Semangat ayah, dorong tuntut ilmu keusahawanan

BAKAT kepimpinan pemuda kelahiran Kota Bharu Kelantan ini sudah terserlah sedari beliau di alam persekolahan. Dilantik sebagai Ketua Unit Dakwah semasa di Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan bukan sekadar untuk memenuhi sijil penyertaan dalam ko-kurikulum tetapi lebih daripada itu ia menjadikan beliau seorang yang penyabar.

Advertisement

Manakan tidak, beliau  ditugaskan untuk mengejutkan rakan-rakan di asrama untuk solat subuh berjemaah di Masjid Tok Guru yang terletak berhampiran dengan sekolah tersebut.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Walaupun tugas tersebut dianggap sesetengah orang sebagai remeh, tetapi bagi Muhammad Ridzwan Hafizu Azhari, ia satu tanggungjawab yang perlu dilakukan sebaik mungkin.

Bersekolah di sebuah sekolah yang dikenali sebagai ‘sekolah Tok Guru’ mendekatkan lagi Ahli Jawatankuasa  Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu ini dengan PAS yang telah dikenalinya sedari kecil.

Semasa zaman kanak-kanaknya, beliau sering mengikuti ayahnya  ke program-program PAS. Malah secara tidak langsung juga beliau menjadi ‘ahli usrah’ di dalam kumpulan ayahnya serta tidak ketinggalan turut serta dalam program mukhayyam.

Malah kuliah ilmu di Pulau Melaka dan Medan Tok Guru, Kota Bharu menjadi sebahagian daripada jadual wajibnya semasa di Maahad Darul Anuar.

Anak sulung daripada lapan orang adik beradik kepada pasangan Azhari Abdul Rahman dan Wan Nor Mariani Hashim ini juga  bukan sahaja mengambil semangat bapanya dalam mempelajari ilmu agama tetapi juga  penyertaan dalam aktiviti jemaah.

Lantaran itu, beliau tidak menjadikan kesibukannya menguruskan syarikat dan projek perumahan sebagai alasan untuknya untuk tidak bersama gerak kerja parti.

Atas semangat yang ditunjukkan bapanya yang juga terlibat dalam perniagaan menyebabkan bekas pelajar Kolej MSU ini tidak berhenti untuk belajar terutama dalam ilmu  keusahawanan walaupun beliau kini memegang jawatan  penting dalam Dewan Usahawan Kelantan (DUKE) dan dianugerahkan  Usahawan Harapan oleh kerajaan Kelantan.

Lantaran itu beliau turut menyeru anak muda  supaya tidak teragak-agak menceburi bidang keusahawanan kerana bidang  tersebut mempunyai peluang yang cerah untuk kehidupan masa hadapan.

Beliau  juga berharap golongan muda bersama-sama dengan PAS dan terus istiqamah dengan gerak kerja parti serta  mempertahankan kepimpinan PAS Kelantan dan kepimpinan ulamak.{/mprestriction}