Sheikh Abdul Hamid Kisyk: Singa Mimbar yang mencerah umat

SEJARAH Islam bukan sahaja menyaksikan anak muda sebagai pemberani dan menggugah rejim dan kezaliman, namun tak kurang tokoh kurang upaya yang sangat hebat menyemangati ummah untuk kembali kepada Islam dan syariahnya. Dalam dunia moden ini dua tokoh buta yang sangat berpengaruh dalam perjuangan Islam ialah Sheikh Dr Umar Abdul Rahman dan Sheikh Abdul Hamid Kisyk. Kedua-duanya pemberani dan pemidato yang hebat sehingga dihumban dalam penjara oleh rejim pemerintah.

Advertisement

Abdul Hamid Kisyk adalah khatib yang menoreh sejarah, kaset-kaset khutbahnya bertebaran di negara Arab saat kaset adalah medium penting dalam penyebaran dakwah dalam dekad 70-an dan 80-an. Mimbar jumaat adalah wahana dakwah yang penting yang boleh membangkitkan semangat juang umat Islam sebagaimana gaya dakwah Nabi SAW berkhutbah. Khutbah sewajarnya membicarakan isu-isu penting umat Islam dan membuka dimensi berfikir umat Islam akan cabaran dan tentangan di sepanjang zaman. Menginsafi kepentingan medium dakwah inilah maka Sheikh Abdul Hamid memanfaatkan mimbar jumaat sebaik mungkin sehingga air mata jemaah mengalir berlinangan. Siapakan sang daie dengan gaya berkacamata hitam dengan suara khas yang memukau ini?

Sheikh Abdul Hamid Kisyk dilahirkan pada 10 Mac 1933M bersamaan 14 Zulkaedah 1315H di daerah Shubra Kheit dalam wilayah al-Buhaira, Mesir dari keluarga yang menitik beratkan pendidikan agama.

Menghafaz al-Quran seluruhnya ketika mencecah usia sepuluh tahun ketika belajar di Maahad Agama di Iskandariah dengan menjadi pelajar paling cemerlang kerana berjaya mendapat 100 peratus markah dalam semua mata pelajaran. Di peringkat menengah, beliau dihantar oleh bapanya untuk belajar di Maahad Al-Azhar di daerahnya dan menjadi pelajar terbaik peringkat seluruh Mesir kerana memperoleh markah tinggi.

Pada peringkat pengajian tinggi pula, menyambung pelajaran dalam Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar, dan juga berjaya menjadi pelajar pada kedudukan pertama selama empat tahun berturut-turut, beliau diberi kepercayaan untuk menyampaikan syarahan bagi subjek nahu dan sorof sambil dipantau oleh gurunya ketika di fakulti berkenaan, ini kerana kemampuannya yang dianggap luar biasa oleh sebahagian besar guru-gurunya.

Setelah tamat belajar pada 1957, beliau dilantik oleh pihak universiti menjadi Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin walaupun masih belum memiliki ijazah peringkat PhD yang merupakan syarat bagi seseorang untuk dilantik ke jawatan itu. Namun beliau tidak selesa dengan jawatan tersebut apatah lagi untuk mengajar yang terikat dengan mata pelajaran. Hatinya sentiasa terpaut dengan mimbar untuk menyampaikan khutbah tanpa sekatan dan sukatan yang beliau telah biasakan diri sejak berumur 12 tahun. Pada 1961, Al-Azhar telah menganugerahkan tokoh ilmuannya pada Majlis Sambutan Hari Pendidik.

Pengalaman berkhutbah tanpa teks menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah apabila terdapat para khatib kampung yang tidak dapat datang menyampaikan khutbah, maka setiap mata para jemaah dikerlingkan ke arahnya untuk mengganti tempat khatib. Dengan gaya yang khutbahnya yang memukau, tambahan pula ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi sentiasa basah di bibirnya. Justeru tidak hairan jika khutbah yang disampaikan dirakam oleh jemaah hingga mencecah lebih dua ribu tajuk yang berbeza.

Walaupun buta, tetapi hati Sheikh tidak buta seperti sangkaan banyak pihak terutama pihak pemerintah Mesir yang menjalankan sistem pemerintahan sekular, justeru ketidak-Islaman sistem tersebut membiarkan ramai golongan ulama termasuk Sheikh Kisyk mengkritik dengan lancang terutama di atas mimbar.

Pada 1965, buat pertama kali, beliau ditangkap atas alasan mengkritik kerajaan dan dimasukkan dalam penjara Abu Za’bal, Qal’ah dan penjara perang selama dua tahun setengah, ketika itu Almarhum Sheikh menjawat jawatan Imam di Masjid ‘Ain Hayah dan dibebaskan kemudian tanpa jaminan dan syarat.

Pada 1972, almarhum memulakan rentak baru dalam menarik pandangan umum mengenai kerajaan yang banyak berbohong kepada rakyat yang kononnya mereka lebih Islamik berbanding ulama yang hanya pandai mengkritik, tetapi bagi Sheikh Kisyk, mengkritik bagi membetulkan kesalahan pemerintah dan kerajaan adalah fardhu ain yang mesti dijalankan tanpa ada rasa takut pada manusia.

Sheikh Kisyk adalah antara para ulama yang tegas menyatakan kekesalan terhadap perjanjian ‘Camp David’ yang dimeterai antara Presiden Mesir ketika itu, Presiden Anwar Saddat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Mesir khususnya, kerana ia berpihak kepada Israel yang sememangnya merampas hak rakyat Palestin yang wajib diperjuangkan.

Almarhum sekali lagi ditangkap dan dipenjarakan selama setahun setengah bersama para aktivis Islam yang tidak setuju dengan perjanjian yang dimeterai, selepas keluar daripada penjara pada 1981, secara automatik almarhum ditegah daripada menjadi Imam masjid dan dilarang sama sekali daripada menyampaikan apa sahaja bentuk kuliah agama.

Sosok yang sangat inspiratif ini berhujung nyawa dengan detik yang paling indah, beliau meninggal dalam usia 63 tahun iaitu saat sujud dalam solat sunat. Itulah doa bagi setiap muslim agar mendapat husnul khatimah dan itulah doa yang sentiasa mekar pada mulut daie sejuta ummat ini. 6 Disember tahun 1996, rohnya berkelana ke alam abadi setelah puluhan tahun berjuang sehingga beberapa kali mendekam dipenjara rejim Mesir. Sang daie yang menjadi fenomena negara-negara Arab meliputi tanah Afrika Utara, kaset-kasetnya menjadi halwa telinga dan menggugah semangat peserta-peserta kebangkitan Islam dalam dekad 1970-an dan 80-an. – HARAKAHDAILY 28/12/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.