Husam wujudkan pakatan PAN – Umno di Kelantan?

BULAN lalu, seorang rakan memaklumkan kononnya Naib Presiden PAN, Dato’ Husam Musa, telah mendapat restu daripada seorang pemimpin veteran Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru selepas PRU 14. 
 
Berita ini bagaimanapun tidak saya pandang serius kerana kesukaran untuk memikirkan logik bagaimana Tengku Razaleigh, yang bukan pun menjawat jawatan Pengerusi Umno Kelantan, boleh mempengaruhi Umno Kelantan untuk menyokong Dato’ Husam.
 
Pada masa yang sama, dakwaan bahawa wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan di dalam PRU 14, selain ditepis berkali-kali oleh Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Seri Mustapha Mohamed, turut dinafikan oleh para pemimpin PAS Kelantan.
 
Di dalam menafikan kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan di dalam PRU 14 ini, kerap kali pula para pemimpin PAS Kelantan menyebut bahawa PAN dan Umno-lah yang sebenarnya sedang berpakat untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.
 
Malam kelmarin, 28 Disember, Dato’ Husam, yang merupakan bekas Ahli EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, hadir sebagai tetamu di dalam majlis “Bicara Anak Kelantan” anjuran portal berita Sokmo.Net di Dewan Kayangan, Hotel Crystal Lodge, Kota Bharu.
 
Moderator di dalam majlis ini ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, yang bertindak keluar dari PKR untuk menyertai Umno pada 22 April 2010, tiga hari sebelum hari pengundian PRK Hulu Selangor.
 
Desas-desus yang berlegar kuat di kalangan orang ramai ialah portal berita Sokmo.Net ini mendapat pembiayaan daripada Umno Kelantan dan ini diperkuatkan lagi dengan paparan pelbagai gambar dan aktiviti Dato’ Seri Mustapha di dalam laman portal berita ini.
 
Penyertaan Dato’ Husam di dalam majlis anjuran portal berita yang dikaitkan dengan Umno Kelantan dan yang dimoderatorkan oleh aktivis Umno Kelantan menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara PAN dan Umno untuk menjatuhkan PAS di Kelantan.
 
Persepsi orang ramai adalah bahawa Dato’ Husam dan Umno Kelantan saling cuba mempergunakan di antara satu sama lain bagi membolehkan kritikan-kritikan keras terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dapat disuarakan dengan lebih berkesan dan lebih meluas.
 
Itulah yang kelihatan berlaku pada malam tadi di mana Dato’ Husam telah membuat pelbagai pendedahan mengenai pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di samping mendorong moderator mengemukakan tuntutan tertentu terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.
 
Malah, Dato’ Husam juga telah menyerahkan dokumen Kerajaan Negeri Kelantan yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, membabitkan Jambatan Kedua Sdn Bhd kepada moderator “sebagai akuan dan saksi bahawa (beliau) ada dokumen ini”.
 
Menariknya, ketika ditanya oleh moderator yang kelihatan bimbang kemungkinan dokumen ini melanggari Akta Rahsia Rasmi, “Tidak OSA ni dih?”, Dato’ Husam telah menjawab, “Tak apalah OSA pun, berjuang kan, kalau kena jel sekali dengan moderator masuk”.
 
Lebih dari itu, Dato’ Husam juga kelihatan cuba memberi gambaran bahawa Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Dato’ Ahmad pada waktu ini lebih teruk berbanding Kerajaan Negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob dulu.
 
Antara lain, kata Dato’ Husam: “KELKON yang dulunya ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob ada cash, kalau tak silap saya ada dalam fixed deposit KELKON hampir RM60 juta kalau tak silap saya, tetapi pada hari ini KELKON sudah tidak wujud”.
 
Tambah Datuk Husam lagi: “KPK (Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd) semasa Tan Sri Mohamed Yaacob (ada) beratus orang pekerja, hari ini ada lapan orang sahaja pekerja KPK, jadi bermakna rakyat Kelantan anak muda telah dinafikan peluang kerja.”
 
Kesimpulannya, majlis malam kelmarin kelihatan menepis terus dakwaan wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan sebaliknya menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara PAN dan Umno untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.
 
Bagaimanapun, sama ada Umno mendapat laba daripada majlis ini adalah soal lain pula kerana beberapa kali juga Dato’ Husam kelihatan turut membedal Umno, termasuk dengan menyebut “orang marah kor PAS tapi marah kor Umno tu berat lagi pada marah kor PAS”. – HARAKAHDAILY 30/12/2017
 
Advertisement