10 pakatan utama 2017

TAHUN 2017 menyaksikan persaingan sengit kuasa-kuasa dunia Islam, yang sebahagian besarnya ialah kesan daripada persaingan geopolitik “Arab spring” dan pertembungan kuasa-kuasa serantau dan global di rantau Asia Barat dan Afrika Utara dan rantau berdekatan.

Advertisement

Tahun 2017 rancak dengan perkembangan terbaru, daripada krisis antara kuasa-kuasa Arab di Teluk Parsi, persaingan Arab Saudi dan sekutu dengan Iran yang terus marak dan hal berkaitan hubungan negara-negara Arab tertentu dengan Israel, yang juga berkait dengan politik serantau melibatkan perluasan pengaruh Iran.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Melanjutkan perkembangan daripada tahun 2016, perubahan-perubahan melibatkan pakatan dan kerjasama bergerak dengan pantas. Turki meningkatkan kerjasama dengan Iran dan Rusia, pada masa sama hubungannya dengan Qatar semakin kukuh akibat tindakan Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.

Banyak pakatan dan kerjasama lain, dalam bentuk dua hala atau lebih, dibina dan dikukuhkan pada 2017, dalam usaha melindungi kepentingan masing-masing, mendepani cabaran yang semakin kompleks.

Pada tahun 2017, 10 pakatan dan kerjasama ini muncul sebagai perkembangan penting di dunia Islam sepanjang tahun.

1. Arab Saudi-Emiriyah Arab Bersatu
Dua negara Arab di Teluk Parsi ini mengetuai kempen menentang Iran, bekerjasama di seluruh rantau yang paling utama dalam kempen ketenteraan di Yaman. Hubungan rapat kedua-dua negara berdepan ujian hebat ekoran tindakan-tindakan bersama, antaranya sekatan ke atas Qatar – dengan kerjasama Mesir dan Bahrain – yang sehingga kini tidak kelihatan melemahkan negara itu, yang mendapat sokongan sekutu rapat dan negara-negara lain.

2. Iran-Syria
Pakatan yang terbina sejak 1979 ini telah melalui pelbagai cabaran dan fasa turun naik, dengan tumpuan kerjasama di Lubnan dan Palestin. Sepanjang rejim Bashar al-Assad berdepan cabaran termasuk tekanan masyarakat antarabangsa, Iran menghulurkan bantuan hingga akhirnya usaha pihak lawan melalui proksi-proksi berjaya dipatahkan. Iran – yang turut dibantu Rusia – mencapai kejayaan apabila berjaya mengekalkan pemerintahan sekutunya di Syria.

3. Turki-Qatar
Hubungan rapat kedua-dua negara yang bersekutu dengan gerakan politik Ikhwanul Muslimin ini semakin rapat kebelakangan ini hasil tekanan oleh Saudi dan Emiriyah. Pertembungan visi dan kepentingan antara pakatan Turki-Qatar dengan Saudi-Emiriyah meletakkan kedua-dua pakatan di kedudukan bertentangan yang dijangka akan terus bersaing sengit. Tetapi pada masa ini, Turki dan Qatar diatasi oleh Emiriyah di semua medan persaingan serantau, dari Libya hingga ke Yaman.

4. Iran-Turki
Sebagai reaksi kepada pengukuhan kuasa Kurdistan Iraq, yang pada September lalu melaksanakan referendum untuk merdeka, kerjasama Iran dan Turki dipertingkatkan. Pemimpin-pemimpin politik dan tentera kedua-dua negara mengadakan beberapa pertemuan khusus untuk menangani isu Kurdistan, yang dianggap sebagai proksi kepada Israel. Hubungan kedua-dua negara mencapai kedudukan terbaik bermula tahun ini, dan penyelesaian konflik Syria turut merapatkan hubungan Iran-Turki.

5. Kurdistan-Israel
Kali kedua selepas tahun 2014, Benjamin Netanyahu, perdana menteri Israel membuat kenyataan terbuka dan tegas menyokong kemerdekaan Kurdistan Iraq menjelang referendum di wilayah itu. Israel menunjukkan kegembiraan atas usaha kemerdekaan yang kelihatan semakin dekat untuk dicapai itu. Israel bakal memperolehi sekutu kuat di tengah-tengah Turki, Syria, Iraq, dan Iran melalui kemerdekaan Kurdistan yang dikuasai kumpulan yang telah berhubungan baik dengan Israel sejak 1960-an.

6. Mesir-Rusia
Mesir dan Rusia membina hubungan baik sejak hubungan Kaherah dengan Washington terjejas ekoran pendirian kuasa besar itu untuk menjarakkan diri daripada negara dilanda kebangkitan “Arab spring” itu. Hubungan ketenteraan termasuk perbincangan penubuhan pangkalan tentera Rusia di Mesir, perdagangan dan pelaburan dan pembinaan reaktor nuklear pertama Mesir. Lawatan Presiden Rusia Vladimir Putin ke Kaherah beberapa minggu lalu memperlihatkan lagi hubungan semakin baik kedua-dua negara.

7. Saudi-Rusia
Awal Oktober lalu, Raja Salman bin Abdul Aziz melawat Rusia, mencatat sejarah baharu hubungan Riyadh-Moscow. Lawatan itu bukan sahaja menunjukkan satu sikap baharu pemerintah Arab Saudi, tetapi juga menunjukkan pengaruh Rusia yang semakin meningkat di dunia Arab. Kedua-dua Saudi dan Rusia turut membincangkan kerjasama berkaitan produksi petroleum dan perdagangan pertahanan. Persetujuan Rusia untuk menjual sistem pertahanan udara terkini kepada Saudi menunjukkan kepentingan hubungan ini kepada Moscow.

8. Iran-Pakistan
Pakistan berdepan perubahan dalam hubungannya dengan Arab Saudi, sekutu lamanya yang sering melibatkan Pakistan dalam kempen ketenteraan. Kebelakangan ini, Pakistan kelihatan menjarakkan diri daripada dasar luar Saudi termasuk gabungan tentera negara-negara Islam, yang bertujuan mengukuhkan kepimpinan Riyadh dalam dunia Islam. Awal November lalu, pemimpin tentera Pakistan, Jeneral Qamar Javed Bajwa melakukan lawatan bersejarah ke Pakistan, menandakan pemulihan hubungan yang sukar antara kedua-dua negara.

9. Turki-Somalia
Somalia, negara strategik di Tanduk Afrika dekat Laut Merah, Laut Arab dan Lautan Hindi kini menjadi medan operasi ketenteraan Amerika Syarikat, dengan alasan memerangi kumpulan teroris. Turki pada masa yang sama mula membina hubungan lebih baik dengan Somalia, dan telah menubuhkan pangkalan tentera di sana, bersaing dengan Emiriyah yang sedang membina pangkalan tentera laut di Somaliland. Somalia kini menempatkan pangkalan tentera luar negara kedua Turki selepas yang pertama di Qatar.

10. Emiriyah Arab Bersatu-Somaliland
Somaliland menjadi medan utama perluasan pengaruh Abu Dhabi di Tanduk Afrika, kawasan yang menyaksikan persaingan sengit Turki dengan Emiriyah dan kuasa-kuasa dunia termasuk AS, Perancis, China, dan Arab Saudi. Krisis di Teluk Parsi meningkatkan lagi kepentingan kawasan ini kepada kuasa-kuasa bersaing. Emiriyah muncul sebagai rakan dagang dan pelaburan penting bagi Somaliand yang masih belum mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai negara merdeka.{/mprestriction}