Sihat sejahtera dalam kehidupan

Nik Abduh

SIHAT adalah satu nikmat yang amat besar. Kehidupan tanpa kesihatan adalah satu ujian dan tanggungan yang besar. Justeru setiap manusia mengidamkan kesihatan yang baik dan berterusan.

Advertisement

Sihat bererti bebas daripada sebarang penyakit. Tubuh badan akan berfungsi dengan sebaiknya sebagaimana asal ia diciptakan. Apabila ada gangguan samada sistem dalaman tidak berfungsi sebagaimana asalnya atau ada serangan dari luar ke dalam tubuh, maka kesihatan akan terbantut, lalu tubuh menjadi sakit dan tidak sihat lagi.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Kesihatan sering dirujuk kepada kesihatan anggota tubuh badan. Sebut sihat, maka nampaklah susuk tubuh lelaki yang sasa atau tubuh perempuan yang cantik ramping. Sebut sihat, maka nampaklah hospital dan para doktor yang bertungkus lumus mengembalikan kesihatan orang-orang sakit yang terlantar di hospital.

Manusia terlalu memahami bahawa kesihatan tubuh badan adalah yang paling utama. Ribuan ringgit dihabiskan demi mencapai kesihatan yang baik. Apa erti hidup dengan umur yang panjang kalau kehidupan yang hebat gagal dinikmati akibat kesakitan yang memenjarakan?

Tetapi hakikatnya kesihatan bukan hanya pada tubuh badan dan lahiriyah insan sahaja. Bahkan ia hanyalah sebahagian daripada bab dan isu kesihatan. Kesihatan tubuh badan sahaja tidaklah menjamin kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup manusia. Ada lagi kesihatan bahagian lain yang perlu diperolehi dan dikawal selia dengan baik juga.

Antaranya kesihatan akal fikiran. Akal yang sihat adalah jaminan keceriaan dan kepuasan hidup. Apabila sistem dalaman akal gagal berfungsi dengan baik atau ia diserang ganggu oleh anasir-anasir luar yang jahat, maka akal akan mula dilanda keserabutan, kemurungan, kekeliruan dan kebuntuan. Saat itu tubuh yang sihat tidak lagi mampu dinikmati oleh tuannya. Ia seperti kehilangan enjin yang boleh memandu tubuh badannya yang sihat itu.

Antaranya ialah keluarga dan masyarakat yang sihat. Maksudnya ialah persekitaran yang sihat. Ia adalah kesihatan yang terhasil daripada jalinan antara keluarga atau masyarakat yang diikat rasa kasih sayang, persaudaraan, bantu membantu dan saling bertanggung jawab di antara mereka. Ia adalah binaan sistem kekeluargaan atau sosial yang berfungsi dengan sempurna. Ia sama seperti tubuh badan, amat besar nilai nikmatnya.

Sakit ganggu kehidupan

Persekitaran yang berpenyakit amatlah mengganggu kehidupan. Individu yang sihat terpaksa menanggung kesakitan akibat keluarganya yang tak sihat. Begitu juga masyarakat yang berpenyakit akan turut mengganggu kebahagiaan individu atau keluaraganya yang sihat.

Maka sihat itu bukan hanya pada tubuh badan. Begitu juga bukan hanya sihat tubuh badan yang menjadi kunci keceriaan dan kebahagiaan hidup. Bahkan sihat adalah nikmat besar yang perlu dijaga dalam banyak perkara dan aspek.

Semua aspek dan perkara perlukan kesihatan. Semuanya perlu bebas daripada sebarang unsur jahat atau penyakit yang merosakkan fungsi asal perkara tersebut daripada berjalan. Apabila semua perkara yang menyangkuti kehidupan kita sihat, maka sihatlah kita dan bahagialah kehidupan kita.

Tetapi manusia agak lalai dan begitu keakuan. Mereka begitu mementingkan diri sendiri sehingga lupa hakikat sebenar yang perlu diterima sebaiknya. Kebanyakan manusia begitu menumpukan kepada kesihatan tubuh badan sendiri sehingga mengabaikan kesihatan perkara dan aspek yang lain. Mereka berhabisan wang ringgit, usaha, tenaga dan masa demi menjaga kesihatan tubuh badan. Harapan mereka adalah agar mereka menikmati kehidupan.

Hakikatnya ialah mereka tidak akan menikmati matlamat sebenar kesihatan diri iaitu keceriaan, kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup. Ya, mereka akan menikmatinya pada awalnya, tetapi ia tidak akan bertahan lama. Akhirnya dia akan tengadah apabila berlaku hantukan yang menyedarkan dirinya.

