Kak Wan dah lupa?

KAK Wan, penegasan mahukan DS Najib kekal ini telah dibuat oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang suatu ketika dahulu sekitar tahun 2015 bagi membidas suara-suara yang kononnya mahu menjadi pembangkang yang cerdik, tetapi hanya mahu menukar PM sahaja, bukan parti yang memerintah dengan dasar memeras itu. Akhirnya suara-suara sumbang itu juga bersetuju dengan idea TG Presiden PAS supaya Najib kekal, agar mudah dikalahkan dalam PRU nanti. Kerana jika naik PM baharu yang juga dari Umno, maka makin sukar untuk pembangkang mengalahkan Umno. Bijak fikiran TG Presiden PAS.

Advertisement

Kak Wan, mengapa suara Kak Wan seirama dengan Tun Mahathir di kala ini sedang galak berkokok menyerang PAS berbanding Umno? Sedangkan Umno yang dikatakan sebagai pasukan yang tidak berbuat dengan sepatutnya atas amanah rakyat yang memilih mereka? Jika Umno yang bersalah, lojikkah PAS pula diacukan senapang? Jika PAS lemah, tidak menjadi ancaman kepada PH, kenapa PAS diletakkan sebagai sasaran? Politik cacamarba apakah ini?

Kak Wan, sedarkah Kak Wan yang Lim Guan Eng juga turut memuntahkan peluru bagi menyerang PAS? Orang ini yang memeluk erat Timbalan Perdana Menteri dan menangis merayu meminta bantuan dari Umno ketika banjir tempoh hari? Dia juga turut menelan segala peruntukan Pusat dalam bajet yang dia tentang akhir tahun lalu. Jika kerjasama PAS yang tiada bukti bersama Umno itu dikatakan UG, maka apakah pula patut kita panggil dengan pelukan LGE dan Zahid Hamidi itu? Dan apa pula gelaran bagi LGE yang memotong peruntukan Adun dari PKR sendiri di Pulau Pinang? Oh lupa, Kak Wan pun dilihat terhegeh-hegeh mengejar DS Najib pada waktu banjir tempoh hari. Ada apa-apa ke?

Kak Wan, tidak cukup Kak Wan tiga sekawan, ditambah juga beberapa orang yang mengejar populariti, turut menari mengikut rentak bikinan Tun Mahathir dengan galian cerita lapuk dan lama yang masih relevan barangkali bagi mereka dengan isu Memali dan kafir mengkafir. Agak malang kerana penggali isu lapuk itu adalah golongan agamawan yang mendakwa tanpa parti. Tetapi sekarang mereka membisu apabila Tun menuduh TG Presiden PAS kafir.

Kak Wan, jika PAS benar tersisih dari persada pentas politik Malaysia, biarkanlah kami begini. Tak usah diganggu PAS yang boleh dianggap sebatang kara ini. Kami tiada kudrat untuk bersaing dengan BN dan PH. Tetapi agak janggal di kepala ini kerana makin dikata lemah, semakin PAS dikerumuni dan ditekan, bagaikan ketakutan. Tambah ajaib apabila semakin dituduh, semakin berduyun-duyun rakyat memohon menyertai kami.

Kak Wan, apa agenda Kak Wan sebenarnya bersama DS Najib sehingga bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan PAS? Mahu membebaskan DS Anwar? Mahu mengangkat Tun Mahathir sebagai PM sementara? Atau masih berangan mahu menjadi MB Selangor? Apa sekalipun impian Kak Wan, ia tidak akan menjatuhkan PAS insya Allah. Kami semakin hari, semakin bersemangat dan istiqamah dalam menghadapi PRU. Lawan PAS dan Gagasan Sejahtera adalah BN. PH juga boleh turut serta bersama BN untuk melawan PAS dan Gagasan Sejahtera jika mahu.

Ada lebih baik Kak Wan menyambung semula bermain teka-teki apakah makanan, penyanyi atau apa sahaja kegemaran Nurul Izzah. Daripada turut menyertai Tun yang sememangnya membenci PAS sejak dahulu lagi. Bermain teka-teki seperti itu jauh lebih baik kerana dapat mengenal anak sendiri. Jika mengenal anak sendiri gagal, bagaimana mahu mengenal pengundi yang lima tahun sekali berjumpa dengan hanya menjanjikan resepi kuih bengkang ubi?

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
16 Rabiulakhir 1439 / 4 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 4/1/2018