NAWAITU alternatif anak muda rai tahun baharu

BUTTERWORTH: Anak muda Pulau Pinang membuka lembaran baharu 2018 dengan mengadakan program diambang tahun baharu diberi nama NAWAITU 2018 bertema “Menuju Kesejahteraan Ummah” di R&R Bagan Ajam, di sini kelmarin.
 
Program tersebut menjadi alternatif mengisi masa menanti detik tahun baharu dengan cara lebih bermanfaat menerusi majlis ilmu, hiburan Islami dan kesedaran terhadap ummah khususnya nasib saudara seakidah di Palestin.
 
Program dirintis penganjurannya oleh Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia dan Alternative Riding Club (ARC) itu telah disertai sekitar 2,000 hadirin pelbagai lapisan umur.
 
Antara aktivitinya adalah konvoi lebih 50 kenderaan dan motosikal berkuasa tinggi dari Masjid Seberang Jaya ke lokasi program dan ‘flashmob’ sokongan kepada Palestin yang turut ‘disertai’ bunyi hon pengguna lebuh raya itu.
 
Acara malam diisi dengan solat berjamaah dan Kuliah Maghrib Perdana disampaikan oleh pendakwah, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim.
 
Kemuncak NAWAITU 2018 adalah Forum Goreng Santai membariskan panelis dari kalangan ikon anak muda Pulau Pinang iaitu Ustaz Mohammad Hanif Haron, Ir Ahmad Rafaie Dato’ A Rashid dan Ustaz Fawwaz Md Jan.
 
Majlis pengisian itu turut diselang seli dengan alunan qasidah oleh  kumpulan Shoutul Muhibbin aripada Maahad Tahfiz Ibnu Sina dan  juga Busking Simfoni.
 
Gema doa wehdah dan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dipimpin oleh Mudir Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU), Ustaz Safirol Rozali mengakhiri himpunan tersebut.
 
Menurut Pengarah NAWAITU 2018, Ustaz Mohammad Hanif Haron berharap program julung kali itu menjadi pendekatan dakwah kepada hadirin dan keterbukaan berhibur yang berunsurkan mendidik, berbanding kebiasaan program melalaikan.
Advertisement