Berapa ramai yang asyik menjaga kesihatan diri sendiri sehingga melupai kesihatan jalinan hidup bersama anak, isteri dan keluarga sendiri. Saatnya dia akan terhantuk oleh keluarganya yang berpecah belah, lalu baru dia menyedari betapa kesihatan keluarga itu amat penting.

Berapa ramai yang asyik menjaga kesihatan dan kebahagiaan diri dan keluarganya sehingga melupai tanggung jawab sosialnya dalam kejiranan dan kemasyarakatan. Saat ketikanya dia akan terhantuk jua apabila rumahnya dirompak atau keluarganya dikacau ganggu dengan fitnah dan sebagainya oleh anggota masyarakatnya yang sakit, lalu dia menyedari betapa perlunya sebuah persekitaran yang dicakna oleh semua anggotanya ke arah sebuah masyarakat yang sihat seperti diri dan keluarganya jua.

Begitulah kesihatan. Ia adalah nikmat yang diperlukan dalam semua aspek. Ia adalah perihal pembebasan daripada segala penyakit yang mengundang bala dan bencara dalam kehidupan. Oleh kerana kehidupan ini saling berkait di antara satu sama lain, maka kesihatan juga saling bersangkutan di antara satu sama lain.

Mungkin harus diingatkan sekali bahawa sebuah pemerintahan dan kerajaan yang berjaya ialah sebuah kerajaan dan pentadbirannya yang sihat. Bagaimana mahu mewujudkan kerajaan yang sihat kalau rakyatnya hanya mementingkan diri sendiri sahaja? Justeru nyatalah perlunya pendidikan politik yang matang yang menyeru rakyat agar begitu bertanggung jawab di dalam menentukan kepimpinan dan politik negara.

Tetapi tahukan anda kesihatan apakah yang tertinggi dan terbesar? Tahukan anda apakah ibu kepada segala kesihatan? Dengan erti, apabila ianya diperolehi, maka hampir-hampir ianya telah menjadi ubat dan penawar kepada segala kesukaran hidup di dunia ini?

Ya, ialah adalah kesihatan ruh. Ruh itu bukan tubuh badan dan bukan juga akal. Ruh adalah ibu yang menggerakkan segala jentera tubuh dan akal untuk bekerja dengan sebaiknya. Oleh kerana ruh itu terlalu seni dan ghaibiyah sifatnya untuk difahami dengan baik, maka kita namakannya sebagai perihal hati. Hati yang di dalamnyalah bertakhta iman atau kufur di dalam diri manusia.

Ruh atau hati yang sihat adalah ibu segala kebahagiaan. Ia menjamin kebahagiaan walaupun terpaksa hidup dalam kecacatan dalam kesihatan perkara dan aspek lain yang saling berkaitan.

Lihatlah, dengan ruh atau hati yang sihat, diri boleh terus hidup bahagia walaupun tubuh badan ditimpa penyakit dan terpelantar di katil.

Lihatlah, dengan ruh atau hati yang sihat, diri masih boleh hidup bahagia walaupun keluarga dan masyarakat dilanda penyakit dan diancam kejahatan.

Lihatlah, dengan ruh dan hati yang sihat, diri masih gagah dan bahagia walaupun diancam kejahatan para penguasa dan penduduk bumi seluruhnya.

Tahukah anda bagaimana memperolehi ruh yang sihat? Ya, ia hanya dengan satu jalan. Ia adalah jalan yang lurus yang tidak pernah bengkok sejak dulu walau dunia ini dilanda segala macam kerosakan dan kehancuran. Ia adalah jalan Islam, iman dan taqwa.

Cahaya petunjuk

Ruh memerlukan cahaya petunjuk. Ia datang dari alam samawi dan alawi (alam langit atas) menuju alam tubuh badan manusiawi dan duniawi yang gelap. Ia buta di dunia jika tanpa cahaya dari atas yang menemani perjalanannya di dunia menuju lubang kubur untuk kembali kepada tuhannya jua.

Tiada cahaya dari langit selain Islam. Tiada cahaya dibawa oleh Islam selain iman. Tiadalah iman selain menjadi bateri yang memancarkan cahaya taqwa menuju keredhaan Allah.

Di dalam pengajaran Islam, penyucian ruh atau tazkiyah al nafs adalah begitu asli. Ia inti kedatangan al Quran. Ia datang menyucikan jiwa, membuang kekotoran duniawi dan karatnya, lalu menuangkannya dengan isi-isi kemuliaan dan keagungan kalimat-kalimat tuhan rabbul jalil.

Selamat mengejar kesihataan tertinggi beriringan segala nikmat kesihatan dalam tubuh badan, akal, keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya.{/mprestriction}