalah hadir di celah-celah perancangan orang-orang yang beriman  dan di situlah terjadinya kehancuran musuh dan kesudahan kepada segala tipudaya kaum kuffar yang menentang Allah dan para rasul-Nya.{/mprestriction}