Palestin: Isu yang amat dekat di hati PAS

HARI ini akan berlangsung Himpunan Perdana Solidariti Selamatkan Baitul Maqdis di Masjid Putra, Putrajaya, bagi memprotes cadangan untuk menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel seterusnya bagi mengembalikan hak rakyat Palestin ke atas Baitul Maqdis.

Advertisement

Bahawa himpunan ini dianjurkan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, bukannya oleh mana-mana parti politik, bagaimanapun tidak mampu untuk menghalang pihak tertentu dari menyindirnya sebagai Himpunan Perdana Solidariti Selamatkan Perdana Menteri.

Paling teruk mendapat kecaman ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang di”cis” dan di”haramjadah”kan oleh Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, kerana kononnya “rela menjadi penjilat kepada penguasa yang menindas rakyat”.

Saya tidak mahu mengulas mengenai tindakan men”cis” dan meng”haramjadah”kan Presiden PAS ini, mahupun tindakan Setiausaha Organisasi AMANAH, Suhaizan Kayat, memperlekehkan Presiden PAS hanya kerana jemputan yang diterima ke himpunan ini.

Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa kehadiran mana-mana pemimpin mahupun mana-mana ahli PAS tidak sepatutnya diperlekehkan apatah lagi dihina oleh mana-mana pihak kerana isu pencerobohan Israel ke atas Palestin adalah isu yang amat dekat di hati PAS.

Jika kita ingin tahu isu apa yang paling dekat di hati sesebuah parti politik, maka antara cara terbaik yang boleh kita lakukan ialah dengan menyemak senarai usul yang diluluskan oleh mesyuarat agung, perhimpunan agung, konvensyen atau kongres parti politik tersebut.

Ini kerana, berbanding ucapan atau kenyataan pemimpin parti politik tersebut dan berbanding keputusan mana-mana badan di dalam parti politik tersebut, usul yang diluluskan ini lebih bersifat menyeluruh memandangkan ia perlu mendapat persetujuan daripada perwakilan.

Bagi PAS, selain isu dalam negara, isu luar negara juga sentiasa mendapat perhatian mesyuarat agungnya sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951 di mana dalam banyak-banyak isu luar negara, isu yang paling dekat di hati PAS ialah isu pencerobohan Israel ke atas Palestin.

Hakikat ini dapat dilihat di dalam penelitian ke atas peringatan setiap Mesyuarat Agung PAS, yang sejak tahun 1977 diubah namanya menjadi Muktamar PAS, di mana Mesyuarat Agung Tahunan PAS atau Muktamar Tahunan PAS kerap meluluskan isu membabitkan Palestin.

Usul-usul tersebut adalah:

(1) Usul “mengingatkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu supaya tidak menerima sebarang bantuan dari Kerajaan Israel, baik berupa bantuan kewangan ataupun hadiah biasiswa (scholarship), kerana perbuatannya itu akan menjatuhkan nama Malaya pada Perikatan Afro-Asia” yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-5 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23, 24 dan 25 Disember 1956.

(2) Usul (perwakilan Dewan Ulama’ PAS Pusat, dengan pindaan Jawatankuasa Kerja Agung PAS) “supaya PAS bekerjasama pada menubuhkan atau menganjurkan di Malaysia ini badan bertindak membantu Palestin daripada penjajahan dan penindasan” yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-14 di Bangunan YMCA, Jalan Stesyen, Taiping, Perak, pada 12, 13 dan 14 Ogos 1966.

(3) Usul (perwakilan Rungkup Bagan Datok) “supaya menganjurkan atau memberi kerjasama penubuhan barisan bertindak membantu perjuangan pembebasan kaum Muslimin di Palestin” yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-14 di Bangunan YMCA, Jalan Stesyen, Taiping, Perak, pada 12, 13 dan 14 Ogos 1966.

(4) Usul “mendesak Kerajaan Pusat memberhentikan hubungan perniagaan dengan Israel, terutamanya daripada mengimportkan barang-barang Israel ke Malaysia” yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-15 dan Ke-16 di Dewan Syarikat Pegawai-Pegawai Kerajaan Perlis, Kangar, Perlis, pada 19, 20, 21 dan 22 April 1968.

(5) Usul “mendesak Kerajaan Pusat menghantar tentera Malaysia ke Timur Tengah untuk memberi sokongan kepada negara-negara Arab melawan pencerobohan Israel yang terus-menerus itu” yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-15 dan Ke-16 di Dewan Syarikat Pegawai-Pegawai Kerajaan Perlis, Kangar, Perlis, pada 19, 20, 21 dan 22 April 1968.

(6) Usul “mengulangi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan perjuangan merebut kembali Baitul Maqdis” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-25 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 7, 8 dan 9 September 1979.

(7) Usul (perwakilan Teluk Anson) “mengutuk dengan sekeras-kerasnya sikap biadab Israel merampas Palestin dan menjadikan Baitul Maqdis sebagai pusat pemerintahan Zionis untuk terus mencabul hak dan kedaulatan negara umat Islam” dan “menyeru Sekretariat Persidangan Negara-Negara Islam supaya menubuhkan pasukan mujahidin Islam yang dianggotai oleh sukarelawan daripada negara-negara anggota untuk membantu gerakan pembebasan umat Islam seluruh dunia” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-26 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 26, 27 dan 28 September 1980.

(8) Usul “mendesak Kerajaaan Malaysia supaya mengambil langkah menubuhkan pasukan komando jihad bagi membantu perjuangan pembebasan bumi Islam dari sebarang bentuk penjajahan, khususnya bumi Palestin” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 23 dan 24 Oktober 1982.

