Amanat Hj Hadi: Dr Maza lupa nasihat sendiri

BERLEGAR luas dalam media sosial kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA), mengenai Amanat Haji Hadi yang asalnya tersiar di dalam laporan akhbar New Straits Times bertajuk “Muftis prefer to stay away from politics, says Harussani”.
 
Kata laporan akhbar itu: “Beliau (Dr MAZA) percaya bahawa ‘Amanat Hadi’ telah memainkan peranan yang membawa kepada tragedi berdarah Memali di samping menyebabkan perpecahan di kalangan orang-orang Islam dalam negara ini.”
 
(Petikan asal laporan akhbar itu adalah berbunyi “Perlis Mufti Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin said he believed that ‘Amanat Hadi’ had played a role leading up to the bloody (Memali) tragedy as well as causing disunity among Muslims in the country”.)
 
Membaca kenyataan Dr MAZA ini segera sahaja fikiran saya teringat kepada satu tulisan beliau pada 3 Januari 2013 bertajuk “Menilai Amanat Haji Hadi Dengan Adil” kerana dalam tulisan ini beliau dengan tegas menggesa: “Semua pihak hendaklah berhenti memainkan isu kafir-mengkafir. Kembali kepada politik yang dapat membina negara.”
 
Tema ini jugalah, iaitu “berhenti memainkan isu kafir-mengkafir” atau “berhenti bangkit balik benda (lama)”, dan satu tema lain, iaitu beri ruang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk memberi penerangan mengenai Amanat Haji Hadi dalam media awam, yang sering kelihatan dalam kenyataan dan ucapan Dr MAZA sebelum ini.
 
Dalam tulisan beliau pada 3 Januari 2013 ini, Dr MAZA menulis: “Oleh kerana beliau diserang tanpa diberikan peluang menerang, maka itu sesuatu yang tidak adil. Pihak media patut memberikan ruang yang mencukupi untuk beliau membuat penerangannya dalam media awam khususnya RTM. Mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang.”
 
Dalam ucapan beliau yang dimuat naik pada 29 Disember 2012, Dr MAZA berkata: “Dari segi politik, kalau betul-betul untuk perpaduan, benda ni tak patutlah. Hangpa pi tibai dia buat apa? Pasal apa hang pi cari gaduh dengan dia, nampak dia macam tak berapa keras sangat, tiba-tiba pi bangkit balik benda hak 30 tahun lepas nu untuk pukul dia, saya rasa yang tu macam tak berapa kena.”
 
Dalam ucapan beliau yang dimuat naik pada 5 Januari 2013 pula, Dr MAZA berkata: “Saya hatta Amanat Haji Hadi saya kata, siang malam pagi petang duk serang dia, mana aci? Bagilah dia jawab sekali dalam tv kita nak dengar macam mana, bagi dia hurai dulu, lepas tu tak apalah kita jawab, kalau nak suruh kita jawablah, kalau dah tak ada jawapan tak apalah. Mungkin dia ada huraian yang kita tak tahu. Ni 24 jam hentam dia, dia sekali pun tak bagi, bagilah setengah jam kat dia.”
 
Bahawa Amanat Haji Hadi tidak mengkafirkan Umno juga disebut oleh Dr MAZA dalam tulisan beliau pada 3 Januari 2013 melalui ayat “Mungkin DS Hadi sendiri tidak pernah menyebut Umno kafir secara jelas”, begitu juga dalam dalam ucapan beliau yang dimuat naik pada 29 Disember 2012 melalui ayat “tapi dalam amanat tu sendiri dia tak kata sebijik Umno tu kafir, dia tak kata”.
 
Pada hemat saya, bila isu Amanat Haji Hadi ini ditimbulkan kembali oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, jika betul Dr MAZA konsisten, berprinsip dan tidak cuba berpolitik, maka Dr MAZA seharusnya menasihatkan Tun Dr Mahathir supaya “berhenti memainkan isu kafir-mengkafir” dan “kembali kepada politik yang dapat membina negara” atau “berhenti bangkit balik benda (lama)” seperti yang sering beliau sebut sebelum ini.
 
Bila Dr MAZA semakin memarakkan api dengan menyokong dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa Peristiwa Memali berpunca daripada Amanat Haji Hadi selain menyalahkan amanat ini sebagai punca kepada perpecahan di kalangan orang-orang Islam dalam negara ini, tanpa terlebih dahulu memberi ruang kepada Datuk Seri Abdul Hadi untuk memberi penerangan mengenainya dalam media awam, maka nampak jelaslah tidak betulnya Dr MAZA ini.
 
Bagaimanakah boleh dikatakan Dr MAZA betul jika pada suatu masa beliau bercakap dalam nada lain mengenai Amanat Haji Hadi sedang pada suatu masa lain beliau boleh pula bercakap perkara yang bercanggah dengan apa yang beliau sendiri cakapkan sebelum ini? – HARAKAHDAILY 1/1/2018
Advertisement