AS mula terlibat dalam perang berpanjangan di Somalia

SOMALIA adalah satu negara tempat tentera Amerika Syarikat mengalami malapetaka terbesar dalam sejarah.

Advertisement

Dua helikopter Black Hawk ditembak jatuh dan 18 anggota tentera AS dibunuh dalam satu operasi yang gagal untuk menangkap seorang orang kuat tempatan di Mogadishu, ibu kota negara tersebut. Kejadian tersebut memaksa Presiden Bill Clinton untuk mengarahkan tentera Amerika supaya keluar dari negara tersebut dan kejadian itu mendatangkan kesan kepada dasar ketenteraan AS di Afrika selama bertahun-tahun selepas itu.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Tetapi tentera Amerika bukan sahaja telah kembali ke Somalia tetapi juga pada awal tahun ini, pasukan tersebut turut mengalami kekalahan pertamanya semenjak peristiwa Black Hawk ditembak jatuh apabila Ketua Pengendali Perang Khas tentera khasnya iaitu Kyle Milliken terbunuh semasa  operasi AS-Somalia yang pertama yang mensasarkan Al-Shabab, iaitu kumpulan gabungan Al-Qaeda yang memerangi kerajaan Somalia yang disokong pihak barat.

Kematian tersebut yang juga disertai dengan tindakan agresif yang diambil Presiden Donald Trump dan peningkatan mendadak dalam serangan-serangan udara terhadap kedua-dua kumpulan Al-Shabab dan satu kumpulan kecil yang merupakan cabang setempat untuk kumpulan bersenjata ISIS, menyebabkan sesetengah penganalisa menjadi tertanya-tanya sama ada Amerika Syarikat kini terlibat dalam satu lagi peperangan yang panjang di Somalia. Perkembangan ini berlaku ketika aktiviti ketenteraan Amerika sedang dikurangkan di kawasan-kawasan lain seperti di Iraq dan Syria.

Sehingga 13 November, jurucakap ibu pejabat ketenteraan Amerika Syarikat di Africa (AFRICOM) Robyn Mack memberitahu Newsweek bahawa 27 serangan-serangan telah dilancarkan di Somalia pada 2017.AFRICOM kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan yang menyebut tentang satu serangan kepada kumpulan bersenjata Al-Shabab pada 14 November. Ini menjadikan jumlah serangan meningkat kepada 28 serangan.

Jumlah tersebut mengatasi jumlah serangan yang dilakukan pada 2016. Menurut hampir kesemua sumber-sumber seperti Jurnal Long War dan Biro Kewartawanan Penyiasatan yang merekodkan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat di Somalia, hanya terdapat kira-kira 14 ataupun 15 serangan yang dilakukan pada 2016.

Pentagon juga mengesahkan baru-baru ini bahawa jumlah tentera AS di Somalia berjumlah hampir 400 orang. Ini adalah jumlah yang meningkat mendadak berbanding hanya kira-kira 50 anggota pada awal tahun ini.

Leftenan Jeneral Kenneth McKenzie Jr yang merupakan Pengarah Pegawai-pegawai Bersama Pentagon, menafikan terdapatnya aktiviti yang “ditingkatkan” di Somalia dan berkata serangan-serangan terbaru adalah kesan penapisan sasaran-sasaran yang telah dipantau dalam jangka panjang. “Tiada corak tertentu tentangnya, melainkan apabila mereka diketahui dan kita berjaya memproses dan menapis (tentang maklumat mereka), maka kita menyerang mereka,”McKenzie berkata dalam satu sidang akhbar.

Operasi-operasi rahsia AS telah berlangsung di Somalia semenjak sekurang-kurangnya pada awal tahun 2000 tetapi Washington sentiasa mencari jalan untuk memastikan pasukan tersebut tidak berada betul-betul di kawasan yang bergolak. Tindakan ketenteraan AS secara amnya hanya terhad kepada serangan udara dan serangan dron. Washington bertegas bahawa kehadirannya adalah bersifat sebagai mengambil peranan untuk menasihat dan membantu dan pasukan keselamatan Somalia sendiri yang mengetuai kesemua tindakan ketenteraan.

