PAS simpati peserta Felcra tidak dapat lot tanah

PAS Perak melahirkan rasa simpati ke atas peserta Felcra Changkat Lada yang tercicir daripada memperolehi lot tanah yang dijanjikan.

Advertisement

“Perkara ini sudah berlarutan lebih lima tahun,” kata Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria kepada Harakahdaily.

Menurutnya, aduan mengenai perkara itu dimaklumkan oleh Ali Hassan di pejabat PAS Perak, Medan Istana, Ipoh, semalam.

Katanya, Ali merupakan pengerusi bertindak peserta Felcra Changkat Lada, Pasir Salak.

Ali mula menjadi peserta Felcra sejak tahun 1985 dengan janji akan diberikan tiga ekar sawah padi dan tiga ekar kebun sawit.

Katanya, pada 2012, atas desakan peserta untuk mendapat hak milik pihak Felcra telah menyukat tanah dan memberi hak milik.

“Setelah diberi hak milik didapati daripada 1,031 orang peserta didapati seramai 165 orang tidak memperolehi hak milik kerana bilangan peserta yang diambil melebihi daripada lit ladang sawit yang ada,” ujarnya.

Tambahnya, sementara untuk lot sawah padi daripada 1,031 terdapat 209 orang peserta yang tidak mempunyai lot. – HARAKAHDAILY 22/12/2017