Lebuh Raya Rakyat: Kelantan nafi Husam

KERAJAAN Kelantan hari ini menafikan tuduhan parti pembangkang berhubung isu penamatan kontrak antara pemaju Lebuh Raya Rakyat.

Advertisement

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, tidak timbul penamatan kontrak pembinaan lebuh raya berkenaan, kerana ia dibubarkan atas persetujuan bersama.

Katanya, kontrak antara pemaju iaitu Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dan kerajaan negeri dibubarkan atas sebab-sebab tertentu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa yang mendakwa  kerajaan negeri menamatkan kontrak pembinaan lebuh raya itu dengan pemaju.

Pada masa yang sama Husam turut mendakwa kerajaan negeri kini sedang berdepan dengan satu tindakan undang-undang.

Husam berkata demikian  dalam satu forum yang diadakan di Kota Bharu, minggu lalu.

Jelas Adun Pengkalan Pasir itu lagi, anak syarikat JKSB memaklumkan, pihak mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja pembinaan itu atas tekanan tertentu.

“Kita berunding, kita tidak tamatkan kontrak, malah kita buat persetujuan bersama,” ujarnya lagi.

Katanya, syarat persetujuan bersama itu melibatkan kerajaan negeri  perlu membayar kerja-kerja yang dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan mengikut kontrak asal kepada mereka.

“Kita telah tandatangan kontrak dengan JKSB pada  tahun 2015 dengan tempoh tertentu.

Tambahnya, tidak timbul isu  penamatan kontrak  sebagaimana yang didakwa.

Beliau turut menafikan dakwaan kerajaan negeri disaman oleh syarikat terbabit.

“Cukup-cukuplah memburukkan kerajaan negeri, sebagai bekas pimpinan PAS, bekas exco lagi.

“Amat tidak wajar mengeluarkan kenyataan berupa fitnah atau seumpamanya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/1/2017