Kematian Milliken pada bulan Mei menimbulkan kesangsian tentang kebenaran dakwaan tersebut. Seorang Jeneral AS berpangkat tinggi berkata bahawa Milliken menyertai satu “misi menasihat, membantu dan mengiring” bersama pasukan keselamatan Somali. Pasukan AS dan rakan sejawat mereka daripada pasukan Somalia sedang bergerak dalam satu kumpulan yang sama apabila mereka diserang secara tiba-tiba. Seorang pegawai kanan di Jabatan Kenegaraan AS, Thomas Shannon yang bertindak sebagai timbalan Rex Tillerson semasa kematian Milliken memberitahu Newsweek pada Mei lepas bahawa pasukan AS tidak berada di medan hadapan di Somalia tetapi “menasihat dan membantu samada kadang-kadang dari kejauhan dan kadang-kadang tidak”.

Pusat Serangan Khas Tentera Laut AS

Seorang bekas penganalisa anti-keganasan di Jabatan Kenegaraan Tricia Bacon, yang kini menjadi penolong professor di Universiti Amerika berkata bahawa tentera Amerika kelihatannya sedang mengembangkan peranan mereka di negara tersebut. “Saya berasa bahawa sudah ada misi-misi sulit yang berlaku dan berkemungkinan akan ada lebih banyak lagi,”kata Bacon.

Secara jelasnya, matlamat AS di Somalia adalah berdasarkan sebab-sebab keselamatan. Untuk berdekad-dekad sebelum ini, kerajaan pusat Somalia yang lemah dan pasukan tentera kebangsaannya yang juga lemah telah terpaksa berhadapan dengan Al-Shabab, iaitu satu kumpulan bersenjata yang cenderung ideologi Islam yang telah mengadakan hubungan rasmi dengan Al-Qaeda pada 2012.

Pihak Somalia telah dibantu daripada segi keselamatan dengan kehadiran kira-kira 22,000 pasukan Gabungan Negara-negara Afrika yang dikenali sebagai AMISOM yang melakukan kebanyakkan pertempuran di medan di tahun-tahun kebelakangan ini dan menerima pembiayaan yang agak besar daripada Amerika Syarikat.

Walaupun AMISOM dan pasukan Somalia telah mengambil alih kawalan ke atas kawasan-kawasan bandar yang dahulunya dikuasai pihak Al-Shabab, tetapi keupayaan kumpulan tersebut untuk mengatasi keganasan tampaknya semakin berkurangan. Al-Shabab telahpun dipersalahkan atas satu kejadian ledakan bom besar-besaran di Mogadishu yang mengakibatkan 300 orang terkorban pada Oktober lepas. Serangan tersebut merupakan serangan yang mengorbankan nyawa yang terbesar dalam sejarah Somalia.

Pertempuran menghadapi Al-Shabab menjadi lebih rumit berikutan beberapa faktor. Pertamanya AMISOM dijadualkan untuk berundur dari Somalia menjelang 2020. Pengunduran tersebut akan dimulakan dengan 1,000 orang anggota pada bulan Disember. Pengunduran ini tidak mendapat sokongan Washington. Keduanya, satu cabang kecil ISIS telah muncul di utara Somalia dan diketua seorang bekas pemimpin Al-Shabab, Abdiqadir Mumin yang telahpun memulakan beberapa serangan-serangan kecil.

Jurucakap AFRICOM Mack berkata bahawa “matlamat terakhir” operasi Pentagon di Somalia adalah untuk menolong kerajaannya “menyediakan persekitaran yang selamat dan terlindung bagi rakyat Somalia, dan menghalang (kewujudan) organisasi-organisasi seperti Al-Shabab dan ISIS”.(Pihak AS melancarkan serangan pertamanya ke atas ISIS di Somalia pada awal November). Tentang pengunduran AMISOM, Mack berkata bahawa AS menggesa supaya “pemberian kuasa yang dirancang rapi dan dengan syarat-syarat tertentu” dilakukan bagi memastikan pasukan keselamatan Somalia tidak akan menyerahkan apa yang telah dicapai kepada pihak Al-Shabab.

