Ibu bapa digesa cermat belanja untuk pakaian sekolah

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin bukan hanya mengenai peningkatan mendadak dalam harga pelbagai barangan keperluan sekolah tetapi juga bagaimana ibu bapa cenderung untuk memanjakan anak-anak mereka dengan membeli pakaian seragam baharu dan keperluan sekolah lain apabila sekolah dibuka semula.

Advertisement

Ibu bapa perlu berjimat cermat dengan perbelanjaan mereka ke atas keperluan sekolah, lebih-lebih lagi terutamanya dengan harga pakaian seragam sekolah semakin meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lepas sepertimana yang ditunjukkan oleh tinjauan kami di kedai dan pasar raya di Pulau Pinang.

CAP berpendapat bahawa dengan wang yang dijimatkan, ia boleh digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting seperti menyediakan makanan yang lebih berkhasiat untuk keluarga, atau untuk membayar yuran sekolah, perpustakaan dan sukan. Kita tidak seharusnya lupa bahawa mungkin yuran tuisyen dan bas sekolah juga perlu dibayar.

Ibu bapa yang ditemubual oleh CAP pada umumnya bersetuju bahawa kenaikan harga membebankan terutama sekali bagi mereka yang mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah dan ini menyebabkan tekanan kepada mereka.

“Apabila membeli-belah keperluan barangan sekolah anak-anak, ia amat membebankan kewangan kami,” katanya. “Pakaian seragam sekolah bersama dengan beg, alat tulis dan kasut boleh mencapai RM200 dan ini tidak termasuk pakaian sukan, buku dan keperluan lain.”

Andaikan peningkatan harga sebanyak 30 peratus, ibu bapa terpaksa membelanjakan tambahan RM45 bagi setiap anak berbanding dengan apa yang mereka belanjakan untuk barangan yang sama pada tahun lepas dan jumlah ini begitu besar kerana ia boleh mengurangkan belanjawan keluarga. Jumlah ini amat besar untuk dikeluarkan pada awal tahun terutama sekali apabila harga barangan ini semakin meningkat.

Memandangkan kebanyakan kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya dua pasang pakaian seragam untuk dipakai, kemungkinan pakaian seragam itu menjadi lusuh hingga hujung tahun amat kurang sekali.

Terdapat anggaran 5 juta pelajar (daripada prasekolah hingga ke sekolah menengah) untuk dibelanjakan ke atas pakaian seragam sekolah yang baharu dan barangan lain, ibu bapa dengan mudah terpaksa membelanjakan lebih daripada RM2 bilion hanya untuk tempoh ini sahaja.

Jika 70 peratus (3.5 juta) pelajar mengelak daripada membeli dua pasang pakaian seragam bagi setiap orang berdasarkan keperluan asas dan beg, maka RM1.2 bilion dapat dijimatkan di seluruh negara. Jumlah ini tidak termasuk kos perbelanjaan barangan lain.

Dengan sistem pendidikan menekankan kepada penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum, ibu bapa perlu membeli pakaian seragam kelab/persatuan yang boleh menelan belanja kira-kira RM100 dan ia bergantung kepada berapa banyak kelab dan persatuan yang disertai oleh pelajar itu.

Ibu bapa tidak seharusnya mempunyai tanggapan bahawa semua keperluan mestilah baharu dan dibeli untuk permulaan sesi persekolahan baharu. Tanggapan ini merupakan satu bentuk pengaruh daripada komersialisasi. Kanak-kanak juga perlu dididik untuk menghargai nilai wang dan untuk terus menggunakan barangan dan peralatan yang masih dalam keadaan yang baik dan sempurna. Dalam soal pakaian seragam, melainkan mereka semakin membesar menyebabkan pakaian seragam menjadi ketat atau mereka pertama kali mula memasuki sekolah.

Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlu bekerjasama dengan ibu bapa untuk menghapuskan ‘budaya’ yang tidak sihat ini yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada ibu bapa dan pelajar yang tidak mampu. Tambahan pula, bukanlah pakaian seragam sekolah yang baharu akan menentukan kejayaan akademik pelajar dan inilah nilai yang perlu ditanam di dalam minda ibu bapa. Ia boleh menyebabkan jurang antara mereka yang ‘ada’ dan ‘tiada’.

CAP juga menggesa kerajaan supaya memeriksa dengan segera kualiti pakaian seragam yang terdapat di pasaran. Pakaian seragam ini perlu berkualiti untuk dipakai oleh pelajar sehingga tempoh yang sesuai. – HARAKAHDAILY 28/12/2017