(9) Usul “mengutuk sekeras-kerasnya atas kekejaman Israel/Yahudi di Lebanon dan Palestin yang melakukan pembunuhan terhadap umat Islam di sana baru-baru ini dan mengutuk sebarang apa jua rupa bentuk campurtangan asing di negara-negara umat Islam” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 23 dan 24 Oktober 1982.

(10) Usul (perwakilan-perwakilan Dungun, Titiwangsa, Bukit Gantang, Kepong, Lumut, Parit, Temerloh, Arau, Tasik Gelugor dan Tanjung Karang) “menggesa umat Islam supaya meyakini bahawa isu Palestin adalah tanggungjawab umat Islam sejagat dan menggesa pejuang-pejuang Palestin supaya mengambil Islam sebagai dasar dan berjihad menegakkan sistem Islam sebagai objektif perjuangan bagi memastikan perjuangan Islam di Palestin itu mendapat keredhaan Allah” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-34 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Batu Caves, Selangor, pada 9 dan 10 April 1988.

(11) Usul (perwakilan Dewan Ulama’ PAS Pusat) “menyeru Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia supaya menyokong dan menerima pakai fatwa yang telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak, termasuk Majma’ Buhuth di Mesir, Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Sheikh Ahmad Yassin, iaitu mereka yang mengamalkan isytihadiyyah (berani mati) (di Palestin) adalah mati syahid” dan “dengan itu PAS juga hendaklah menyangggah mana-mana pihak yang menganggap sebagai pengganas perjuangan mempertahankan tanah air umat Islam” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 31 Mei, 1 dan 2 Jun 2002.

(12) Usul (perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat) “mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab tentera haram komando Israel yang melakukan serangan ganas ke atas misi kemanusiaan untuk Gaza (Lifeline For Gaza Talian Hayat Untuk Gaza) khususnya ke atas kapal induk Mavi Marmara yang telah mengakibatkan 19 orang sukarelawan dibunuh, dan 12 orang sukarelawan Malaysia dalam Mavi Marmara ditawan”, “berdiri teguh dan menyokong penuh di belakang wanita Palestin dan keluarga mereka dalam menegakkan keadilan yang telah diceroboh oleh Zionis Israel dengan siap siaga untuk membantu mereka dari semua aspek termasuk menghantar sukarelawan Muslimat ke Gaza”, “menetapkan agar PAS dan Pakatan Rakyat menjuarai usaha penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza bersama negara-negara lain dengan mensasarkan 1000 armada misi bantuan kemanusiaan berlepas ke Gaza pada satu-satu masa”, “mendesak Kerajaan Malaysia melaksanakan ketetapan dalam usul yang dibentangkan di Parlimen pada 7 Jun 2010 yang berkaitan isu keganasan Israel”, “mendesak Kerajaan Malaysia mengiktiraf kemenangan HAMAS sebagai kerajaan dan wakil yang sah” dan “menggesa rakyat Malaysia supaya melakukan boikot barangan Israel sebagai usaha melumpuh ekonomi negara Israel” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 11, 12 dan 13 Jun 2010.

(13) Usul (perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat) “mendesak Kerajaan Malaysia melalui Parlimen menerima usul tergempar berkaitan Palestin dan juga Rohingya yang sedang meringgis”, “menggesa supaya pihak OIC, Liga Arab dan PBB mengambil tindakan serta-merta terhadap isu ini yang sedang menjadi duri di hati ummah” dan “mendesak Kerajaan Malaysia menyatakan sikap yang tegas serta menggunakan seluruh mekanisme operasi yang paling optima untuk membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza serta Arakan” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58 di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 16, 17 dan 18 November 2012.

(14) Usul (perwakilan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat) “supaya kepemimpinan dan ahli PAS, pihak kerajaan, NGO, tokoh masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum bagi meneruskan usaha mengembalikan dan memperjuangkan Baitul Maqdis” yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah, pada 29 dan 30 April serta 1 Mei 2017.

Oleh itu, tindakan pemimpin mahupun ahli PAS menghadiri himpunan ini sangat wajar dialu-alukan kerana ia adalah sangat selari dengan segala usul membabitkan isu Palestin yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS atau Muktamar Tahunan PAS selama ini.

Begitulah juga dengan pelbagai tindakan lain yang menzahirkan keprihatinan tinggi PAS terhadap isu Palestin ini, termasuk cubaan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, mengemukakan usul tergempar mengenai isu ini di dalam sidang Dewan Rakyat pada 26 Julai 2017.

Berbanding hanya menyeru, menggesa atau mendesak dari jauh, mana-mana ruang yang diberikan untuk berbuat demikian dari dekat seharusnya dipergunakan dengan sepenuhnya kerana ia akan membolehkan seruan, gesaan dan desakan ini lebih memberikan impak.

Tindakan memandang sesuatu isu dari kaca mata politik kepartian semata-mata, walaupun isu itu adalah isu yang merentasi politik, agama, bangsa mahupun negara, adalah menyedihkan kerana ia menggambarkan betapa tidak matangnya ahli-ahli politik yang berkenaan.

Takkanlah tidak boleh dibezakan antara Solidariti Selamatkan Baitul Maqdis dengan Solidariti Selamatkan Perdana Menteri, apatah lagi bila pemimpin PAS sendiri sudah berkali-kali menegaskan mereka hanya bekerjasama dalam perkara kebaikan (ta’awun), bukan dalam pilihan raya!