Ingin menjadi ‘Siti Khadijah’ dalam PAS

BERCITA-cita menjadi  ‘Siti Khadijah’ di dalam PAS, ditambah dengan minat yang mendalam dalam bidang bisnes,  membuatkan wanita muda ini gigih menyediakan khidmat tiusyen di rumah.

Advertisement

Mengambil semangat Ummul Mukminin yang memberikan hartanya ke jalan Allah, Safiyyah Saad juga menyimpan impian sama ke arah itu.

Biarpun perjalanannya masih jauh, anak jati Butterworth, Pulau Pinang ini tidak pernah kesal memilih jalan bersama PAS walaupun mempunyai kelulusan Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Universiti Sains Malaysia (USM).{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Bagi beliau, melalui perniagaan yang dibinanya sejak tiga tahun lalu serba-sedikit dapat membantu PAS dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan perjuangan berpaksikan Islam yang syumul.

Justeru, walaupun menerima tawaran kerja yang seiring dengan kelulusannya, Safiyyah nekad dengan bidang keusahawan dan perniagaan kerana berpegang kepada cita-citanya untuk menjadi seperti Siti Khadijah.

Selain menyediakan perkhidmatan ‘home tuition’, Safiyyah juga membuka kelas mengaji kepada kanak-kanak di rumah.

Di samping minat mendalam dalam bidang perniagaan, ‘passion’ untuk mengajar dan keinginan membantu ramai lagi pelajar untuk ‘improve’ dan ‘upgrade’ diri menjadi pendorong untuk beliau, selain berusaha membantu generasi baharu yang belum mendapat kerja sebagai tenaga pengajar beliau.

Dilahirkan pada 7 Januari 1987, wanita berusia 30 tahun ini memilih bersama PAS kerana terpikat dengan dasar dan matlamat yang jelas dalam menegakkan syiar Islam di Malaysia.

Malah, beliau juga tertarik dengan kepimpinan PAS yang berteraskan Islam serta medan dakwah dan politik sebagai wadah untuk menabur bakti kepada masyarakat.

Anak sulung pasangan Che Saad Darus dan Habibon Mahamud mula mengenali PAS sejak 2007 ini gemar melakukan kerja-kerja parti secara berjamaah, walaupun ada berbagai peringkat taraf hidup dan pendidikan di dalam PAS.

Bagi Safiyyah, segala kelebihan dan juga kelemahan yang ada masih dapat membantu menjayakan sesuatu program atau gerak kerja dengan prinsip saling lengkap-melengkapi.

Paling mahal bagi beliau, hubungan ukhuwah di kalangan ahli jemaah yang meletakkan matlamat  ukhwah yang terbina itu kerana Allah SWT hingga menyebabkan usaha dan komitmen itu berterusan.

Menginfakkan diri kepada PAS tanpa mengejar pangkat dan kelulusan yang diterimanya, Safiyyah diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa  Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Di peringkat negeri pula, beliau bertanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya Pulau Pinang, Penolong Setiausaha I Dewan  Muslimat PAS Pulau Pinang dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang.

Bercerita lanjut tentang tanggungjawabnya menguruskan perniagaan, di samping menggalas amanah yang diberikan parti, Safiyyah berhadapan pelbagai ujian dan cabaran dengan keluarganya, yang pada awalnya kurang memahami keadaan beliau.

Mengambil masa yang bukan sedikit untuk beliau menangani perkara tersebut, Safiyyah akhirnya berjaya meyakini keseluruhan keluarganya dalam tempoh 10 tahun untuk mereka memahami tugasannya sebagai ahli jemaah Islam.

Sepanjang tempoh berkenaan, secara perlahan-perlahan Safiyyah berusaha berkongsi ilmu yang diperoleh dari usrah dan kuliah yang disertai, selain selalu membawa keluarga bersama ke program yang dianjurkan PAS.

Berkat kesabaran dan kesungguhan, di samping kebergantungan kepada Allah SWT, beliau bersyukur lama-kelamaan keluarga beliau dapat menerima dan kini keluarganya menjadi pendokong kuat kepada perjuangan beliau.

Kesibukan yang dihadapi beliau adakala menyebabkan masanya bersama keluarga begitu terbatas.  Bagaimanapun Safiyyah berusaha untuk mengatur masa sebaik-baiknya demi keluarga tercinta.

Mengisi masa lapang dengan keluarga menjadi pilihan beliau. Berkumpul bersama, berbual dan berbincang, malah beriadah bersama bagi menggantikan masa-masa yang tidak dapat diluangkan bersama.

Biarpun ada ketikanya masa terluang itu begitu sedikit, Safiyyah cuba memanfaatkannya sebaik-baiknya dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama ahli keluarganya.

Malah, keluarganya juga tidak ketinggalan menyertai mana-mana program anjuran PAS termasuk himpunan-himpunan besar sebagai tanda sokongan kepada beliau dan juga PAS itu sendiri.

Secara sendirinya, dengan penglibatan keluarganya di dalam program-program PAS menjadikan ia salah satu cara untuk mereka sekeluarga berkumpul.{/mprestriction}