Kuasa tambahan

Presiden Trump meluaskan ruang lingkup serangan-serangan AS di Somalia pada bulan Mac bagi menguatkan usaha-usaha anti-keganasannya. Presiden tersebut menyenaraikan sebahagian besar negara tersebut sebagai kawasan-kawasan penentangan tegar, mengurangkan penglibatan pihak atasan dan saringan pelbagai agensi terhadap sasaran-sasaran yang akan diserang. Mack berkata kuasa tambahan yang diberikan Trump “menolong bagi menafikan para pengganas daripada berada di zon selamat, tempat mereka boleh melancarkan serangan ke atas rakyat Amerika ataupun kepentingan Amerika di rantau tersebut ataupun ke atas sekutu-sekutu kami.”

Tetapi kuasa yang diberikan itu juga telah menyebabkan ramai orang awam terbunuh. Pasukan AS dan Somalia telah mengadakan satu serang hendap bersama di bandar Bariiree yang terletak 30 batu ke barat Mogadishu pada bulan Ogos.

Seramai 10 orang awam termasuk tiga orang kanak-kanak terbunuh dalam serangan tersebut dan ini menyebabkan keluarga yang terlibat memprotes kejadian tersebut. Keluarga-keluarga tersebut adalah sebahagian daripada puak yang berpengaruh di kawasan tersebut yang secara tradisinya menyokong pihak kerajaan.

Pada Ogos, Africom mengesahkan bahawa ia telah mengambil “peranan membantu” dalam operasi tersebut dan telah menyiasat tentang dakwaan-dakwaan tentang kematian orang awam.

Bronwyn Bruton, penolong pengarah Pusat Afrika di Jawatankuasa Atlantik, berkata kuasa tambahan yang diberikan Trump “mendatangkan kesan negatif terhadap perkembangan di Somalia” berikutan peningkatan kematian orang awam dan ini memaksa pihak berkuasa AS untuk menjadi berpihak dalam pertempuran berpuak.

“AS juga mengalami kemerosotan nama baiknya di negara tersebut,”kata Bruton.”Pihak AS dilihat sebagai satu-satunya pihak dalam konflik ini yang menegaskan keperluan untuk melindungi nyawa orang awam..Itu mempunyai nilai dalam mempromosi demokrasi dan memenangi hati dan fikiran rakyat di sini, tetapi kelebihan itu kini telah hilang.”

Bulan-bulan mendatang dilihat sebagai getir bagi strategi jangka panjang tentera AS di Somalia. Presiden negara tersebut Mohamed Abdullahi Farmajo telah dipilih pada bulan Februari dan telah meningkatkan operasi terhadap pihak Al-Shabab  semenjak kejadian letupan truk di Mogadishu. Kejayaan strategi tersebut mungkin akan menjadi kayu ukur terhadap bagaimana nasib Somalia selepas pengunduran AMISOM, dan sama ada AS perlu kekal di negara tersebut untuk memainkan peranannya.

Menurut Bacon, Somalia akan kekal dalam perhatian memandangkan hubungan Al-Shabab dengan Al-Qaeda. Walaupun pentadbiran Trump kelihatannya cenderung untuk memberi fokus ke atas strategi anti-keganasan berbanding membangunkan negara, tetapi Bacon berkata kemungkinan berlakunya pertambahan anggota tentera AS di medan tidak patut dikesampingkan.

“Adalah sukar untuk menjangka apa yang akan dilakukan pihak pentadbiran Trump tetapi ia kelihatannya lebih cenderung untuk menghantar lebih banyak tentera berbanding pentadbiran sebelum ini. Jadi saya berasa pilihan ini akan sentiasa berada di atas meja,” katanya.

Artikel ini diterbitkan dalam New York Times dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Harakah.{/mprestriction}