Ramah Mesra Anak Muda Indera Mahkota meriah

INDERA MAHKOTA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota telah menganjurkan Ramah Mesra Anak Muda Indera Mahkota bertempat di Kampung Alor Batu Jabor dekat sini semalam. 
 
Program edisi pertama ini telah mendapat sambutan yang luar biasa oleh penduduk setempat dengan penyertaan setiap aktiviti yang telah disusun khas buat mereka.
 
Program bermula dengan perasmian oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota (DPPIM), Ustaz Mohd Zaki Ibrahim disusuli dengan kuliah dhuha ringkas oleh beliau. 
 
Menurut beliau,  objektif program seperti ini adalah untuk mengeratkan ukhwah Islamiah diantara sesama masyarakat disamping mengetengahkan DPPIM sebagai duta penggerak masyarakat.
 
Sejurus selepas itu program gotong-royong membersihkan Masjid Al-Hidayah Alor Batu diadakan dengan diketuai oleh Jabatan Amal Indera Mahkota.
 
 Acara di perkarangan masjid pula dimeriahkan lagi dengan acara sukan rakyat kendalian Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota.
 
Antara sukan rakyat yang dipertandingkan adalah seperti dam aji, karom, sepak raga bulatan, dart dan memanah. 
 
Selain itu, Lajnah Kebajikan DPPIM mengambil kesempatan dengan menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada lebih 50  pelajar yang bakal memulakan persekolahan tidak lama lagi.
 
Di sebelah petang pula diadakan ziarah rumah ke rumah dan pemberian sumbangan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan bersama Pusat Khidmat DUN Beserah diketuai oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Indera Mahkota, Tengku Zaidi Tengku Musa.
 
Seterusnya program santai barbeque berlangsung untuk meraikan para peserta dan petugas yang bertungkus lumus menjayakan program. 
 
Acara kemuncak program ramah mesra ini diakhiri dengan forum perdana yang dibarisi oleh Ketua Pemuda DPPIM, Ustaz Mohd Zaki Ibrahim dan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kuantan, Ustaz Fadhli Ibrahim. 
 
Penyampaian hadiah kepada para pemenang acara yang diadakan pada sebelah pagi.
 
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan Alor Batu Jabor selaku tuan rumah yang bekerja keras untuk menjayakan program ini.
 
“Dengan sambutan yang memberangsangkan ini kami akan meneruskan lagi menganjuran siri Ramah Mesra Anak Muda Indera Mahkota ini dengan lebih baik lagi ke tempat-tempat lain di sekitar kawasan Parlimen Indera Mahkota. Insya Allah,” ujar Ustaz Mohd Zaki pula. – HARAKAHDAILY 26/12/2017
Advertisement